Rumah terbuka Dr Mariah meriah

>> Thursday, September 23, 2010


Keserasian dan kesepaduan gabungan kerajaan Pakatan Rakyat terbukti apabila rumah terbuka eidulfitri Parlimen Kota Raja diadakan bersama dengan DUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Sri Muda, Suhaimi Muda di dewan Bukit Naga, Kota Raja, Klang.

Keceriaan suasana hari raya masih dirasai oleh para tetamu ditambah dengan kunjungan yang melebihi jangkaan iaitu seramai 5,000 orang dikalangan bangsa Melayu, India dan Cina.

Rumah terbuka tersebut menjadi lebih ceria apabila Dr Siti Mariah mengenakan baju kurung bercorak kuning berbunga hijau, Suhaimi lengkap baju Melayu dan bersongkok manakala penampilan Xavier dengan baju Melayu kuning serta kain sampin.

Inilah kehebatan keserasaian yang ditunjukkan oleh tiga pimpinan Pakatan Rakyat, walaupun berlainan bangsa dan politik namun mereka boleh duduk semeja menghormati budaya serta adat masing-masing.

Majlis bertambah meriah dengan keriuhan jeritan kanak-kanak serta tetamu ketika menunjukkan nombor yang tertera di belakang pinggan makan supaya disebut oleh ketiga-tiga wakil rakyat dalam cabutan nombor bertuah.

Menurut Dr Mariah, rumah terbuka kali ini berbeza kerana ada cabutan nombor bertuah serta penggunaan seorang tetamu hanya satu pinggan dan cawan sahaja yang dikeluarkan oleh `Go Green' iaitu pinggan mesra alam sekitar yang dibuat daripada bahan yang boleh lupus.

Beliau mengingatkan semua tetamu supaya menggunakan pinggan dan cawan yang dibuat daripada bahan yang mudah lupus jika mahu menganjurkan apa sahaja majlis.

Lebih 300 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun iaitu Melayu, Cina dan India menerima wang hari raya daripada Dr Mariah.

Makanan yang dihidangkan antaranya, kari kambing; lemang; roti arab; buah duku langsat; nasi minyak; mee hon; kuih; nasi impit; rendang.

Persembahan kombo daripada Majlis Daerah Klang yang mengalunkan lagu hari raya turut memeriahkan suasana rumah terbuka ditambah dengan kepetahan pelawak, Khairul Azhar menjadi juruacara.

Dalam masa yang sama Mariah yang ditemui sebelum majlis turut mempersoalkan tindakan polis yang kurang mengambil tindakan segera terhadap beberapa aduan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat berhubung salahlaku wakil rakyat dan pimpinan Umno-BN.

Ini berikutan kata beliau, polis telah datang ke pejabatnya di Jalan Temenggung menyiasat serta mengambil komputer dan dibawa ke Bukit Aman ekoran aduan Umno Bahagian Kota Raja tentang artikal yang ditulisnya didakwa berbaur hasutan.

"Selepas dibawa ke Bukit Aman, polis akan bawa ke Putrajaya pula dan saya tidak tahu sampai bila siasatan itu akan selesai," katanya.

Beliau bersedia didakwa di mahkamah kerana tindakan polis itu akan menyebabkan namanya naik serta memalukan pihak polis.

Ini kerana katanya rakyat akan berusaha mencari dan membaca artikal berkenaan yang konon didakwa sebagai menghasut.

Menurut beliau, pihak polis akan bertindak segera jika ada aduan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat tetapi jika aduan terhadap Umno-BN polis seolah-olah tidak mengendahkannya.

"Saya telah membuat aduan mengenai artikal Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo yang tertera di laman blognya mendakwa exco kerajaan Selangor, Teresa Kok menghalang azan dilaungkan di kawasan perumahan," katanya.

Bagaimanapun kata beliau aduan itu sehingga sekarang tiada mendapat sebarang maklumat.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP