>> Wednesday, November 30, 2011


Guru Kemas jentera utama Umno rampas Selangor

SAIDAH HAIRAN

GOMBAK: Guru-guru Kemas Selangor diberi taklimat secara tertutup dengan 100 tajuk khusus untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat dengan cara mereka berkempen dari rumah ke rumah.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, dalam Bajet BN 2012 guru-guru Kemas diberi peruntukkan sebanyak RM3,000 setiap seorang bagi memastikan mereka benar-benar berperanan pada PRU ke13.

Sehubungan itu kata beliau, Muslimat PAS Selangor perlu melipatgandakan usaha mendekati pengundi dengan menerangkan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat bagi mengekalkan kemenangan seterusnya menuju ke Putrajaya.

"Di Selangor kita ada kekuatan iaitu negeri pertama yang menawarkan gaji guru-guru Kafa sebanyak RM1,500 seorang. Kenaikan ini tidak dilakukan di negeri-negeri lain khususnya di bawah BN," katanya.

Beliau berharap jentera Muslimat dapat menerangkan kejayaan itu kepada seluruh pengundi di Selangor tanpa mengira mereka daripada politik Umno atau sebaliknya.

"Kita tidak mahu masyarakat Selangor tidak mengundi PAS dan Pakatan Rakyat kerana mereka tidak mendapat maklumat tentang kejayaan kerajaan negeri yang banyak membela nasib rakyat," tegasnya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang mengingatkan seluruh jentera Muslimat Selangor bahawa PRU ke13 dijangka sengit kerana PAS bukan sahaja berhadapan dengan Umno-BN tetapi menghadapi serangan daripada kerajaan Malaysia.

"Apa lagi Selangor ibarat anak dara sunti yang menjadi idaman Umno-BN kerana hasil negeri yang begitu banyak," katanya ketika berucap dalam Himpunan Serikandi 1K, di Gombak.

Jentera Muslimat PAS dan wanita KeADILan tegas beliau jangan pandang remeh dengan tindakan Umno-BN yang telah menyusun pelbagai program untuk memfitnah pimpinan dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Kejayaan Pakatan Rakyat mentabdir negeri Selangor sebenarnya tambah beliau amat menggerunkan Umno-BN sebab Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak khazanah negara.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP