>> Friday, October 28, 2011






PAS mendahului dan sentiasa menyelamatkan akidah umat Islam

SAIDAH HAIRAN

Akhirnya himpunan sejuta umat selamatkan akidah dapat diadakan di stadium Shah Alam
walaupun tidak mencapai sasaran 100,000 orang. Pelbagai pihak hadir walaupun bukan
atas nama parti politik.

Walaupun himpunan itu tidak mencapai sasaran, namun ia bukan titik terakhir.

Kesedaran umat Islam tentang perkara yang boleh menyongsangkan akidah mutakhir ini amat kritikal.

Akidah merupakan persoalan utama dalam Islam. Ia mengaitkan antara hati dan keimanan
terhadap Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. Justeru, menyelamatkan akidah umat Islam amat penting. Ia menjadi tangungjawab semua pihak tanpa membezakan parti politik.

Menurut Pengerusi Himpunan, Azmi Abdul Hamid, Himpun akan menjelajah ke seluruh
negara untuk menyebarkan mesej mereka.

Persoalannya, apakah mesej Himpun akan sampai dan boleh menyedarkan umat Islam
yang sudah songsang akidahnya? Melihat pada objektif Himpun untuk menzahirkan
kekuatan akidah dan keimanan. Di samping memberi amaran mengenai bahaya isu murtad
jika terus dimonopoli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimana untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu yang mengaku Islam tetapi
mereka sudah jauh terpesong daripada landasan Islam?

Keberanian Pemuda PAS Pusat yang menghantar exconya, Kamaruzzaman Mohamad cukup membanggakan. Di saat PAS Pusat tidak terlibat dengan himpunan tersebut.

Manakala pimpinan PAS Selangor pula melarang pimpinan PAS negeri itu terlibat.
Bagaimanapun atas kebijaksanaan Pemuda, mereka hantar wakil bukan atas nama Pemuda
PAS tetapi NGO iaitu Bertindak Anti Murtad (Front).

Kamaruzzaman dengan lantang mengharap semua yang hadir mengenepikan ideologi
masing-masing dan bersatu atas kalimah syahadah, `Laillahaillallah...' Mesej itu sudah jelas bahawa umat Islam mesti bersatu atas kalimah, `Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah....'.

Sementara itu, wakil akademik Dr Azhar Yaakob mengingatkan semua Jabatan Agama Islam perlu perkasakan diri dan jangan jadi `badut' dalam hal-hal kecil. Manakala kerajaan
Malaysia mesti melaksanakan syariat Allah di semua peringkat Parlimen dan DUN.

Kehadiran exco tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan
Awam, Dato' Dr Hasan Ali tidak wajar dipersoalkan. Ini kerana beliau mengumumkan
kehadirannya sebagai seorang Islam bukan ahli politik atau Yang Berhormat.

Dalam suasana akidah umat Islam semakin kritikal, penglibatan pejuang-pejuang Islam
amat diperlukan di mana-mana sahaja.

Jika As Syahid Imam hassan Al Banna berani dan mampu berdakwah di kelab-kelab malam, mengapa pendakwah Islam tidak mencontohinya? Justeru, langkah yang diambil oleh Pemuda PAS dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yaakob bertepatan. Mereka mengambil peluang untuk menyampaikan mesej dakwah dalam
Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah.

Mungkin selama ini mesej dakwah hanya disampaikan melalui kuliah agama di masjid dan
surau-surau. Sudah tentu orang yang sama mendengar kuliah agama tersebut. Jarang sekali anak-anak muda sanggup duduk di masjid selama satu atau dua jam untuk mendengar kuliah agama.

Sedangkan dakwah itu bukan sahaja di masjid dan surau. Di mana-mana dakwah boleh
disampaikan. Sekurang-kurangnya himpunan Sejuta Umat memberi nafas baru kepada
penglibatan NGO-NGO baru yang selama ini mungkin tidak menitikberatkan soal akidah
umat Islam.

Bercakap soal akidah terlalu banyak perlu diperbaiki. Jati diri umat Islam harus dilihat dan dinilai. Apa tindakan umat Islam terhadap hiburan melampau yang bebas mengadakan konsert di negara ini.

Begitu juga dengan dunia perfileman yang sewenang-wenangnya melepaskan filem tanpa
meneliti dialog dan lakonan. Jika tiada sensitiviti Pemuda PAS Pusat sudah tentu orang Melayu Islam terlalai dengan dialog pelakon, Zizan dalam filem `Hantu bonceng'.

Hakikatnya, menyelamatkan akidah umat Islam bukan sekadar mengadakan himpunan
sejuta umat. Lebih daripada itu, seluruh pihak dan individu perlu peka dengan persekitaran yang terlalu banyak menyongsangkan akidah umat Islam.

Ketika penulis hadir dalam himpunan, terdengar suara pengerusi majlis meminta peserta supaya solat di tempat yang disediakan. Sayangnya, surau di stadium kecil dan terpaksa bergilir-gilir.

Mengapa seketaritat himpunan tidak menyediakan tempat yang luas supaya peserta
himpunan dapat solat berjemaah. Selepas itu menunaikan solat hajat bersama-sama.

Bukankah himpunan yang diadakan itu untuk menyelamatkan akidah umat Islam? PAS sering mengadakan himpunan. Di stadium Melawati, PAS mengadakan solat hajat diimamkan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Ruang stadium
Melawati tidak mencukupi untuk menampung jemaah lelaki dan perempuan. Itulah
kehebatan PAS. Dalam soal menyelamatkan akidah, PAS sudah mendahului dan sentiasa
melakukan kerja-kerja tersebut.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP