Label Penjenayah, polis mesti mohon maaf

>> Thursday, April 29, 2010


SHAH ALAM: Remaja, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis masih berusia 14 tahun, bulan Ogos nanti baru genap usianya 15 tahun, kata ibu remaja, Norsiah Mohamad,60, seorang ibu tunggal.
Norsiah memaklumkan, anaknya mahu menjadi ahli sukan yang berilmu dan di atas meja banyak gambar-gambar anaknya bermain bola yang ditunjukkan kepada Menteri Besar, exco, Ahli Parlimen, wartawan serta tetamu yang mengunjunginya.
Kes kematian Amirulrasyid begitu tragis. Walaupun ia berlaku di Shah Alam, Selangor namun kes itu itu sudah menjadi isu nasional kerana melibatkan integriti polis serta nyawa remaja di bawah umur.
(Atas, Lim Kit Siang, Dr Lolo sedang mendengar cerita daripada seorang jiran yang melihat keadaan Amirul ketika ditembak oleh polis)

Kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 1.45 pagi Isnin, 26 April, di seksyen 11 berhampiran dengan rumahnya.
Penulis mendapati tempat tragedi itu disimpang masuk ke rumah Amirul lebih kurang 100 meter. Amirul dikatakan lari daripada polis kerana tidak memiliki lesen memandu memandangkan usianya belum mencecah 18 tahun.
Dalam tinjauan itu juga, Penulis melihat cermin belakang kereta yang dipandu Amirul terdapat kesan satu tembakan yang menepati sasaran kepala. Menurut jiran yang ditemui, tembakan sebanyak enam das turut didengari jiran, ada yang keluar untuk melihat apa yang berlaku tetapi polis berkenaan memberitahu terdapat kes jenayah dan meminta orang ramai tidak menghampiri tempat tersebut.
Kehadiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; exco kerajaan negeri, Dato' Dr Hasan Mohd Ali; Rodziah Ismail; Yaakob Sapari; Dr Halimah Ali; Dr Xavier Jayakumar, 28 April menunjukkan tanda simpati dan sokongan kerajaan negeri terhadap tragedi yang berlaku.
Dalam kunjungan tersebut, Khalid menyatakan sokongan dan simpati dengan apa yang berlaku selain menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada Norsiah di rumahnya di Jalan Makyong, Seksyen 11, Selasa lalu.
Turut hadir Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lolo Dato' Mohamad Ghazali; Naib Muslimat PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid. Sebelum itu Ketua Menteri Besar Pulau Pinang, Lim Guang Eng serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menziarahi keluarga mangsa.
Khalid yang ketika ditemui selepas mengunjungi keluarga mangsa berkata, kerajaan negeri akan memberi khidmat guaman yang dibiayai kerajaan sepenuhnya.
Kerajaan negeri juga kata beliau, akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis negeri Selangor bagi memahami keadaan yang berlaku dan mencari jalan bagaimana tragedi begitu tidak berulang. Beliau tidak akan membuat sebarang komen sehingga perbincangan dengan Ketua Polis Selangor diadakan minggu hadapan.
Sementara itu, Dr Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berharap siasatan terhadap kes tersebut perlu diutamakan kerana ia berkaitan dengan imej dan profesion anggota polis.
Beliau kesal dengan dakwaan Amirul sebagai penjenayah kerana terlalu awal untuk mentafsirkan begitu memandangkan remaja tersebut masih di bawah umur dan terkenal dengan remaja yang prihatin dan mempunyai rekod yang baik di sekolah.
"Jika anggota polis boleh mendekati dia saya yakin banyak cara boleh dilakukan dan istilah penjenayah itu diluar daripada tafsiran dan pengertian," katanya.
Bagi Dr Lolo pula, pihak polis perlu memohon maaf kepada keluarga mangsa dan seluruh rakyat kerana mengeluarkan kenyataan penjenyah selepas beberapa jam tragedi itu berlaku.
Katanya, tragedi itu masih dalam siasatan tetapi sudah keluar kenyataan penjenayah ditembak mati serta disebut terdapat parang dalam kereta.
Menurut beliau, anggota polis dilatih bukan untuk membunuh orang terutama bagi mereka yang tidak mempunyai senjata dan tragedi tersebut amat menakutkan masyarakat.
"Kita memahami polis apabila berhadapan dengan penjenayah tegar bersenjata salah seorang akan mati, tetapi dalam situasi ini tiada satu tembakan balas daripada kereta yang dikejar," tegasnya.
Justeru tambah beliau, bagaimana anggota polis boleh melepaskan tembakan ke cermin bahagian atas belakang kereta.
Kata beliau, tidak mungkin seorang penjenayah lari ke kawasan perumahan yang mereka sendiri tidak tahu jalan keluar, penjenayah mesti akan lari ke lebuhraya kerena mereka boleh memecut kereta.
Lim Guan Eng mendesak satu siasatan bebas yang tidak diketuai oleh mana-mana pihak berkepentingan perlu diadakan untuk mengembalikan keadilan yang cukup menghibakan dan jangan mengaibkan keluarga mangsa lagi.
Beliau bercakap bukan sahaja atas nama Ketua Menteri tetapi sebagai seorang ayah menegaskan siasatan perlu dilakukan dengan betul-betul bebas dan jangan biarkan satu nyawa hilang begitu sahaja.
"Ini satu kekejaman yang sangat ketara dan hanya berlaku di Israel sahaja dan kita tidak mahu ia berulang lagi," tegas beliau.
Banyak persoalan yang harus dijawab kerana remaja tersebut hanya berusia 14 tahun dan bukan penjenayah, beliau turut menolak dakwaan polis mengatakan kereta tersebut mempunyai parang.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP