Peneroka Felda terbela di bawah Pakatan Rakyat

>> Tuesday, May 4, 2010


SAIDAH HAIRAN

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat perlu menunjukkan satu model kerajaan membela nasib rakyat khususnya peneroka yang melibatkan pengurusan Rancangan Berkelompok Felda.

Jika perkara itu berjaya dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, sudah pasti peneroka akan menyedari bahawa selama 52 tahun mereka telah ditipu dan ditindas oleh Felda yang ternyata tidak membela nasib peneroka dan generasi kedua Felda.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, kerajaan negeri perlu campurtangan dalam urusan pelantikan Pengurus Rancangan selaras dengan kuasa yang diperuntukan dalam akta Kumpulan Penempatan Berkelompok atau Group Settlement Act (GSA).

Selama 52 tahun tenaga peneroka Felda diperah untuk memajukan tanah seluas 10 hektar. Namun, akhirnya peneroka tidak mempunyai hak ke atas tanah yang dihasilkan. Begitu juga dengan nasib generasi peneroka Felda yang kini berada di awang-awangan.

Rancangan Tanah Felda yang ditubuhkan hasil hasrat Tun Abdul Razak bertujuan mahu melihat rakyat yang tidak bertanah dapat memperbaiki kehidupan dan sosio ekonomi mereka lebih terjamin.

Bagi mencapai hasrat membangunkan taraf kehidupan rakyat luar bandar GSA dibentang dan digubal untuk memberikan panduan dan keseragaman kepada semua negeri-negeri.

Di bawah akta itu kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mewartakan dua kawasan penempatan iaitu kawasan penempatan luar bandar dan kawasan petempatan bandar.

Pemilikan tanah akan diberikan secara individu tidak melebihi 10 ekar setiap seorang dan dalam sesetengah keadaan pula, pemilikan bersama yang tidak melebihi dua individu bagi satu tanah diberikan.

Penubuhan Felda sudah melepas 50 tahun. Felda merupakan sebuah agensi kerajaan yang kini maju daripada segi saiz, hasil pendapatan dan pentadbiran. Manakala sistem pengurusan ladang Felda dikatakan terbaik di dunia.

Hakikatnya penubuhan Felda yang murni dan mahu membantu kehidupan rakyat itu, akhirnya tergelincir daripada landasan akibat campurtangan politik.

Kehidupan peneroka terus dibelenggu dengan hutang keliling pinggang, tertekan, tertindas dengan segala penipuan yang tidak disedari oleh peneroka selama ini.

Akta GSA terus digunakan untuk menakut-nakutkan peneroka supaya tidak berani melawan kerajaan. Pada awalnya, peneroka Felda dianggap sebagai `anak emas' kerajaan sebab mereka diberikan tanah. Namun, tanah tersebut tidak boleh diwarisi oleh generasi peneroka.

Apakah akan berlaku kepada nasib 112,635 orang peneroka dan 800,000 generasi baru Felda, jika kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak membantu melepaskan mereka daripada terus ditipu dan ditindas oleh pengurusan Felda.

Daripada aspek politik pula, Felda merupakan satu penempatan yang sukar untuk ditembusi oleh parti selain Umno-BN. Mengapa? Sudah tentu masyarakat Felda ditanamkan dengan ideologi sempit dan sesat untuk terus patuh dan taat kepada pimpinan Umno-BN.

Jika peneroka engkar sudah pasti mereka akan dibuang daripada terus tinggal di Felda. Itulah amaran atau ugutan yang sering dikeluarkan oleh pimpinan Umno-BN untuk mendapatkan sokongan padu daripada peneroka Felda.

Sampai bilakah peneroka harus dikongkong dengan pelbagai ugutan sedangkan dalam masa yang sama hak milik tanah mereka masih belum selesai.

Anak peneroka Felda yang diamanahkan sebagai Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mendesak supaya kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat menyemak semula terma yang terkandung dalam akta GSA.

Ini kerana katanya semakan itu perlu dilakukan bagi membolehkan tanah yang diberikan kepada Felda Plantations diambil dan diserahkan kepada generasi kedua Felda.

Beliau menegaskan, jika tanah seluas 384,000 hektar yang diberikan kepada Felda Plantations diambil dan ditempatkan peneroka maka seramai 84,000 anak peneroka dapat penempatan dan pekerjaan.

Menurut beliau, bagi menyampaikan desakan itu, Anak telah menyerahkan memorandum kepada semua kerajaan negeri supaya menyemak semula terma yang terkandung dalam GSA.

Hak pemilikan tanah peneroka perlu dikembalikan kepada anak peneroka, tegas beliau.

Katanya, Anak mahu asas penubuhan Felda sebagaimana yang dihasratkan Tun Abdul Razak dikembalikan bagi menjamin kehidupan selesa untuk generasi peneroka.

Sementara itu, peguam yang menang kes Felda Kemahang 3, Kelantan, Wan Rohmi Wan Daud mendesak seluruh warga peneroka supaya berani mempertahankan hak milik tanah mereka daripada terus ditindas dan ditipu oleh pengurusan Felda.

Katanya, tanpa pengetahuan peneroka, Felda telah menggunakan GSA 1960 untuk terus menindas kehidupan peneroka dan berpandukan akta itu juga peneroka akan dibuang daripada rancangan Felda jika melanggar akta tersebut.

Sebenarnya kata beliau, Felda tiada kuasa untuk melakukan perkara itu terhadap peneroka.

Malangnya tambah beliau peneroka telah ditakut-takutkan dengan akta GSA supaya tidak melawan dan tidak banyak menuntut hak selama 52 tahun ini.

Bercakap di Himpunan Warga Peneroka Kebangsaan kali ke2 di Felda Desa Maju, Sungai Tengi, Hulu Selangor, beliau menegaskan, isu tanah berada di bawah kuasa kerajaan negeri bukan Felda.

Selama ini kata beliau tanpa disedari peneroka telah ditipu oleh Felda dengan isytiharkan buah reject, curi buah reject dan kualiti minyak rendah.

Hasil penyiasatan yang dilakukan tambah beliau didapati dalam purata tujuh tan kelapa sawit, Felda menyatakan setengah tan terdiri daripada buah yang reject.

Bagaimanapun, kata beliau peneroka tidak dibenarkan mengambil buah yang dikatakan reject sebaliknya di waktu malam lori akan datang mengambil buat tersebut dan di bawa ke kilang untuk diproses.

Malangnya kata beliau peneroka tidak pernah menikmati hasil daripada buah yang direject dan disitu setiap peneroka telah mengalami kerugian atas angin sebanyak RM250 sebulan.

Beliau turut mendedahkan setiap kilang Felda turut mewujudkan kolam minyak busuk yang pada waktu malam `lori hantu' diarah datang menyedut minyak tersebut untuk dijual.

Menurut beliau, Felda telah menjual minyak busuk itu kerana ia mempunyai harga tetapi hasilnya langsung tidak diagihkan kepada peneroka.

Beliau amat berharap kerajaan Pakatan Rakyat dapat meneliti kembali kuasa yang dimiliki di bawah akta GSA untuk membangunkan taraf hidup dan memperjuangkan kebajikan peneroka Felda.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan kerajaan negeri akan melihat semula perjanjian peneroka Felda dengan kerajaan Persekutuan dan badan Felda untuk memberikan keadaan yang lebih baik kepada generasi Felda.

Beliau mengakui bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa keatas tanah di Selangor sebab itu perubahan perlu dilakukan supaya masyarakat Felda dapat menikmati hasil yang selama ini diusahakan.

Bagi mengatasi masalah itu beliau memaklumkan kerajaan negeri telah melantik bekas calon Pakatan Rakyat Hulu Selangor, Dato' Zaid Ibrahim mengetuai `task force' untuk melihat perjanjian yang dibuat antara peneroka dengan kerajaan dan perbadanan.

Ini penting katanya, supaya kerajaan negeri mengetahui perkara yang patut diselesaikan kerana sudah 18 tahun perjanjian itu dibuat dan sepatutnya sudah luput 15 tahun.

"Malangnya perjanjian itu masih digunapakai sehingga hari ini dan potongan peneroka sudah banyak dibuat," tegasnya.

Manakala Ahli Parlimen Gombak merangkap Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut dilantik menjadi eksekutif pengurusan supaya boleh merancang penempatan yang sesuai untuk masyarakat Felda.

Perkara itu katanya akan dilakukan secepat mungkin kerana kerajaan Pakatan Rakyat amat mementingkan kebajikan rakyat yang berbeza dengan BN hanya setakat pandai berjanji.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP