>> Wednesday, October 26, 2011





Presiden PAS terharu melihat ketabahan Muslimat PAS Selangor

Teks & Foto: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM : Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengesat air mata setelah melihat `montaj' gerak kerja persiapan jentera Muslimat PAS Selangor dalam
kursus keselamatan Muslimat.

Dalam montaj itu diselangi dengan taklimat khas berhubung kesanggupan dan pengorbanan Muslimat Selangor untuk menghadapi PRU ke13 pada bila-bila masa.

Beliau mendengar taklimat daripada Pengarah Pilihan raya Muslimat PAS Selangor,
Noraini Husin di bilik gerakan, bangunan Dewan Muslimat PAS Selangor yang baru
dirasmikan .

Kegigihan dan kesungguhan Muslimat Selangor dalam mendepani pelbagai cabaran,
akhirnya berhasil apabila dapat membeli sebuah bangunan di seksyen 10, Shah Alam.

Bangunan bernilai RM590,000 itu merupakan bekas bangunan yang disewa Ketua Pemuda
Umno Bahagian Klang. Setelah diubah suai bangunan dua tingkat itu mempunyai bilik
mesyuarat, pejabat dan bilik gerakan.

Konsep bangunan Dewan Muslimat PAS Selangor tidak mempunyai bilik khas untuk Ketua dan Timbalan. Pimpinan Muslimat Selangor lebih selesa mempunyai pejabat terbuka yang berkonsepkan `mesra kakitangan'.

Tuan Guru ketika berucap merasmikan bangunan itu mengingatkan peranan Muslimat amat
penting dalam perjuangan Islam.

Sebagai contoh, isteri Rasulullah s.a.w iaitu Khadijah Khualid merupakan orang pertama memelok Islam serta menghabiskan segala harta dan usia hanya semata-mata mahu melihat kejayaan Islam. Begitu juga Allah memilih syahid pertama dalam Islama, Sumayyah.

Ini kerana kata beliau, Allah Maha Mengetahui mahu menunjukkan bahawa pengorbanan
dalam Islam bukan sahaja di kalangan orang yang kuat dan gagah tetapi mereka yang
dianggap makhluk lemah sanggup mengorbankan diri untuk menegakkan Islam.

Menurut beliau, PAS menjadi parti yang julung kali mewakilkan Muslimat ke Parlimen
pada Pilihan raya umum tahun 1959. Ketika itu calon Muslimat memperolehi kemenangan
dan seterusnya dilantik sebagai ahli Dewan Negara.

"PAS mendahului kumpulan Islam lain, kita buka melakukan bida'ah atau mereka-reka
dalam perkara agama. Apa yang kita buat adalah mengikut tabi'i dalam perjuangan Islam berdasarkan penglibatan kita melalui amalan demokrasi berparlimen," katanya.

Beliau menegaskan, satu undi antara lelaki dan perempuan tidak ada perbezaan maka
peranan Muslimat sama penting dengan muslimin bagi memastikan pengundi terus
menyokong perjuangan Islam.

Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, usaha membeli bangunan itu merupakan penerusan perjuangan daripada bonda-bonda Muslimat yang terdahulu.

Beliau berkata, sudah sampai masa bagi DMPNS mempunyai bangunan sendiri untuk
berdepan dengan Umno.

"Kami berjanji dihadapan Tuan Guru dan Pesuruhjaya Selangor akan terus berjuang dan
memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dipertahankan," katanya dalam ucaptama.

Tambah beliau, insya-Allah tangan dan kaki-kaki Muslimat PAS Selangor akan terus
berjuang sehingga berjaya ke Putrajaya.

Turut hadir dalam perasmian bangunan Muslimat PAS Selangor, Timbalan Ketua Muslimat
PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmood; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman;
Ketua Penerangan, Saari Sungib; Bendarhari, Izham Hashim; mantan Ketua DMPNS,
ustazah Muslimah; ustazah Siti Zubaidah dan ustazah Raden Bahjah.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP