Pimpinan Umno jatuhkan Khir

>> Sunday, December 12, 2010



SAIDAH HAIRAN

Apakah pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo akan membersihkan imej Umno di Selangor? Hakikatnya, pendakwaan itu menimbulkan banyak persoalan dan mengundang pelbagai andaian kerana setelah sekian lama aduan dilakukan, baru kini mendapat perhatian.

Tujuh tahun lalu, Pengarang Detik, Ahmad Lutfi Osman antara orang yang bertanggungjawab membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap penyalahgunaan kuasa Khir Toyo.

Namun semua aduan itu tidak dipedulikan malah akhbar Detik terpaksa dirampas ketika berada dikilang.

Kini, penangkapan Khir menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan. Ada pihak yang mengandaikan Khir Toyo hanya sebagai batu loncatan untuk beberapa pimpinan Umno Selangor menguasai parti itu.

Tidak kurang juga yang mendakwa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mahu menjadikan kes Khir sebagai bukti bahawa BN serius menangani isu rasuah.

Tindakan itu amat mustahil kerana ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi baru menjadi Perdana Menteri, beliau telah melakukan perkara yang sama. Namun, semuanya hanya lakonan semata-mata.

Sehubungan itu PAS berpandangan pendakwaan yang dilakukan terhadap bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam dan Pengerusi Perwaja, Tan Sri Eric Chia akan berulang.

Demikian penegasan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad yang mengatakan Kasitah dibebaskan pada tahun 2009 manakala Eric Chia terlepas daripada hukuman pada tahun 2007.

Mungkin juga kata beliau, pendakwaan Khir itu bagi menunjukkan imej tranformasi Najib kerana semenjak menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah bercakap untuk menangani gejala rasuah.

Kes pendakwaan Khir juga kata beliau menimbulkan persoalan kerana setelah sekian lama aduan dilakukan tindakan baru diambil oleh SPRM.

Beliau menegaskan jika alasan Peguam Negara kes tersebut merupakan satu perkara yang lama maknanya selama ini Peguam Negara gagal menjalankan tugas sehingga mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan dakwaan.

Selain itu beliau tidak menolak kemungkinan Umno Selangor mahu mewujudkan sejarah baru dengan menaikkan imej kepimpinan Dato' Noh Omar yang kini memegang jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Bagi Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi yakin pendakwaan terpilih seperti itu diamalkan dengan tujuan kepentingan politik yang akan menguntungkan pimpinan tertentu dalam Umno.

Kata beliau, jika kes itu boleh menguntungkan, mereka akan ambil tindakan tetapi jika tidak mendatangkan hasil yang baik kepada Umno kes itu akan dipendamkan.

Menurut beliau, tindakan itu merupakan realiti satu sistem atau dasar pendakwaan yang digunakan sepenuhnya untuk menjaga kepentingan politik Umno.

Dalam kes rasuah kata beliau, bukan Khir seorang sahaja yang sepatutnya diheret ke mahkamah tetapi lebih ramai lagi pimpinan Umno-BN perlu didakwa.

Begitu juga cara media mengeksploitasi kes itu, jelas menunjukkan percubaan kerajaan Umno-BN untuk menampilkan imej kononnya mereka telah mengambil tindakan dan cuba untuk menarik perhatian rakyat supaya menaruh kepercayaan kepada BN.

Katanya, tidak mustahil pendakwaan itu didorong oleh persaingan politik dalaman Umno.

Ini kerana tegas beliau ada pihak yang berhasrat naik tetapi terpaksa terlebih dahulu memadamkan kewibaan Khir Toyo yang dianggap sebagai penghalang.

Menurut beliau, persaingan politik dalaman itu jelas kelihatan dan jika Khir didakwa ia akan memberi laluan mudah kepada Ezam Mohd Noor dan Noh Omar untuk melonjakkan imej Umno-BN di Selangor.

Ini dilakukan katanya setelah melihat kelemahan dan perpecahan di bawah kepimpinan Khir lalu mereka membebankan segala kesusahan itu di bawah Khir untuk memudahkan mereka mengambil kata sepakat menggulingkan Khir.

Akhirnya tegas beliau Khir hanya dijadikan batu loncatan untuk mereka naik di Selangor.

Bagi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin pendakwaan Khir ke mahkamah semata-mata sandiwara politik yang sering dimainkan Umno-BN bagi menutup salahguna kuasa yang lain.

Menurut beliau, pendakwaan itu hanya untuk memberi laluan mudah pimpinan Umno untuk melantik Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang baru. Ia juga satu helah Unmo Selangor untuk menonjolkan imej bersih dengan menggantikan pimpinan yang sudah hilang kredibiliti.

Apa yang penting katanya, rakyat tidak peduli dengan sandiwara politik cetek Umno kerana rakyat mahu tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pimpinan Umno-BN yang mengamalkan rasuah.

Beliau menegaskan pimpinan Umno Selangor bukan sahaja mengamalkan rasuah tetapi gagal mentadbir Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus.

Katanya puluhan projek pembangunan diluluskan tidak mengikut garis panduan akibatnya ia menguntungkan syarikat kroni manakala pembeli rumah di Bukit Botak tertipu dan ramai bankrap.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP