Syawal menghubungkan silaturahim peneroka Felda, Muslimat PAS

>> Saturday, September 18, 2010








Foto dan laporan: SAIDAH HAIRAN

KOTA TINGGI: Kesungguhan dan keprihatinan Muslimat PAS Pusat menjejaki ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta golongan yang hidup dilingkari kemiskinan serta kesusahan bukan setakat tertumpu di bulan Ramadan, tetapi aktiviti itu diteruskan di bulan Syawal.

Tanggal 4 Syawal di mana perantau yang tinggal di kota besar, Kuala Lumpur masih bersama ibu dan keluarga masing-masing, di saat itulah delegasi Muslimat PAS Pusat diketuai, Ustazah Nuridah Mohd Salleh seharian berada di Felda Taib Andak dan Felda Bukit Besar, Kota Tinggi.

Bagi beliau senyuman daripada ibu-ibu tunggal; anak-anak yatim dan golongan yang dilingkari kemiskinan lebih penting jika dibandingkan kegembiraan diri dan keluarganya.

Program Mubarak Ramadan dan Syawal yang selama ini dilakukan dengan kerjasama Bilik Berita Harakah, telah menjejaki insan-insan yang memerlukan sumbangan atau bantuan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Bezanya, kali ini program tersebut dilakukan pada bulan Syawal dan disertai Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; bekas calon, Left. Kol (b) Nazari Mokhtar serta AJKnya.

Sebanyak 20 buah rumah telah dikunjungi yang kebanyakannya ibu-ibu tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU). Ketika kunjungan itu, Muslimat menyampaikan sumbangan wang dan kuih raya.

Turut serta Setiausaha DMPP, Kartini Ahmad serta Pengarah Nisa' Pusat, Dr Rosni Adam dan Muslimat PAS kawasan Kulai.

Kunjungan dari rumah ke rumah itu diserikan dengan selawat (marhaban) serta doa yang dibaca secara bergilir antara Mazlan dan Nazari.

Ketika selawat berkumandang semua yang hadir masih merasai suasana hari raya walaupun syawal sudah berada di hari yang keempat.

Disebalik kegembiraan itu, delegasi DMPP serta Anak sedih apabila menemui beberapa orang ibu tunggal dikalangan warga emas yang uzur.

Ada yang menangis apabila mereka mengetahui yang hadir itu dikalangan pimpinan PAS Pusat.

Teratak Bonda iaitu rumah ibu kepada raja SMS, Mawi menjadi rumah pertama yang dikunjungi oleh delegasi DMPP dan Anak.

Pesakit di hospital Kulai turut menjadi tumpuan DMPP untuk diberi sumbangan kuih dan beramah mesra. Kebanyakan pesakit yang ditemui Melayu, India, Cina dan Bangladesh gembira menerima hamper berisi kuih raya.

Walaupun program Mubarak Ramadan dan Syawal di Felda Kota Tinggi itu merupakan kali pertama tetapi ia cukup meriah dan mendapat sambutan yang membanggakan daripada peneroka.

Mazlan yang mengelolakan program tersebut amat berbesar hati kerana DMPP memilih Felda Taib Andak dan Felda Bukit Besar untuk dikunjungi.

Katanya, walaupun program itu dirancang dalam tempoh yang singkat namun kerjasama daripada ahli-ahli Anak untuk mencari penerima sumbangan telah menjayakan program sehari itu.

DMPP dan Bilik Berita Harakah akan meneruskan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dalam bulan Syawal ini.

Sehubungan itu, sumbangan terus diperlukan. Mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan masukkan terus ke akaun Maybank : 564025400533 atas nama Parti Islam SeMalaysia.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP