Tindakan drastik PAS wajar ubah landskap politik negara

>> Monday, March 7, 2011

SAIDAH HAIRAN

PAS kalah lagi. Lima kali pilihan raya kecil berturut-turut PAS mengalami kekalahan. Apakah PAS wajar menjadikan alasan berhadapan dengan seluruh jentera kerajaan, menyukarkan PAS untuk menang?

BN pula terus bersorak dan seronok. Lapan kali menang daripada 16 pilihan raya kecil. Bermula pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, BN memperolehi kemenangan dengan majoriti besar.

Paling gembira BN dapat merampas kerusi Dun Galas (Gua Musang) yang dimilik PAS.

Setiap kali PRK banyak laporan polis dilakukan oleh PAS. Namun, laporan tinggal laporan. BN tetap angkuh dan terus angkuh. Mulut dan kuasa rakyat ditutup dengan longgokan duit dan projek segera. Beginilah setiap kali berlaku pilihan raya kecil.

PAS tahu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan BN. Pendedahan demi pendedahan dilakukan, sehingga ke tahap saman menyaman.

Persoalannya, apakah dengan pendedahan dan saman itu boleh menakutkan BN supaya melakukan pilihan raya dengan telus dan bersih?

Dua pilihan raya kecil yang berjalan serentak iaitu di Merlimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang), memperlihatkan banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilakukan BN.

Anggota keselamatan Rela, FRU, Polis dan Trafik berada di semua tempat dan dikerahkan menjaga keamanan. Ditambah dengan pemantauan melalui helikopter PDRM.

Begitu juga dengan meriam air (water canon), apa tujuan berada di hari penamaan calon sehingga hari membuang undi. Apakah pengundi, penyokong, ahli dan pimpinan PAS terdiri daripada golongan pengganas? Sehingga terpaksa mengerahkan FRU dengan water canon berada di sepanjang hari kempen?

SPR pula terus dipergunakan. Sebagai contoh, PRK Dun Tenang; Bagan Pinang, Merlimau dan Kerdau SPR telah mengadakan penamaan calon dan pembuangan undi pada hari cuti (Sabtu dan Ahad).

Perkara ini tidak berlaku ketika PRK Dun Galas. Penamaan calon pada 26 Oktober (Selasa) dan tarikh pengundian pula 4 November (Khamis). Ini merupakan salah satu bukti ketidakadilan SPR terhadap PAS.

Penggunaan media arus perdana terutama media elektronik RTM dan TV3 terus disalahgunakan. Sepanjang hari BN berkempen melalui RTM dan TV3 dengan menampilkan calon dan pimpinan-pimpinan BN yang kononnya `mesra rakyat'.

Ini merupakan serangan amat berkesan untuk merosakkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat Melayu di kampung dan kawasan pedalaman.

PAS tidak mendapat tempat langsung untuk berkempen di TV atau radio. TV hanya dikhaskan kepada BN untuk berkempen. Ini satu lagi bukti menunjukkan penyalahgunaan kuasa. Seolah-olah PRK hanya melakukan pertandingan satu penjuru.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad Maslan melantik 200 petugas khas untuk memantau kawasan Felda di Dun Kerdau.

Menurutnya, 200 petugas itu dibayar gaji sebulan RM3,000 serta elaun RM2,000 sempena PRK untuk memantau pergerakan pengundi di kawasan Felda serta tindakan lain yang menakutkan pengundi.

Beliau berkata, setiap rumah dipantau oleh seorang Pegawai Felda dengan mengemaskini culaan undi setiap dua jam sekali.

Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil BN akan terus melakukan penipuan dan penyelewengan pada Pilihan raya umum nanti.

Apakah PAS akan terus berdiam tanpa membuat sebarang tindakan drastik? Mengapa Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) lambat digerakkan.
Apakah tuntuan Bersih pada himpunan 100,000 rakyat dahulu berkenaan isu dakwat, kebebasan media, daftar pemilih dan undi pos telah ditunaikan oleh SPR.

Satu lagi perkara yang mungkin sudah dilupakan oleh jentera PAS, bagaimana dengan kehadiran pengundi hantu. Apakah PRK Dun Merlimau; Tenang dan Kerdau tidak wujud pengundi hantu lagi?

Di Dun Kerdau banyak bas-bas pelancong tersadai di UPU-UPU kawasan Felda.

Masa depan PAS untuk menggantikan Umno cukup cerah. Namun, jentera dan pimpinan PAS perlu bekerja keras untuk menggantikan Umno mentadbir negara. Pimpinan PAS perlu `mesra rakyat' bukan mesra ketika kempen pilihan raya.

Jentera PAS mesti terus mendekati rakyat. Kempen dari rumah ke rumah itu lebih mendatangkan kesan dibandingkan dengan kempen ceramah. Janji Allah itu pasti benar dan kemenangan itu pasti akan dikecapi.

Nemun, yang bulat itu tidak akan datang bergolek, yang pipih pula tidak akan datang melayang...

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP