>> Monday, February 28, 2011

Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau: Ali Rustam jangan angkuh

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

JASIN, PAS mengingatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam agar tidak terlalu angkuh dengan kuasa sekiranya tidak mahu tewas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang sedang berlangsung sekarang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti Islam itu tidak bermimpi untuk merampas Merlimau daripada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, tegas beliau PAS benar-benar berhasrat untuk “menawan” Merlimau yang selama ini menjadi kubu kuat BN.
“PAS tidak sekadar bermimpi, tetapi kita memang secara sedar benar-benar hendak menawan bukan sekadar Merlimau, bahkan negeri Melaka dan juga Malaysia.

“Ini telah kita nyatakan berulang kali atas nama Pakatan Rakyat sedia ke Putrajaya bagi memperbetulkan kerosakan negara yang dilakukan oleh BN,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Ali yang menasihatkan PAS agar tidak bermimpi yang ia boleh merampas kerusi DUN Merlimau.

Ini kerana, jelas Mohd Ali, PAS tidak mempunyai jasa besar di Melaka, sebaliknya hanya tahu melemparkan pelbagai tuduhan berunsur fitnah terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan calon PAS Yuhaizat Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Ini pilihan raya kecil ke-15 sejak 8 Mac 2008 dan yang pertama di Melaka.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga mengingatkan pemimpin Umno termasuk Mohd Ali agar tidak terlalu angkuh dengan kuasa yang ada.

“Keduanya, kita hendak ingatkan seluruh pemimpin Umno termasuk Ketua Menteri Melaka supaya tidak angkuh dengan kuasa yang ada.

“Parti Hosni Mubarak memenangi pilihan raya lebih 90 peratus, tetapi tumbang dengan kebangkitan rakyat.

“Begitu juga dengan kerajaan Firaun, Rom, Parsi yang pernah menjadi kuasa besar dunia juga runtuh dan Umno juga ada masa hayatnya akan berakhir,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP