Siri jelajah dedah kelemahan Umno Selangor

>> Monday, October 18, 2010


PANDAN: Roadshow gelombang selamatkan Selangor untuk menawan kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat sebenarnya mendedahkan kelemahan Umno yang tidak berupaya untuk mendapat sokongan rakyat di negeri termaju itu.

Senator Ezam Mohd Noor diberi tanggungjawab besar untuk memecahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Selangor dengan kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat selama mentabdir dua tahun setengah.

Beliau digandingkan dengan dua pimpinan Umno Selangor, Ketua Pembangkang Dato' Seri Dr Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Bahagian Umno Selangor, Dato' Seri Noh Omar untuk melancarkan roadshow bagi siri kedua Oktober nanti.

Mengulas tentang serangan Umno, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad menegaskan serangan daripada sudut politik itu paling utama kerana selama ini Selangor diserang daripada sudut pentadbiran kerajaan negeri.

Selama dua tahun setengah kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir katanya, Umno mempertikai apa yang kerajaan negeri buat untuk menjaga kebajikan rakyat.

Menurut beliau, serangan yang dilakukan Umno itu sebenarnya lebih baik dan mendatangkan manfaat kepada PAS, DAP dan KeADILan untuk menyusun strategi dan gerak kerja bagi mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Serangan dan fitnah daripada Umno ini memang sudah saya jangka kerana Selangor merupakan negeri yang paling kaya, sebab itu Umno berhempas pulas mahu merampas kembali negeri ini," tegasnya.

Beliau bersedia menerima serangan dan fitnah daripada Umno kerana ia sebenarnya mendedahkan kelemahan Umno itu sendiri.

"Setiap anggota PAS, DAP dan KeADILan ada peranan masing-masing. PAS tetap memfokuskan 20 kerusi untuk dimenangi dalam pilihan raya nanti," katanya.

Beliau yakin serangan Umno berbentuk roadshow itu membuktikan bahawa Umno takut dengan kesedaran masyarakat bukan Islam iaitu Tionghua dan India yang telah menyokong PAS.

Ini berikutan katanya dengan pelancaran Kelab Penyokong PAS di mana Selangor sudah ada 19 Kawasan yang mempunyai Kelab Penyokong PAS.

"InsyAllah Selangor akan melancarkan Kelab Penyokong PAS di peringkat negeri," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Kelab Penyokong PAS Selangor.

Iskandar yang juga Adun Chempaka berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyampaian sumbangan kewangan kepada 18 surau serta masjid di DUN Chempaka dan DUN Teratai, Parlimen Pandan.

Katanya setiap surau di bawah DUN Chempaka mendapat sumbangan sebanyak RM1,000 manakala masjid RM2,500.

Walaupun surau di bawah DUN Teratai bukan Pakatan Rakyat punya tetapi atas dasar keadilan kerajaan Pakatan Rakyat sumbangan turut dihulurkan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP