`Ayah mana, bila ayah hendak balik...'

>> Sunday, September 19, 2010



SAIDAH HAIRAN

GOMBAK: Keluarga pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, yang didakwa dibunuh tidak sanggup mendengar rintihan anak bongsu, Mohd Faiz Rizmi, 5, sering merenggek bertanya ayah mana...bila ayah hendak balik...

Demikian menurut adik kepada isteri Noorhisham, Ernie Surianie Radin Pangat yang berlinang air matanya ketika ditemui Muslimat PAS Pusat dan Selangor selepas majlis bacaan yasin dan tahlil di rumahnya di Pandan Mewah, Khamis lalu.

"Faiz amat rapat dengan ayah dia, tidur memang dengan ayahnya. Dia akan tanya mana ayah bila melihat gambar-gambar ayah dia," luah Surianie.

Menurut beliau, isteri mangsa, Suzana serta dua orang anaknya tidak putus asa dan tetap menaruh keyakinan ayah mereka akan pulang selagi tidak mengetahui hasil ujian DNA.

Suriani yang kini menemankan kakaknya, bimbang dengan keadaan anak kedua mangsa, Nur Aneesa Salbiah, 11, yang banyak termenung, diam dan sering berkata, mangsa yang mati sebagaimana dilaporkan akhbar bukan ayahnya.

Penulis mendekati Aneesa dan cuba berbual namun beliau hanya menjawab sepatah tanpa memberikan senyuman.

Ketika Muslimat membaca yasin, Aneesa meminta penulis mengambilkan yasin dan beliau turut membaca bersama-sama Muslimat PAS.

Aneesa yang duduk bersimpuh di tangga merenung wajah ibunya dengan renungan yang begitu sayu, senyumannya tawar tidak ceria kerana menanti kepulangan ayah.

Penulis begitu sayu melihat wajah Aneesa yang duduk di atas tangga dan mungkin inilah yang dikatakan, `Berat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul.'

Suasana berbeza di rumah jutawan kosmetik, Dato' Sosilawati Lawiya kerana majlis bacaan yasin dan tahlil turut disertai wanita KeADILan Selangor.

Bagaimanapun, Nuridah serta exco DMPP, Kartini Ahmad; Salbiah Abd Wahab; Wan Hasrina Wan Hassan; Khadijah Mahmood; Rosiah serta Naib Muslimat PAS Selangor, Mariam Abd Rashid sempat mendengar luahan anak Sosilawati, Erni Erinawati Sofia yang menaruh harapan tinggi ibu mereka masih hidup dan akan pulang ke pangkuan keluarga.

Nuridah berharap jika ujian DNA mengesahkan empat mangsa itu keluarga mereka, anak-anak; isteri serta seluruh keluarga mangsa dapat menerima keadaan itu dengan tenang.

"Kita anggap ini ujian Allah yang mesti dihadapi dan kita berdoa semoga semua mangsa selamat dunia dan akhirat," katanya.

Beliau terkilan dengan pihak polis kerana didakwa tidak mengambil tindakan serius ketika menerima beberapa laporan kes kehilangan sebelum ini.

Katanya, polis mesti berkhidmat secara efisyen jangan cuai dengan laporan yang dibuat dan apa makna menerima laporan tetapi tidak membuat penyiasatan.

Menurut beliau, wanita seluruh negara khususnya Muslimat PAS mendesak pihak polis mesti menyiasat dengan cekap dan bersungguh supaya mereka yang terlibat dengan pembunuhan
kejam itu dihukum setimpal.

Katanya, integriti polis boleh dipertikai kerana banyak bersikap double standard dalam siri penyiasatan khususnya melibatkan kes berprofil tinggi.

"Muslimat PAS kesal dan amat simpati dengan pembunuhan terhadap seorang wanita iaitu Dato' Sosilawati, wanita yang berjaya dalam usahawan," tegasnya.

Beliau harap pihak polis dapat memberikan hasil keputusan yang baik dan memuaskan hati semua rakyat Malaysia khususnya keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha yang turut menyertai majlis bacaan yasin menyeru pihak polis meningkat usaha menyelesaikan kes jenayah dengan segera.

Menurut beliau, kes pembunuhan kejam ini sebenarnya berulang dengan menggunakan kaedah yang sama tetapi disebabkan tiada penyelesaian daripada laporan terdahulu maka jenayah itu seolah-olah dibenarkan.

"Kita hanya mengambil perhatian serius apabila berlaku kepada orang yang terkenal dan berkedudukan," katanya.

Beliau berkata, kenapa sekarang baru semua pihak tersentak mengapa laporan dahulu dibiarkan dan tidak disiasat secara terperinci.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP