Lantik Khusrin - kemuncak kerakusan BN

>> Thursday, January 6, 2011


SAIDAH HAIRAN

Kemuncak kerakusan dan kebiadapan BN untuk merampas Selangor daripada terus ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat dengan melantik Dato' Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK).

Ternyata sikap kerajaan Pusat tidak menghormati hak rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah dalam pilihan raya umum ke-12.

Pelbagai usaha telah digunakan BN selama dua tahun untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat tetapi semuanya tidak berjaya.

Justeru, disebabkan BN terlalu kempunan untuk mentadbir semula Selangor negeri yang maju dan kaya, mereka menggunakan peruntukan pentadbiran dengan tujuan mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Cara yang BN lakukan itu amat tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi.

Banyak masa telah dibuang kerana Menteri Besar serta para exconya terpaksa membincangkan isu pelantikan Khusrin. Pelantikan yang tidak mendapat restu kerajaan negeri itu turut menimbulkan keluh kesah seluruh rakyat terutama Selangor.

Jika Kushrin berdegil dan tidak malu untuk terus duduk di kerusi SUK, apakah beliau boleh bekerja dengan kerajaan yang tidak sehaluan dengannya?

Jawatan SUK merupakan jawatan terpenting dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru, jika Khusrin berkeras untuk duduk di kerusi SUK, apakah beliau boleh bekerja dengan Menteri Besar dan exco serta kerajaan Pakatan Rakyat?

Ibarat satu pasukan bola sepak ada kapten dan penjaga gol. Keduanya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berat. Jika penjaga gol tidak menyokong kapten, sudah pasti penjaga gol boleh melepaskan semua sepakkan gol daripada pihak lawan.

Apakah Khusrin akan bertindak sebagai penjaga gol yang tidak berpihak kepada Kapten? Jika ini berlaku, tidak mustahil Selangor akan mengikut jejak Perak dirampas sebelum pilihan raya ke-13.

Sidang Dewan tergempar yang akan diadakan dalam tempoh terdekat itu untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar untuk melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Jika Adun BN tidak menyokong pindaan Undang-undang tersebut, apakah mereka boleh diikhtiraf sebagai rakyat Selangor? Ini kerana sidang Dewan itu diadakan untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar.

Apakah di sini BN akan terperangkap?

Khalid serta anggota exco dalam keterpaksaan menghadiri majlis angkat sumpah Kushrin yang diadakan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Jika mereka boikot menghadiri majlis tersebut kemungkinan perkara lain akan berlaku. Semua rakyat sudah maklum BN memang licik dengan permainan politik kotor.

Namun Khalid menegaskan kehadiran exco kerajaan negeri itu tidak bermakna mereka rela dengan tindakan arbitrasi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abd Samad menegaskan SUK merupakan orang yang paling penting dalam kerajaan negeri jadi sudah tentu mereka mesti terdiri daripada orang yang selari dengan kerajaan negeri dan dipilih oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, hak melantik SUK mesti diberi kepada kerajaan negeri bukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagaimana yang dilakukan sekarang.

"Saya lihat BN atau kerajaan Pusat cuba hendak melaga-lagakan exco, Menteri Besar dan kerajaan Pakatan Rakyat dengan Sultan, sebenarnya Sultan tiada kuasa untuk melantik SUK," tegasnya.

Beliau kesal kerana BN cuba menggunakan Sultan untuk mencapai matlamat Selangor dapat diambil dengan cara mudah.

Sekarang ini kata beliau kerajaan negeri boleh berfungsi tanpa SUK sebab yang mentadbir kerajaan adalah anggota exco, Menteri Besar dan pegawai kerajaan.

Beliau turut menyelar dakwaan yang mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar kerana tiada majoriti 2/3.

Perlu diingat tegas beliau, usul yang hendak dibawa dalam sidang Dewan adalah untuk mengembalikan hak kepada negeri, Sultan dan Menteri Besar.

Sewajarnya tambah beliau Adun BN menyokong usul tersebut jika tidak sokong usul itu ini bermakna Adun BN tidak menghormati hak negeri.

"Jika tidak menghormati hak negeri maka mereka kena keluar dari Selangor dan jangan tinggal di negeri ini," tegas beliau.

Beliau kesal kerana selama Pakatan Rakyat mentadbir Selangor pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh BN untuk merampas kuasa tetapi tindakan membelakangkan kuasa negeri dan Menteri Besar merupakan kemuncak kerakusan BN.

Ini kerana kata beliau, BN tahu jika diadakan pilihan raya sudah pasti rakyat tidak akan menyokong dan mengundi calon mereka.

"Ini merupakan jalan pintas BN untuk merampas Selangor daripada terus ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat," tegasnya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP