>> Monday, February 14, 2011


Kami Prihatin menjejaki golongan gelandangan di Tasik Titiwangsa

SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Sempena Hari Memperingati Kekasih Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat mengambil kesempatan bermesra dengan golongan remaja serta pengunjung Taman Tasik Titiwangsa dengan pendekatan ekspedisi Kami Prihatin.

Saban tahun sebilangan besar golongan remaja Melayu menyambut Hari Memperingati Kekasih pada malam 14 Februari dengan menghadiahkan bunga ros merah kepada pasangan masing-masing serta diiringi adegan maksiat.

Penyerahan tubuh atau kesucian mohkota remaja tanpa ikatan yang sah kepada kekasihnya dianggap sebagai tanda ketulusan cinta.

Mereka tidak segan silu melakukan adegan maksiat di khalayak, ada yang sanggup duduk beradap di atas motor sambil tangan membelai rambut dan muka kekasihnya.

Jalan berpelokan, duduk di tempat gelap di bawah rimbunan pokok, dalam kereta di tempat gelap dan sebagainya bagi memudahkan mereka melakukan adegan maksiat.

Akibatnya dalam tempoh sembilan bulan daripada sambutan Hari Memperingati Kekasih ramai bayi tidak sah taraf dilahirkan dan dibuang di merata-rata tempat.
Pelbagai pihak cuba mengatasi masalah tersebut, namun golongan remaja Melayu tetap melakukan adegan maksiat dari perbuatan ringan sehingga perzinaan.

Justeru, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat mengambil tindakan drastik bukan bermusim untuk mengenal pasti punca masalah berlakunya maksiat secara sukarela.

Pemangkunya, Dr Siti Mariah Mahmood bersama AJKnya sanggup menghabiskan masa mendekati golongan remaja Melayu di Taman Tasik Titiwangsa, malam Hari Memperingati Kekasih, Ahad lalu.

Dengan penuh kesedaran dan keinsafan, beliau serta AJKnya mendekati remaja Melayu dengan pendekatan kasih sayang sebagai bapa dan anak; ibu dan anak; kakak dan adik serta abang dan adik.

Mariah tidak membawa pendekatan menghukum mereka walaupun ternyata golongan remaja itu telah melakukan kesilapan. Pendekatan kasih sayang dan mesra itu diharap dapat melembutkan hati golongan remaja supaya kembali ke jalan yang diredhai Allah.

Bagaimanapun, ketika beliau dan AJKnya mendekati golongan remaja ada dikalangan mereka yang lari bertempiran.

Ada dikalangan mereka yang membuang terus `pamplet' yang menyatakan tentang `Punca dan sebab gejala sosial', `kesan akidah dan gejala sosial' serta 10 agenda bertindak oleh program Pemerkasaan Institusi keluarga.

"Kami mendekati mereka dengan cara kasih sayang, ajak berbual dan ada gadis yang kami temui duduk seorang dan sedang menangis. Kami tanya kenapa menangis, gadis tersebut tidak menjawab," katanya.

Menurut beliau, disebabkan ekspedisi Kami Prihatin tidak membawa pendekatan hukuman maka AJK Lajnah telah meninggalkan nombor telefon kepada gadis tersebut untuk dihubungi.

Beliau berkata, ada juga pasangan kekasih yang menyambut salam dan mengucapkan terima kasih ketika menerima pamplet.

"Ada yang berkata tak payah dan dibuang pamplet. Kami tidak marah kerana itulah adalah tindak balas yang baik daripada mereka," katanya.

Ekspedisi Kami Prihatin juga menemui ibu tunggal yang tinggal di rumah Titian Kasih dan meminta bantuan untuk mendapatkan sekolah Tahfiz untuk anaknya.

Selain itu ekspedisi Kami Prihatin turut berjumpa dengan enam orang lelaki yang terpaksa tidur di atas kerusi di tepi tasik kerana tidak mempunyai rumah disebabkan tidak bekerja.

Melihat suasana masyarakat Melayu yang celaru itu, katanya, jika ekspedisi Kami Prihatin tidak turun mendekati golongan remaja Melayu serta pengunjung Titiwangsa, sudah tentu segala masalah yang bersarang dalam kehidupan mereka tiada siapa yang tahu.

"Kita akan teruskan ekspedisi ini dan ia bukan kerja bermusim. Kita hendak tempat-tempat awam ini bebas daripada perbuatan maksiat," katanya.

Selain itu tambah beliau, misi penerangan dan dakwah amar makruf nahi mungkar juga dapat dilakukan dan disasarkan kepada golongan yang tepat.

Dr Mariah turut mengingatkan seluruh kawasan di setiap negeri supaya dapat menghantar wakil Lajnah Kebajikan ke Seminar Pemerkasaan Amilin Kebajikan PAS dan Pelancaran `Dana Prihatin'.

Kupon yang dijual hanya RM10 dengan jumlah 15 kupon, setiap Kawasan perlu menghantar sekurang-kurang dua orang AJK Lajnah atau mereka yang berminat untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

Program bermula 25 hingga 26 Mac akan diadakan di hotel D'Palma, Ampang dengan perasmian Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; pembentangan kertas kerja serta pelancaran Dana Kami Prihatin oleh Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar tersebut akan membuka laluan yang akan melonjakkan PAS ke satu tahap pencapaian lebih cemerlang bagi menunjukkan kepentingan aktiviti kebajian dan kemasyarakatan dalam menyampaikan dakwah serta menerangkan dasar PAS.

Lajnah Kebajikan berharap para dermawan yang mahu mengeluarkan zakat individu boleh disalurkan terus kepada Kebajikan untuk memudahkan kerja-kerja membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP