Galas kemenangan Ku Li bukan BN

>> Tuesday, November 9, 2010


AMPANG: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yakin kemenangan Umno-BN di DUN Galas merupakan kejayaan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bukan sokongan pengundi kepada BN.

Menurut beliau, kemenangan yang dicapai oleh Umno-BN di Galas dan Parlimen Batu Sapi hanya sementara kerana dalam setiap kali pilihan raya kecil PAS berhadapan dengan seluruh jentera kerajaan dan BN.

Bagaimanapun beliau menegaskan PAS akur dengan keputusan rakyat namun tetap mempertikai kelemahan pengurusan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Ini kerana katanya, ramai pengundi terutama golongan veteran termasuk isteri calon mendapat kertas undi yang hanya ada lambang BN saja.

Begitu juga kata beliau, orang Asli diberi t'shirt warna merah dan lambang satu Malaysia sedangkan SPR tidak membenarkan lambang digunakan oleh parti politik ketika pilihan raya.

Walaupun BN menang di Dun Galas katanya namun mereka tidak boleh membuat sebarang pembangunan kerana Kelantan berada di bawah pentadbiran kerajaan PAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Hi Tea anjuran Pusat Khidmat Dun Lembah Jaya, Ampang di dewan orang ramai.

Menurut beliau, PAS akan menganalisa keputusan PRK disamping latihan yang baik sebagai persiapan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya umun nanti.

"Ini merupakan satu ruang dan peluang untuk semua jentera dan pimpinan PAS bermuhasabah terhadap kelemahan selama ini," tegasnya.

Menurut beliau, keputusan pilihan raya di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi menunjukkan pilihan raya umum semakin hampir kerana BN menjadikan kemenangan itu sebagai kayu pengukur ditambah dengan pembentangan Bajet 2011.

Walaupun kata beliau, pembentangan Bajet 2011 tidak berpihak kepada rakyat namun rakyat sekali lagi terpedaya dengan sogokan duit dalam bentuk tertentu daripada BN.

Justeru, beliau memberi jaminan pimpinan PAS akan meneruskan usaha untuk memberi penerangan kepada rakyat terhadap usaha dan kejayaan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke13.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP