Ulama jamin turun demo judi bola

>> Tuesday, June 22, 2010


SAIDAH HAIRAN
PUTIK: Dewan sidang Muktamar menerima usul memansuhkan judi sukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui wakilnya, Ahmad Fadhil Shaari dengan sokongan sebulat suara.
Dalam usul tersebut beliau menegaskan kerajaan BN telah meluluskan judi sukan maka PAS harus menentang langkah kerajaan BN memperkenalkan judi sukan dan lebih malang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan.
Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menggerakkan himpunan di beberapa negeri sebagai tanda bantahan.
Sehubungan itu Muktamar 56 Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak pihak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan dengan mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dengan mendidik rakyat membenci judi.
Pemuda PAS Pusat juga mendesak PAS Pusat memobilasi semua rakyat turun ke himpunan 100,000 rakyat pada 3 Julai di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung.
"Kita hargai komitmen dewan Ulama yang memberi jaminan akan turun pada demonstrasi pada 3 Julai nanti," katanya.
Usul tersebut disokong oleh perwakilan Jerlun, Abdul Rahim Jusoh menegaskan walaupun telah diluluskan oleh kerajaan BN namun jika ada desakan kuat daripada PAS insyAllah Umno akan batalkan kelulusan itu.
Ini kerana katanya Umno hanya faham bahasa demonstrasi dan bahasa undi sebab itu demonstrasi perlu dihadiri seluruh rakyat.
"Ulama sudah memberi jaminan untuk turun dan diharap Muslimat turut menghadiri demo manakala pimpinan atasan jika tidak turun akan diturunkan pada tahun hadapan," tegasnya.
Beliau yakin isu judi itu memberi ruang kepada PAS untuk meraih sokongan daripada orang Melayu dimana Ulama juga boleh menggunakan surau dan masjid untuk menerangkan isu tersebut.
Usul tersebut turut disokong oleh perwakilan Tebrau (Johor), Shamsul Bakri dengan mengatakan gerakan rakyat membantah judi telah diwujudkan di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat bersama sebahagian besar NGO.
Beliau berkata, PAS Tebrau mengharapkan bantahan judi sukan itu akan digerakkan secara berterusan dan bukan saja menentang judi bola tetapi judi kuda dan sebagainya.
Ini bagi menandakan kata beliau, bantahan yang dilakukan oleh PAS itu bukan gimik politik sebaliknya tanggugjawab besar terhadap perjuangan Islam.
Dalam sokongan usul tersebut beliau mengajak perwakilan melaungkan `Mansuh...mansuh..hancur...hancur Umno...takbir'.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP