Tiada isu pertemuan Hasan - Harussani

>> Monday, July 26, 2010


SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: PAS Selangor menegaskan kontroversi yang melanda Pesuruhjaya PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah selesai dan tidak menjadi isu bagi PAS dan Pakatan Rakyat negeri itu.

Menurut Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir, penjelasan Dr Hasan mengenai tujuan pertemuan dengan Harussani yang didakwa membincangkan isu kerjasama PAS dan Umno dengan sendirinya telah membersihkan nama beliau.

Berikutan itu, beliau berpendapat pihaknya tidak perlu menyaman Harussani yang mendakwa pertemuan bersama Hasan telah membincangkan isu kerjasama PAS dan Umno.

"Kontroversi pertemuan Dato' Hasan dengan Harussani tidak pernah menjadi isu bagi PAS dan pihak kami tidak akan mengambil tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi Harakah.

Sabtu lalu dalam program Munaqasah ucapan dasar Presiden, Hasan diminta mengambil tindakan undang-undang terhadap Harussani ekoran dakwaannya bahawa pimpinan PAS telah menemuninya untuk membincangkan kerjasama PAS -Umno.

Bagaimanapun, Hasan enggan mengulas lebih lanjut kerana sebelum itu ketika merasmikan Munaqasah beliau telah menjelaskan kedudukan sebenar tentang pertemuan tersebut.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Selangor mengesahkan pertemuan tersebut yang dilakukan dua bulan lalu tetapi tidak mempunyai agenda sulit.

Katanya, pertemuan tersebut diadakan secara terbuka dan ditempat yang terbuka bagi pihak kerajaan negeri Selangor atas kedudukannya sebagai exco yang menjaga hal ehwal Islam dan adat Melayu.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pemimpin dan ahli PAS khasnya tidak berprasangka jahat terhadapnya sebaliknya perlu menumpukan kerja menghadapi pilihan raya ke 13.

"Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu dan pertemuan itu tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu," katanya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP