>> Tuesday, July 19, 2011


Perginya sebutir mutiara sukar dicari ganti - Dr Lo'Lo

SAIDAH HAIRAN

KERAMAT: Pimpinan Muslimat PAS mengibaratkan pemergian Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Dato' Mohamad Ghazali sebagai kehilangan sebutir mutiara yang tinggi nilainya dalam perjuangan Islam.

Sehingga nafas terakhir, Allahyarham masih sempat mengingatkan sahabat seperjuangannya supaya meneruskan perjuangan Islam disamping mempertahankan hak penduduk kampung Baru daripada dicerobohi kerajaan BN.

Linangan air mata saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat menampakkan kesedihan mereka di atas pemergian seorang yang dianggap sebagai kakak, rakan dan sahabat seperjungan yang banyak memberi pandangan dan kritikan.

Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berjanji, pimpinan Muslimat bertekad akan memenuhi wasiat terakhir Allahyarham untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kampung Baru yang merupakan amanah daripada penduduk.

"Penduduk kampung Baru amat bertuah mempunyai wakil rakyat yang sanggup berjuang membela hak mereka sehingga ke akhir hayat, walaupun Allahyarham sakit tetapi hak rakyat tetap diperjuangkan," jelasnya.

Allahyarham merupakan ahli Parlimen yang lantang bersuara dan sering mengambil bahagian berbahas dalam sidang Dewan Rakyat bagi menolak rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Zailah menganggap Allahyarham sebagai tokoh mkuhahidah Islam yang hebat, tabah kerana dalam keadaan sakit tetapi masih mempunyai semangat tinggi untuk terus berada dalam perjuangan Islam.

"Allahyarham banyak memberi pandangan bernas serta kritikan terhadap Dewan Muslimat dan kami sebagai ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata, di akhir hayatnya Allahyarham mengingatkan kami supaya meneruskan perjuangan dan melaksanakan yang terbaik dan jangan mudah patah semangat.

"Wasiat beliau kepada kami supaya kami bersama rakyat mempertahankan maruah Kampung Baru. Itulah di antara wasiat beliau yang terakhir kepada kami," katanya.

Sahabat paling rapat Allahyarham, Timbalan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod menyifatkan Allahyarham sebagai pimpinan yang kuat semangat kerana dalam keadaan sakit selalu mengingatkan tentang isu-isu yang segera diberi penjelasan.

"Ketika saya melawat di hospital, saya membawa lempeng. Saya tanya `you hendak tak lempeng, dia jawab hendak...'(saya sangat gembira sebab Allahyarham hendak lempeng), kakak Allahyarham beritahu memang Allahyarham suka lempeng sebab arwah emak selalu buat," katanya sambil mengesat air mata.

Mantan Ketua DMPP, Ustazah Jamilah Ibrahim pemergian Allahyarham sebagai seorang pejuang yang telah dijanjikan Allah, moga rohnya bersama para anbiya dan Rasul serta pejuang di masa lampau.

Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang agama yang berani, bertanggungjawab, jujur serta prihatin dengan rakyat.

Beliau berkata, dalam keadaan sakit Allahyarham cuba istiqamah dalam jemaah dan ini satu contoh yang sangat baik dan wajar dicontohi oleh semua pejuang dan rakyat yang masih hidup.

Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail pemergian Allahyarham sukar dicari ganti kerana kelantangan dan keberanian memerangi perokok khususnya dikalangan ahli Parlimen.

"Saya merasakan kehilangan yang terasa sangat, walaupun saya sudah tidak ada dalam Parlimen, sudah tentu rakyat Titiwangsa merasakannya," katanya.

Allahyarham 2 Ogos 1957 di Kuala Kangsar Perak, anak ke lima daripada lapan orang adik beradik yang terdiri dari empat lelaki dan empat perempuan. Allahyarhamah pernah berkhidmat di beberapa buah hospital seperti, di Hospital Alor Setar, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Pusat Kesihatan Besar Pokok sena Kedah, Pegawai Perubatan Hospital Besar KL, Pegawai Perubatan Pusrawi sebelum dilantik sebagai Pengarah dan Doktor Yang Menjaga Pusat Perubatan Kohilal.

Mendirikan rumahtangga pada 7 September 1980 dengan Prof. Dr Aminuddin Abd Hamid, yang berkhidmat sebagai Pensyarah Fisiologi Fakulti Perubatan UKM dan telah dikurniakan seramai empat orang cahayamata dua lelaki dan dua perempuan hasil perkongsian hidup selama 31 tahun.

Allahyarhamah menjadi ahli PAS pada tahun 1977 semasa masih lagi menuntut di Universiti dan mula memainkan peranan secara aktif didalam parti sebaik sahaja dilantik sebagai AJK dan DMPP pada tahun 1995 ketika di bawah ketua Ustazah Jamilah Ibrahim.

Tahun 1999 Allahyarham dilantik AJK PAS Pusat oleh Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor. Seterusnya dalam pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 2001, 2005, 2007 dan 2009 beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai AJK PAS Pusat dalam muktamar Tahunan PAS.

Dalam DMPP Allahyarhamah pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua DMPP pada tahun 2003 sehingga tahun 2007 di bawah ketua Allahyarhamah Ustazah Hajjah Khalthom Othman dan Ustazah Hajah Azizah Khatib Mat.

Allahyarham diamanahkan sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat mulai tahun 2005 sehingga tahun 2011. Allahyarhamah juga adalah merupakan Ketua DMP Kawasan Titiwangsa.

Pernah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-11 pada tahun 2004 di Parlimen Bukit Gantang Perak, menentang BN Lian Hoe, bagaimapun Allahyarhamah tewas dengan majoriti 6,702.

Allahyarhamah menewaskan calon BN, Dato’ Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti, 1,972 pada pilihan raya umum 2008.

Allahyarham antara pimpinan muslimat yang lantang menegur mempertahankan hak dan kedudukan Muslimat dalam PAS sewaktu Muktamar dan program-program parti.

Antaranya mempertikaikan mengenai perbezaan kedudukan tempat duduk diantara pimpinan PAS, muslimin dan Muslimat sewaktu muktamar sama ada ianya syar’ie atau sebaliknya. Begitu juga mengenai cadangan supaya Muslimat dibenarkan semula sebagai calon dalam pilihanraya setelah melihat kepada beberap faktor.

Hasil soalan itu, PAS berubah dan telah mempunyai empat orang wakil di bagi membawa suara wanita iaitu tiga di Dewan Rakyat iaitu, Ustazah Hajjah Siti Zailah Mohd Yusof (PAS- Rantau Panjang), Dr Hajjah Siti Mariah Mahmud (PAS- Kota Raja) dan Allahyarhamah sendiri yang menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa. Manakala Senator Hajjah Mumtaz Md Nawi sebagaI Ahli Dewan Negara.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP