Pimpinan PAS berjiwa rakyat

>> Sunday, May 16, 2010




SIBU: Gelombang perubahan politik negara menuntut politikus yang ikhlas menghulur bantuan serta menyambut senyuman daripada rakyat yang sentiasa dahagakan kemesraan dan perhatian seorang pemimpin.

Perubahan politik yang berlaku membuktikan rakyat sudah matang dalam menilai pemimpin mereka.
Rakyat tidak rela berterusan mendengar dendangan sumbang tentang retorik perubahan yang dilaungkan oleh pimpinan negara.
Justeru, PAS memerlukan pimpinan berkebolehan, berketrampilan, berilmu serta mudah didampingi tanpa mementingkan birokrasi. PAS sering menerima tohmahan sebagai parti eksterim.
Pimpinan PAS sering dilabelkan tidak mesra rakyat. Mementingkan birokrasi serta lupa tanggungjawab kepada ahli.

Pepatah Melayu menyatakan 'Hanya jauhari yang mengenal manikam'. Pengamatan penulis mendapati kesungguhan dan keprihatinan dua pimpinan kanan PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub bukan lakonan jauh sekali bersifat politik kepartian.

Kemesraan dan keperihatinan yang ditonjolkan ketika menziarahi masyarakat di kampung Hilir, DUN Nangka, Sibu jelas membuktikan itulah sifat sebenar mereka. Warga emas disantuni, golongan muda dihormati kanak-kanak disayangi.

Pantang bertemu kanak-kanak, pasti didukung dengan penuh kasih sayang, itulah Mahfuz Omar, ahli Parlimen Pokok Sena. Salahuddin yang terkenal dengan sifat `pendengar setia' menggunakan kebijaksanaan untuk terus menyelami masalah penduduk kampung Hilir, yang terbelanggu dengan isu tanah.

Manakala golongan muda yang berada di tepi jalan kampung itu mengagumi ketokohan Mahfuz dan Salahuddin. Ada yang mengambil peluang meminta Mahfuz menandatangani autograf.

Sikap keterbukaan penduduk kampung Hilir memudahkan Mahfuz, Salahuddin mengenalkan ketokohan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Oh...ini saya kenal, Nik Aziz...Menteri Besar Kelantan," kata seorang penduduk wanita ketika ditunjukkan poster Nik Aziz.

DUN Nangka yang dilabelkan `kubu BN' tidak menggentarkan pimpinan Muslimat untuk mendakap golongan wanita khususnya warga emas.

Hajah Hajijah Omar, 80 menangis sehingga sukar melepaskan pelukan daripada Naib Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid; Pegawai Perubatan yang juga Naib Ketua Muslimat Kawasan Sepang, Dr Nahidah Abd Rahim serta AJK Muslimat Subang, Rabeah Al-Adawiyah Hussin.
Turut menyelami masalah penduduk, ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar serta pemuda PAS Kawasan Miri, Sarawak. PAS lebih dikenali sebagai `duta' penyelamat hak rakyat dan menyemai suasana berkasih sayang.

Kepakaran menggunakan `sentuhan kasih sayang' dimiliki oleh Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga AJK PAS Pusat, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.

Siapa tidak kenal dengan ahli panel forum Perdana. Nada suara dan gaya diadun menjadi satu sehingga berjaya menambat hati pendengar.

Laungan takbir memecah kesunyian kampung Hilir yang selama ini terlalu akur dengan ugutan BN. Penduduk yang berada di hadapan markas tidak berganjak mendengar ceramah Hasan.

Penguasaan dalam cabang ilmu ditambah pengalaman sebagai pegawai kerajaan memberi kelebihan kepada ketrampilan kepimpinan beliau sama ada sebagai Pesuruhjaya mahupun exco kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Kejayaan kerajaan Selangor membela nasib rakyat dikongsi bersama supaya dapat diikuti oleh penduduk Sibu, Sarawak yang akan mengadakan pilihan raya pada 16 Mei.

Kesepakatan, keserasian serta keikhlasan Mahfuz, Salahuddin dan Hasan menemui masyarakat tidak dapat disangkal kerana mereka sebenarnya pemimpin berjiwa rakyat.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP