Politik Lembah Kelang mempengaruhi negara

>> Sunday, December 12, 2010


Oleh: SAIDAH HAIRAN

GOMBAK: AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS Selangor khususnya di Lembah Kelang berhubung peranan mereka amat penting bagi memastikan perubahan politik berlaku di seluruh negara.

Menurut beliau, jika berlaku kebangkitan rakyat seperti demonstrasi atau ceramah di Lembah Kelang maka ia akan memberi manfaat dan kesan yang baik terhadap rakyat di seluruh negara.

" Jika Kuala Lumpur atau Lembah Kelang sunyi tiada sebarang gerakan seperti demonstrasi maka rakyat luar dari Selangor tidak akan mendapat sebarang kesan politik," katanya dalam Konvensyen PAS Kawasan Gombak di dewan Beringin, Taman Seri Gombak.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat mengimbas sejarah tahun 1999 di mana dalam satu malam banyak ceramah diadakan dan ia memberi kesan yang baik kepada rakyat di seluruh negara.

Katanya, begitu juga pada pilihan raya tahun 2008 di mana ada kebangkitan rakyat dalam himpunan Bersih yang dihadiri pelbagai bangsa.

"Ini berbanding pada pilihan raya tahun 2004 tiada kebangkitan rakyat yang dilakukan di Lembah Kelang," katanya.

Beliau menegaskan gelombang di Lembah Kelang merupakan salah satu ciri yang amat penting untuk menjamin sokongan rakyat dalam pilihan raya yang dilakukan.

"Jangan pandang mudah dengan pilihan raya umum ke-13 kerana kita sudah menang selesa dan berjawatan," tegasnya.

Beliau mengandaikan pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat antara Mei hingga Jun 2011.

Menurut beliau, pilihan raya merupakan permainan angka untuk mendapatkan jumlah undi yang lebih daripada Umno-BN sebab itu pengiraan angka yang diperolehi oleh PAS mesti berbeza daripada Umno.

Walaupun PAS sudah memperolehi beberapa kerusi di Selangor namun katanya untuk mengekalkan kemenangan buat satu perkara yang mudah.

Ini kerana tegas beliau, PAS di Selangor baru mendapat kerajaan negeri dan seluruh rakyat akan memperhatikan corak pentadbiran.

Berbeza dengan Umno-BN yang sudah kalah tetapi mereka akan cuba sedaya upaya untuk merampas semula negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat sebagaimana yang dilakukan di Perak, tegas beliau.

Sehubungan itu kata beliau untuk mempertahankan Selangor amat susah sebab itu seluruh jentera parti perlu membuat kerja bagi mengekalkan kemenangan lebih besar.

Konvensyen PAS Kawasan Gombak yang diadakan pada malam Selasa itu sempena sambutan PAS Kawasan selama 15 tahun. Konvensyen itu akan ditutup dengan sambutan pada 31 Disember nanti.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP