Khusrin akui belakangkan Dato' Hasan

>> Friday, October 8, 2010

SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Mohammed Khusrin Munawi mengakui dalam kes penggantungan Jawatankuasa surau Al-Huda, Kajang kerana membenarkan ahli Parlimen Sedang, Teo Nie Ching masuk ke ruang solat utama tidak dimemaklumkan terlebih dahulu kepada exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.

Ketika tindakan penggantungan itu beliau mengutamakan titah Tuanku Sultan Selangor yang menjadi arahan dan berharap tindakan itu tidak menyalahi dari segi hukum syarak tanpa memaklumkan kepada Dato Hasan.

Menurut beliau, isu yang berlaku antara Teo Nie Ching masuk surau mungkin berbeza dengan isu yang berlaku antara ahli Parlimen Ulu Selangor, Kamalnathan.

Beliau berkata demikian ketika diajukan pertanyaan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzwan mengenai tindakan Jais yang dilihat `double standard' terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat dengan wakil rakyat BN yang sama-sama mengadakan majlis di surau dan masjid.

Dewan Pemuda PAS Selangor, Dewan Muslimat PAS Pusat serta Dewan Muslimat PAS Selangor telah mengadakan sesi dialog bersama Khusrin serta Pengarah Jabatan-jabatan Jais, di bilik mesyuarat, tingkat 6, Menara Selatan, Shah Alam, baru-baru ini.

Turut serta dalam sesi dialog Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Wan Hasrina Wan Hassan; Ustazah Mariam Abd Rashid; Zaidi; Kartini Ahmad; Salbiah Wahab serta AJK Pemuda Selangor dan Pusat.

Sebagai Pengarah Jais, Khusrin mengakui timbul pertembungan daripada sudut arahan memandangkan beliau terpaksa memberi laporan kepada Dato' Hasan; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais); Menteri Besar serta kepada Tuanku Sultan Selangor.

"Isu ini bermula apabila Jais mendapat maklumat YB Teo masuk surau. Saya ingat lagi saya mendapat titah daripada Tuanku Sultan supaya menyelesaikan masalah ini dan mengambil tindakan kepada Pengerusi dan AJK Surau," katanya.

Pada ketika itu kata beliau, Tuanku Sultan berpendapat tidak wajar orang bukan Islam yang tidak menutup aurat masuk ke ruang solat dan hasil daripada itu Jais memanggil pihak nazir dan pengerusi surau dan beliau mengakui Teo masuk ke ruang solat.

"Selepas itu saya bersama Jawatankuasa menggantung Jawatankuasa surau yang kebetulan ia masih belum disahkan," jelasnya.

Dalam isu itu beliau mengakui letih untuk menjawab soalan daripada pihak media kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Jais bercanggah dengan pimpinan PAS.

"Saya faham orang PAS akan berpegang dengan apa yang dicakap oleh Mursyidul Am PAS," katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan ahli PAS bahawa di Selangor ada undang-undang sendiri jika ahli PAS lebih yakin dengan pandangan Mursyidul Am PAS ia akan menimbulkan masalah mungkin umat Islam berpecah memandangkan adakalanya pendapat itu berbeza dengan fatwa yang diputuskan.

Beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan beliau berpihak kepada Umno sebaliknya selama ini Jais cuba buat tindakan yang terbaik dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

"Dulu masa BN memerintah saya dicop sebagai orang PAS dan apabila PAS memerintah saya dicop sebagai Umno," katanya.

Dalam isu wakil rakyat PR masuk surau beliau turut menyalahkan pihak media yang suka membesarkan isu di Selangor kerana media merupakan organisasi yang menjalankan perniagaan.

Katanya, kebetulan perkara itu berlaku di Selangor dan ia menjadi tumpuan segala media apa sahaja yang berlaku di Selangor akan dibesarkan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP