Mahu undi kami?- selesaikan masalah tanah Sungai Buaya

>> Sunday, April 11, 2010

SAIDAH HAIRAN

BATANG KALI: `Sekiranya mahu undi kami! Selesaikan masalah tanah kami di Sungai Buaya ini!!! $$$pesanan daripada pengundi-pengundi kampung Sungai Buaya'.

Tulisan yang berbentuk amaran itu tertera di atas kain rentang yang digantung tepi jalan menuju ke kampung Sungai Buaya, Sungai Chuh.

Ini ekoran tindakan peneroka kampung Sungai Buaya yang hilang sabar menanti baki bayaran jualan tanah RM1 juta sebagaimana yang dijanjikan oleh pemaju, Murna Jaya Development Berhad.

Tanah tersebut dijual pada tahun 1994 ketika itu masih berstatus Tanah Rancangan Felda Sungai Buaya telah dijual kepada Murna Jaya yang mengendalikan projek pembangunan di kawasan tersebut.

Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhamad Taib Muhamad berusaha membangunkan kawasan tersebut sebagai bandar baru.

Ketika peneroka menandatangani perjanjian dengan pemaju Murna Jaya pada tahun 1994, pemaju memberitahu tempoh menyelesaikan semua bayaran dalam lima tahun saja.

Bagaimanapun, setelah rumah dibina dan pemaju mendapat keuntungan, seramai 363 peneroka yang menjual tanah itu tidak memperolehi baki jualan bermula tahun 2001 hingga sekarang.

Apakah pemaju berkenaan didalangi pemimpin tempatan sehingga sanggup bertindak rakus dan zalim terhadap peneroka Felda hanya kerana mahu memenuhkan poket sendiri?

Nazir masjid Ar-Rahmah, Sungai Buaya, Wan Hairul Anwar Abdullah yang mewakili peneroka Felda menegaskan, jika baki duit jualan tanah itu tidak ditunaikan sebelum pilihan raya sudah pasti penduduk terlibat akan memberontak.

"Kita hendak hak peneroka dibayar. Kita tidak kisah jika kerajaan BN hendak membina empat buah sekolah di Hulu Selangot tetapi yang penting selesaikan dulu masalah peneroka," katanya.

Menurut beliau, peneroka Sungai Buaya hendak hak mereka tidak perlu sekolah cantik serta pembangunan tetapi hak peneroka tidak ditunaikan.

Setiap kali pilihan raya kata beliau, ada saja pimpinan parti yang menabur janji tetapi selepas pilihan raya hak peneroka tetap tidak ditunaikan.

Beliau memaklumkan, ada peneroka yang menjual tanahnya seluas sembilan ekar bernilai keseluruhan RM1,098,798.37 iaitu RM120,967.74 seekar.

Bagaimanapun, peneroka tersebut masih tidak memperolehi baki jualan tanah sebanyak RM500,000 sejak Ogos 2001.

Menurut beliau, berdasarkan perjanjian tersebut pemaju berjanji akan membayar baki jualan selepas 48 bulan daripada tarikh bayaran pendahuluan pertama.

Akibat penipuan itu, katanya, peneroka telah kehilangan pekerjaan sehingga penduduk kampung Sungai Buaya menjadi golongan asnaf miskin yang terbesar di Selangor seramai 244 orang.

Menurut beliau, ada dikalangan penduduk terpaksa mencari pendapatan dengan memotong getah yang tumbuh di tanah yang telah dijual kepada Murna Jaya.

Tindakan peneroka itu menyebabkan kata beliau pihak berkenaan menebang pokok tersebut supaya tidak ditoreh.

Ada juga katanya, yang menoreh sehari dua kali iaitu pagi dan petang untuk mengelak daripada terus berada dalam golongan asnaf.

"Ada yang mengutip barang lusuh, keluar ke Rawang untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kerja-kerja am," katanya.

Kemiskinan itu juga tambah beliau menyebabkan penduduk kampung Sungai Buaya terbelenggu dengan gejala maksiat dan kecurian.

Beliau yang mewakili penduduk berharap kerajaan Pakatan Rakyat dapat membantu menyelesaikan masalah yang ditanggung oleh peneroka sejak 16 tahun lalu.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP