Apakah Melaka akan terus terukir dengan sejarah Sekolah Harapan?

>> Monday, September 20, 2010

SAIDAH HAIRAN

Tanggal 8 Syawal Melaka yang terkenal dengan negeri bersejarah terus mencipta sejarah. Sekolah khas untuk pelajar hamil yang dibiayai kerajaan Melaka telah dibuka di Jasin pada hari Jumaat, 17 September.

Di saat masyarakat dan kerajaan membicarakan masalah pembuangan dan pembunuhan bayi, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam melontarkan cadangan menubuhkan sekolah ibu mengandung di luar nikah yang dikenali sebagai Sekolah Harapan.

Mana ada negeri di Malaysia yang mewujudkan sekolah untuk ibu mengandung luar nikah?

Hanya Melaka saja yang mencipta sejarah menyediakan sekolah pelajar mengandung tanpa nikah.

20 September lalu sekolah Harapan telah menerima lima orang pelajar empat daripadanya pelajar Melayu dan seorang Cina yang masing-masing telah mengandung sekitar enam bulan.

Menurut Ali Rustam sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar, tujuan sekolah Harapan

ditubuhkan bagi membolehkan remaja yang terlanjur meneruskan persekolahan sehingga mereka bersalin dan tamat edah sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sejauh mana keyakinan Ketua Menteri itu bahawa pelajar-pelajar yang sudah bersalin dan pulang ke rumah tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu?

Kerajaan Melaka khususnya Ali Rustam perlu memikirkan cara pendidikan kepada bayi yang telah dilahirkan.

Bayi-bayi tersebut mesti diberi pendidikan Islam serta penghayatan akidah yang kukuh supaya mereka tidak memberontak apabila sejarah kelahiran mereka didedahkan.

Tidak mustahil ada dikalangan anak-anak luar nikah yang mengikut jejak langkah ibu mereka iaitu mengandung tanpa suami yang sah.

Perzinaan di negara ini sudah ditahap kritikal jika dilihat daripada jumlah pendaftaran anak luar nikah sehingga tahun 2009.

Melayu 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India 23,696 kes dan Cina 23,692 kes.

Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Ini bermakna 83.3 kes anak luar nikah telah lahir setiap hari di Malaysia. Ini membuktikan bahawa perbuatan zina itu dilakukan di merata tempat.

Sebagai contoh di Mersing pasangan remaja menjadikan jejantas sebagai sarang melakukan tidak bermoral dan seks bebas.

Pihak Penguatkuasa Majlis Daerah Mersing (MDM) dapat mengesan jejantas berhampiran sekolah menengah kebangsaan Mersing dijadikan lokasi perbuatan haram.

Ketika pemantauan pegawai MDM menjumpai pakaian dalam wanita yang tertinggal kerana tergesa-gesa melarikan diri disebabkan serbuan.

Justeru, Ali Rustam perlu memastikan pengisian sekolah Harapan itu benar-benar memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua pelajar yang terlibat. Sama ada mereka itu pelajar Melayu atau bukan Melayu.

Pengisian sekolah Harapan itu bukan setakat kurikulum berbentuk akademik tetapi lebih penting pendidikan agama yang perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan mereka seharian.

Barulah Ali Rustam boleh menarik nafas lega bahawa pelajar-pelajar yang pernah masuk sekolah Harapan tidak akan acap kali keluar masuk sekolah tersebut.

Sudah pasti masyarakat tidak mahu mendengar sekolah Harapan setiap tahun bertambah jumlah pelajarnya.

Lebih mengarukan apabila pelajar tersebut bukan saja pelajar baru tetapi pelajar lama yang sudah kerap keluar masuk sekolah Harapan.

Jika perkara itu berlaku amat malang sekali Melaka yang terkenal dengan negeri bersejarah kerana memelihara anak-anak luar nikah yang teramai.

Sudah pasti Ali Rustam dan kerajaan BN tidak mahu Malaysia khasnya Melaka terus dikenali kerana adanya sekolah Harapan yang banyak melahirkan bayi luar nikah.

Apa akan jadi masa depan negara jika bayi luar nikah ini membesar tanpa mendapat didikan sempurna berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Mengulas senario itu, Adun Bangi (Selangor), Dr Shafie Abu Bakar menegaskan kerajaan Melaka sebenarnya tidak mencari apa punca sebenarnya yang menyebabkan ramai pelajar Melayu mengandung tanpa nikah.

Beliau yang juga pembantu exco hal ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yakin kewujudan sekolah Harapan itu seolah-olah menggalakkan berlakunya perbuatan zina dikalangan para pelajar.

"Sepatutnya kerajaan Melaka terutama Ali Rustam mencari punca dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang membawa hubungan bebas antara pelajar perempuan dengan remaja lelaki," katanya.

Tindakan Melaka itu amat berbeza dengan kerajaan Selangor yang telah melancarkan kempen anti zina pada malam menyambut kemerdekaan 31 Ogos lalu.

Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) telah melancarkan kempen anti-zina sebagai usaha membendung kes buang dan membunuh bayi yang berleluasa.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor lebih tepat dan lebih mendekatkan remaja, pelajar dan belia supaya menghayati dan mengamalkan pendidikan Islam," jelasnya.

Menurut beliau, kempen anti zina sudah digerakkan seluruh kawasan di Selangor dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar Melayu dan bukan Melayu bahkan guru-guru turut memberi kerjasama.

Katanya, bagi sekolah yang tidak membenarkan GeMS masuk pelajar-pelajar tersebut dibawa keluar dengan cara galakkan menyertai program yang diadakan di luar.

"Kita buat kursus motivasi bagi pelajar tingkatan 3,4 dan 5 selama sehari semalam dan ada kalanya dua hari. Kita buat motivasi di sekolah dan juga dewan masjid," katanya.

Beliau tidak menafikan di mana-mana sahaja ada masalah sosial yang melibatkan lelaki dan perempuan tetapi sekurang-kurangnya kerajaan Selangor berusaha meminimakan permasalahan tersebut daripada berleluasa.

Jika perzinaan itu dibiarkan tegas beliau sudah pasti masa depan negara akan terancam kerana pelajar dan remaja merupakan generasi yang mencorakkan masa depan negara.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP