Benarkah rakyat Selangor mengugat pendirian Najib

>> Wednesday, December 8, 2010

SAIDAH HAIRAN
"Kita harus mengenepikan isu-isu politik dan melihat lebih kepada kepentingan rakyat..."
Apakah benar ini kenyataan daripada Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Razak?

Selepas perkarangan masjid Negara dipenuhi dengan rakyat Selangor anggaran 15,000 Najib
terpaksa membuat kenyataan yang bertajuk `Isu air di Selangor; Ketepikan kepentingan
politik'.

Dalam hal itu, katanya, semua pihak perlu mengenepikan kepentingan politik masing-masing
kerana isu air merupakan masalah serius.

Apakah kenyataan itu benar-benar ikhlas atau beliau takut kehilangan sokongan daripada
rakyat Selangor dalam pilihan raya umum ke-13? Apa pun andaian itu, rakyat Selangor di
bawah kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat sudah berjaya menggegarkan minda dan emosi
pimpinan Umno-BN.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bertaraf jutawan dan korporat berjaya
mencelikkan mata dan menyedarkan sikap pimpinan Umno-BN yang selama ini hanya mahu
memerah duit rakyat.

Selepas menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara, beliau memaklumkan
kerajaan Pusat telah menyatakan kesudian untuk berunding semula dalam isu pensktrukturan
air.

Alhamdulillah dan tahniah kepada seluruh peserta himpunan aman `Kembalikan hak air'
kepada rakyat Selangor. Himpunan ini walaupun tidak sampai ke penghujungnya namun pihak
Istana Negara dan pimpinan tertinggi negara telah menerima mesej yang jelas daripada
rakyat.

Inilah yang dikatakan; jangan bermain api dengan rakyat, kebangkitan rakyat tiada siapa boleh
menghalang, rakyat juga merupakan hakim yang paling adil untuk menghukum sesiapa sahaja
yang melakukan kesalahan.

Jika daripada dulu pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersedia untuk berunding
dengan kerajaan negeri sudah tentu tiada himpunan dan perarakan ke Istana Negara. Sebab
itu jika mahu membuat sebarang keputusan kena fikir dua tiga kali. Jangan membakar api
kemarahan rakyat. Rakyat hari ini sudah celik politik. Kehadiran yang mencecah 15,000
dianggap satu kejayaan besar kerana ia merupakan satu himpunan di peringkat negeri.

Walaupun pihak polis telah memberi amaran keras akan menangkap sesiapa sahaja yang
menyertai himpunan namun rakyat tidak takut dengan ugutan tersebut.

Benarlah orang kata merah itu melambangkan keberanian dan `kegarangan'. Tepat sekali
peserta dan pimpinan Pakatan Rakyat mengenakan t'shirt atau blause merah untuk menyertai
himpunan membantah tindakan Syabas.

Daripada jauh sudah nampak keberanian rakyat Selangor yang gagah mara untuk berhadapan
dengan kezaliman dan kekejaman anggota pasukan polis simpanan persekutuan (FRU).

Persekitaran masjid Negara dipenuhi dengan warna merah sama warna dengan trak FRU dan
`water canon'. Daripada sudut prinsip dan semangat ternyata anggota FRU dan peserta
himpunan jauh berbeza. Pasukan FRU berani membantai peserta himpunan kerana ada `water
canon', cota dan semburan gas pemedih mata.

Peserta himpunan hanya menyediakan badan untuk dibantai dengan cota, hidung untuk
menyedut gas pemedih mata dan air berkimia, kaki untuk berlari daripada ditangkap dan
suara untuk bertakbir...Allah hu Akhbar!

Inilah nikmatnya berada dalam medan perjuangan. MasyaAllah...hanya Allah yang Maha
Mengetahui ikatan hati-hati ini hanya untuk menegakkan kalimah Mu ya Allah.

Dalam himpunan `Kembalikan hak air' ini nampak kesepaduan, keserasian, kesepakatan dan
kerjasama bukan sahaja pimpinan Pakatan Rakyat, tapi lebih jelas rakyat Selangor.

Masyarakat Cina, India, Melayu dan orang Asli bersama-sama di perkarangan masjid Negara
untuk mendengar ucapan daripada Menteri Besar dan wakil-wakil Mahasiswa.

Kesepakatan dan kesepaduan ini yang menyebabkan pimpinan Umno-BN rasa gerun dengan
semangat dan keberanian rakyat Selangor.

Anggota polis dianggarkan lebih 500 orang terdiri daripada SB; FRU; polis biasa; Pasukan
Gerakan Am (PGA) dan polis trafic. PGA turut terlibat dan mereka dikerahkan berkawal jalan
menuju ke Istana Negara.

Hebat betul rakyat Selangor sehingga mengerunkan pihak polis untuk menurunkan
anggotanya daripada pelbagai unit. Belum sampai 5 minit keluar dari perkarangan masjid
Negara, anggota polis sudah menahan perserta himpunan.

Di sini terbukti lagi kegagahan unit Amal Selangor yang menjadi benteng pimpinan terpaksa
merempuh untuk meneruskan perarakan. Bagaimanapun, peserta terpaksa bertempiran dan
suasana menjadi kelam kabut kerana beberapa tembakan gas pemedih mata dilepaskan.
Sebelum itu FRU menyembur air tanpa bahan kimia.

Kejayaan Khalid dengan exco kerajaan negeri lebih terserlah jika mereka sama-sama berarak
dan menyedut tembakan gas pemedih mata serta semburan air berkimia. Baru mereka tahu
betapa seksa dan peritnya menghidu gas pemedih mata.

Tahniah juga kepada AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu yang mengerahkan seluruh ahli
PAS di peringkat Kawasan negeri Selangor supaya turun dalam himpunan kembalikan hak air.
Perancangan yang tidak sampai dua minggu tapi sambutan amat menggalakkan daripada
seluruh rakyat Selangor.

Dalam himpunan kembalikan hak air ini jelas terbukti semangat setiakawan yang dipamerkan
oleh setiap pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat.

Tentu sekali kejayaan himpunan yang dihidangkan dengan semburan gas pemedih mata
mencabar kumpulan Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS). Mereka mendapat
liputan media serta kerjasama yang baik daripada pihak polis. Namun ternyata mereka gagal
kerana rakyat Selangor tidak berpihak kepada mereka.

Rakyat Selangor sekali lagi menanti tindakan kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat Pusat untuk
mengadakan demo secara besar-besaran membantah kenaikan petrol RON 95 dan 97 serta
gula pasir.

Kenaikan petrol RON 95 yang tidak tahu kualitinya cukup menekan kehidupan rakyat ditambah kenaikan harga gula pasir. Memang kejam kerajaan BN.

Ayuh bangkit Naib-naib Presiden PAS, Ketua Pemuda PAS, saudara berjiwa muda sudah
pasti pantang dicabar. Jika Khalid Ibrahim berjaya menggugat keegoan Najib apakah
pimpinan PAS tidak tercabar?

Jika pimpinan PAS tidak tercabar kita nantikan laungan takbir daripada Ketua Muslimat PAS
Pusat untuk mengepalai demonstrasi membantah kenaikan harga minyak. Ayuh...Nuridah
tunggu apa lagi?

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP