Terharu dengan penjelasan Dato' Hasan

>> Sunday, July 25, 2010


Pengakuan terbuka Dato' Dr Hasan Mohd Ali tentang pertemuan beliau dengan Dato' Seri Harussani menimbulkan keinsafan dalam diri saya bahawa untuk istiqamah dalam perjuangan Islam ia memerlukan keikhlasan dan ketaqwaan.

Saya secara peribadi melihat beliau sebagai seorang ayah. Sebagai seorang pemimpin di negeri Selangor, beliau sangat menggunakan kebijaksanaan untuk mendekati seseorang. Beliau tidak melatah ketika diajukan soalan-soalan panas dalam sesi sidang media. Saya amat menghormatinya.

Beliau sekali lagi dibabitkan dalam isu perbincangan `Perpaduan PAS-Umno'. Isu itu panas ketika beliau berada di UK bersama exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Dr Halimah Ali atas urusan kerajaan negeri Selangor.

Tanpa merisik dan mengenal pasti beberapa pimpinan PAS negeri dan Pusat cepat melatah dan terus membuat kenyataan. Walaupun dalam kenyataan pimpinan tersebut tidak menyebut nama Dato' tetapi kenyataan itu berbunyi keras. Sehingga membawa pada cadangan untuk dipecat.

Perkara begini bukan baru pertama kali berlaku kepada Dato' Hasan. Dulu pernah berlaku. Pimpinan yang sama juga cepat melatah. Buat kenyataan di media. Pantang wartawan telefon terus membuat kenyataan tanpa merisik terlebih dahulu.

Fikir dulu sebelum bercakap. Sekarang ini kita sedang menuju keera peperangan. Perang dengan Umno. Sudah tentu Umno akan memasang pelbagai agenda dan stategi untuk mengucar kacirkan ahli dan pimpinan PAS.

Jadi, mengapa pimpinan PAS cepat sangat berprasangka buruk terhadap dato Hasan Ali. Saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan Dato' Hasan. Saya tidak pernah mendapat apa-apa projek daripadanya. Walaupun saya wartawan yang diamanahkan di Selangor. Saya menjalankan tanggungjawab atas amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Ketika merasmikan Munaqasah Ucapan Presiden PAS, di dewan MBSA Shah Alam, petang tadi, beliau sekali lagi menjelaskan tujuan pertemuan sebenar dengan Harussani. Cuba kita bayangkan diri kita berada di tempatnya Dato' Hasan.

Sebagai Pesuruhjaya PAS, exco Kanan negeri Selangor, pakar motivasi tetapi beliau mampu membuat penjelasan terbuka di hadapan ahli, di hadapan Setiausaha, Ketua Penerangan Selangor dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Saya rasa terharu dengan ketabahan dan kesabaran beliau menjelaskan pertemuan sebenar dengan Harussani.

Lebih mengharukan...selepas tamat Munaqasah beliau bertemu dan menegur saya; "Saidah...macam mana? Saya jawab dua kali...`Saya ok Dato'...sangat-sangat ok'...dihadapan isterinya, Datin Salbiah dan Timbalan Muslimat Negeri Selangor, Noraini Hussin.

Harapnya selepas ini tiada lagi dakwaan atau fitnah yang hendak dilemparkan kepada beliau. Cukuplah. Kita hendak berperang dengan Umno bukan sesama kita. Sepatutnya kita menutup kelemahan sesama kita bukan semakin membukanya dan mendedahkan kepada pihak media.

Fikir-fikirkan lah jika perkara itu berlaku kepada diri kita!

KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN BIN MOHAMED ALIAHLI EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat malah sentiasa menggalakkan ahli-ahli Exconya mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka. Pertemuan seperti ini diatur bagi meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi serta profesionalisme ahli-ahli Exco berkenaan.

Dengan cara ini sistem pengurusan dan pembangunan negeri terus dapat dipertingkatkan. Pertemuan saya dengan Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada kira-kira dua bulan yang lepas merupakan salah satu daripada “engagement” sedemikian yang dilakukan atas sifat saya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab secara langsung antara lainnya portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

Pertemuan tersebut diatur bagi membolehkan saya meninjau ilmu dan pengalaman beliau secara amali mengurus Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu. Saya dimaklumkan beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Mufti dan sebelum itu menjawat jawatan sebagai Kadhi Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Ilmu dan pengalaman yang begitu luas yang beliau miliki sudah tentu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan umat Islam seluruhnya.

Saya ingin menegaskan bahawa:

1. Pertemuan tersebut adalah pertemuan di antara saya selaku ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan beliau selaku Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

2. Pertemuan diatur bagi meraih kebaikan bersama demi untuk kemajuan Islam dan kesejahteraan umat;

3. Pertemuan tersebut bukan pertemuan sulit, malah diadakan secara terbuka ditempat yang terbuka.

4. Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu;

5. Pertemuan tersebut tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu;

6. Pertemuan itu diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Saya telah diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat tersebut.

Saya menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaan saya menghadiri mesyuarat tersebut.

Kepada sesiapa yang mempunyai prasangka dan agenda jahat terhadap saya dalam hal ini, saya menyeru supaya mereka dapat merenung semula dan bermuhasabah diri agar tidak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak memberi manfaat kepada kemajuan agama, parti yang sama-sama kita cintai dan umat seluruhnya.

Marilah kita bersama-sama menumpukan tenaga dan pemikiran bagi menghadapi cabaran Pilihanraya Umum Ke 13 yang dijangka akan berlaku tidak berapa lama lagi.

Sekian terima kasih.24 Julai 2010

YB Dato’ Dr Hasan Bin Mohamed Ali

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri SelangorPengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Malayu, Infrastruktur dan Kemudahan AwamTingkat 2, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP