Himpunan isu tanah Sabah bukti keseriusan PAS bela rakyat

>> Wednesday, October 27, 2010


SANDAKAN: Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah mencatat sejarah dalam PAS kerana merangsang keberanian rakyat terutama mereka yang terlibat dengan rampasan tanah untuk menentang kezaliman kerajaan BN.

Insiatif mengadakan himpunan oleh Lajnah Tanah Pembangunan Wilayah PAS Pusat dipengerusikan Mazlan Aliman mendapat sokongan padu daripada rakyat Sabah.

Lebih 2000 masyarakat Sabah daripada pelbagai kaum menghadiri himpunan tersebut di dewan Hakka, B 6 Sandakan, Sabah, 24 Oktober lalu.

Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah merasmikan himpunan yang pertama kali diadakan di Sabah. Turut hadir Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; AJK PAS Pusat, Taufek Abdul Ghani; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar; Pesuruhjaya PAS Sabah, Muhammad Abdullah; Timbalan, Hamzah Abdullah; Ketua Umum KeADILAN, Dato' Seri Anwar Ibrahim serta Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali; Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Chew.

Mazlan ketika berucap mengingatkan rakyat Sabah supaya yakin dengan kehadiran PAS di Sabah untuk membetulkan segala kepincangan dan kecelarudan dalam dasar pemilikan tanah.

Katanya, PAS mencadangkan supaya semakan dibuat ke atas semua keputusan yang telah menafikan hak pribumi dalam pemilikan tanah yang telah mereka usahakan sejak sekian lama.

"PAS bertekad akan mengembalikan hak masyarakat pribumi yang tanah mereka dirampas dan diberikan kepada syarikat kronik Umno-BN," tegasnya.

Menurut beliau, rakyat Sabah tanpa mengira daripada suku kaum perlu berkeyakinan bahawa kehadiran PAS di Sabah jauh berbeza dengan kehadiran Umno-BN dan parti lain dalam komponen BN.

Beliau menjadikan kejayaan PAS ketika memerintah Terengganu tahun 1999, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya menyelesaikan 60,000 permohonan tanah yang tertunggak ketika di bawah kerajaan BN.

"Dato' Seri Abdul Hadi telah mengembalikan hak orang Cina yang dinafikan oleh kerajaan Umno-BN selama 40 tahun untuk menternak babi sekadara yang diperlukan dengan tujuan makanan mereka," tegasnya.

Kata beliau, jika rakyat Sabah melihat keadilan yang diterajui PAS di Kelantan dan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah, Pulau Pinang makan PAS yakin akan berlaku perubahan besar di Sabah dalam pilihan raya umum nanti.

Beliau memaklumkan antara kes yang berlaku di kampung Ulu Marotai, Landau, Tawau (kawasan hutan simpan Ulu Kalumpang) 540 orang dengan tanah seluas 8,000 hektar.

Tanah itu katanya diusahakan awal 80 an di zaman Ketua Menteri, Dato' Haris Salleh dan rakyat mendapat 14 hektar seorang.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Sabah melalui Jabatan Perhutanan telah membakar rumah penduduk pada tahun 2003 dan 2004 serta membuat tangkapan, mencuri peralatan pertanian, mengambil binatang ternakan dan sebagainya.

Kesan perbuatan itu, katanya wakil penduduk telah menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah pada 18 Mac di parlimen tetapi hanya Setiausaha Politiknya saja yang hadir.

Di akhir himpunan, Mazlan telah membacakan resolusi mengembeling tenaga bersama Pakatan Rakyat dan NGO untuk menggerakkan kesedaran rakyat.

Lajnah Tanah juga akan menubuhkan satu NGO bagi mengumpul maklumat; menyelaras dan menangani isu tanah di Sabah serta merangsang kebangkitan rakyat untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau yakin komitmen himpunan itu akan dibuktikan dalam kempen pilihan raya Parlimen P Batu Sapi (P185) bagi memastikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP