Siapa Khasim?

>> Tuesday, November 9, 2010




Kontraktor dan usahawan, Khasim Abdul Aziz yang kini menjadi wakil rakyat Dun Lembah Jaya, Ampang masih mengekalkan sikap sederhana walaupun sudah dua tahun setengah bergelar `Yang Berhormat'.

Sekali pandang agak serius orangnya. Apabila sudah duduk semeja dan bersembang, Khasim merupakan pimpinan PAS yang wajar dikagumi.

Kagum kerana beliau sanggup mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat di Dun Lembah Jaya.
Selain itu, beliau antara Adun yang masih mengekalkan sikap sederhana dan merendah diri walaupun sudah dipanggil `YB'.

Menjawab pertanyaan tentang masalah masyarakat di Dun Lembah Jaya, dengan raut wajah yang sedih dan nada suara yang agak perlahan; beliau mengatakan masyarakat di Lembah Jaya ramai yang miskin.

Katanya, sehingga ke satu tahap mereka tidak mampu membayar bil letrik dan air. Ada dikalangan mereka rumah hampir dilelong.

"Inilah masalah yang saya hadapi. Mereka perlu bantuan. Peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500,000 tidak cukup untuk menyelesaikan segala masalah rakyat di Dun Lembah Jaya," katanya.

Sebab itu baru-baru ini, beliau sanggup mengeluarkan duit daripada poket sendiri sebanyak RM42,000 untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di DUN Lembah Jaya.

Anak kelahiran Kulim, Kedah berusia 48 tahun dikurniakan seorang isteri serta lapan cahaya mata. Beliau tinggal di kampung Ampang Indah, Lembah Jaya dan menjadi kontraktor semenjak tahun 1990.

Selepas diamanahkan sebagai wakil rakyat, beliau berjaya mengembalikan tanah tapak sekolah agama rakyat (SAR) seluas tiga ekar.

Ketika DUN Lembah Jaya ditadbir oleh wakil rakyat Umno, tapak sekolah agama itu dijual kepada pemaju untuk pembangunan.

Selepas enam bulan menjadi wakil rakyat, beliau mengadakan perbincangan dengan pemaju dan akhirnya tanah tersebut diserahkan kepada sekolah agama rakyat.

Beliau turut menyelesaikan masalah tanah kubur yang dituntut oleh penduduk Islam semenjak zaman pentadbiran kerajaan Umno. Ini menjadi kerisauan penduduk kerana mereka berfikir di mana jenazah mereka akan disemadikan.

Atas kapastiti wakil rakyat, Khasim mengadakan semakan di pejabat Daerah dan MPAJ. Beliau mendapati masih ada tanah yang boleh dijadikan kubur untuk masyarakat Ampang Jaya.

Akhirnya masyarakat Islam di DUNnya mendapat dua ekar tanah kubur dan diberi nama Tanah Perkuburan Kosas. Tidak berakhir di situ sahaja, beliau berusaha untuk mendapatkan tapak tanah kubur bagi penduduk di Taman Teratai.

Lembah Jaya antara kawasan yang sering dilanda banjir semenjak puluhan tahun. Walaupun begitu, kepimpinan Umno tidak pernah serius menyelesaikan masalah banjir.

Daripada pemantuan dan kajiannya, beliau mendapati masalah banjir disebabkan tiada usaha bersepadu dan kerjasam di antara tiga jabatan terlibat. Justeru, beliau mencari penyelesaian dengan mengadakan pertemuan tiga jabatan terbabit.

"Saya menemukan tiga jabatan terlibat. Pada awalnya memang saling menunding jari tapi akhirnya, Alhamdulillah ada penyelesaian setelah saya mempengerusikan pertemuan tersebut," katanya.

Menurut beliau, sekarang dalam proses `open tender' untuk melakukan projek menangani masalah banjir di Sungai Seputeh dan Lembah Jaya.

Prinsip ubah sebelum parah menjadikan beliau wakil rakyat yang paling mudah didampingi. Apabila ada satu masalah walaupun kecil, beliau tidak mengambil masa lama untuk menyelesaikannya.

Beliau mengumpamakan masalah dengan kerosakan sebuah kereta. Jika ada kerosakan kecil pada kereta perlu dibaiki segera jika tidak kerosakan itu akan merebak di tempat lain.

Begitu juga dengan masalah jika dibiarkan masalah yang kecil itu akan menjadi besar dan susah untuk diselesaikan, tegasnya.

Panggilan `YB' tidak menjadikan beliau untuk sering dihormati dan diutamakan. Ketika mendapatkan rawatan pemeriksaan kesihatan, beliau hanya mengunjungi klinik atau hospital kerajaan.

Jika rakyat boleh bersabar menunggu nombor giliran untuk bertemu doktor, beliau juga mampu berada dalam situasi begitu walaupun dalam tempoh dua jam.

Dengan cara menunggu begitu, beliau berpeluang mendekati rakyat dan merasai kepayahan, kesukaran untuk mendapatkan rawatan doktor.

"Secara tidak langsung di klinik atau hospital boleh jadi pusat khidmat Dun kedua saya. Cara ini juga sebenarnya lebih mudah untuk mengetahui permasalahan rakyat," jelasnya diiringi senyuman.

Walaupun wakil rakyat diberi kelas pertama tetapi beliau tidak menggunakan peluang itu, sebaliknya ruang bersama rakyat diutamakan.

Sebelum menjadi `YB' beliau gemar menaiki motor dan minum di gerai kopi atau cendol di bawah pokok. Sikap itu tidak pernah dibuang bahkan terus dilakukan sehingga dikagumi oleh ahli dan pimpinan Umno Kawasannya.

"Orang Umno terkejut apabila melihat saya boleh minum cendol di bawah pokok dan bermotor, seorang diri. Saya memang suka begitu.

Saya tidak mahu masyarakat meletakkan jurang perbezaan antara wakil rakyat dengan masyarakat. Orang Umno atau sesiapa sahaja boleh berjumpa saya tanpa tapisan terlebih dahulu," jelasnya.

Khasim antara wakil rakyat PAS negeri Selangor yang berjaya memecahkan tembok pemisah rakyat dengan `Yang Berhormat'.

Pen dan buku nota sentiasa ada dalam poket bajunya bagi memudahkan beliau mencatat apa sahaja permasalahan rakyat yang ditemui.

Bekas bilal surau An-Nur kampung Ampang Indah menjadi ahli PAS semenjak berusia 15 tahun. Bermula daripada itu, bakat pimpinan yang ada pada dirinya semakin bersinar.

Pada tahun 1998 hingga 2003 beliau diamanahkan sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Ampang. Selepas itu ahli PAS Kawasan menaruh kepercayaan dan keyakinan sehingga beliau diamanahkan sebagai Naib yang Dipertua PAS Kawasan Ampang.

Bermula tahun 2007 beliau terus menjadi Yang Dipertua PAS sehingga sekarang.

Selain mempunyai hobi menembak beliau juga gemar memasak. Hidangan istemewa yang menjadi kegemaran anak-anak masakan kari Kedah, negeri kelahirannya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP