Pening kepala fikir masalah parti...

>> Sunday, December 18, 2011

PAS Selangor melampau

APA ada dalam kepala kepimpinan Pas Selangor musim baru kecuali dendam yang tidak berkesudahan dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Sekiranya dakwaan itu betul, memang benar kepimpinan PAS Selangor melampau kerana tidak dapat menerima kebebasan bersuara dan berpendapat dalam negara demokrasi.

Islam juga menerima kebebasan bersuara selagi tidak bertentangan dengan akidah dan cara PAS Selangor menghukum Hasan jelas mengambarkan parti itu tertutup daripada kebebasan berpandangan.

Dalam 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor dipertandingkan PAS Selangor, hanya satu kerusi Gombak Setia, diumumkan Hasan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib berkata diperingkat kepimpinan negeri, nama Hasan tidak ada dalam senarai calon untuk mempertahan Dun Gombak Setia.

Bagaimana pun kata Saari kepimpinan pusat boleh memasukkan namanya dalam senarai kemudian.

Sebaliknya 19 lagi kerusi Dun yang dipertandingkan PAS tidak diberitahu kepada media.

Sementara Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan itu tidak benar kerana ia disahkan selepas proses penamaan calon.

Hasan Ali memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 2,797 mengalahkan calon Umno, Yuszahari Mohd Yusoff.

“Saari sudah pasti ada motif tertentu,” kata penulis politik Mohd Sayuti Omar mengulas isu itu.

Bagi beliau alasan Saari kurang tepat dan bijaksana kerana ia `membuka budu di tengah kedai dan kurang rempah politik’.

“Tidak semestinya calon yang mendapat sokongan dari kawasan yang hanya boleh dipertimbangkan. Sebelum ini berapa ramai calon Pas untuk sesuatu kawasan tidak pun mendapat sokongan atau perlu sokongan kawasan. Itu... calon bidan terjun tidak pun memerlu tapisan kawasan,” ujarnya.

Hasan yang juga Exco Selangor, berkata pencalonan diputuskan PAS Pusat melalui proses penilaian Majlis Syura Ulama dan adalah tidak sesuai sekiranya mana-mana individu bertindak mendahului pimpinan tertinggi parti.

“Saya tidak menyalahkan saudara Shaari Sungip berkenaan kenyataan tersebut tetapi saya ingin membuat penegasan bagi mengelakkan kekeliruan bahawa hal-hal pencalonan mesti diputuskan oleh PAS Pusat setelah melalui penilaian oleh Majlis Syura,” katanya.

Hasan turut menjelaskan, jumlah pencalonan daripada setiap cawangan bukanlah penentu seseorang calon itu layak bertanding atau tidak, tetapi turut diputuskan mengikut budi bicara pimpinan pusat.

“Setakat ini memang saya mengetahui pencalonan dari peringkat cawangan diambil kira, tetapi ini bukanlah faktor penentu kerana wujudnya pertimbangan lain.

“Saya sendiri ditunjuk untuk bertanding di Dun Gombak Setia pada 2008 bukan atas dasar pencalonan cawangan, begitu juga Ketua Penerangan PAS Negeri sekarang, yang bertanding di Dun Hulu Klang, juga tidak mengikuti proses penerimaan calon peringkat cawangan.

“Saya musykil dengan kenyataan dikeluarkan mengenai pencalonan itu lantaran ia disebarkan melalui media bertepatan dengan suasana dan keadaan dimana seorang pemimpin PAS menerima pengiktirafan dan penghargaan daripada Sultan Selangor.

“Saya khuatir pelbagai kesimpulan dan andaian boleh dibuat berikutan dengan wujudnya satu kebetulan ini,” kata beliau dalam sidang akhbar di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, pada hari keputeraan Sultan Selangor ke 66, Hasan dianugerahkan darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS).

Ditanya wartawan sama ada beliau patut meninggalkan PAS jika menghadapi masalah dalaman parti, Hasan berkata ia tidak semudah itu.

Kata beliau, persoalan sama ada beliau kekal atau digugurkan sebagai calon pilihan raya tidak akan menghalang perjuangannya memartabatkan bangsa Melayu, mengagungkan agama Islam dan mendaulatkan institusi raja.

“Sama ada saya dicalonkan atau tidak, itu bukan menjadi halangan, pendirian saya tidak pernah berubah terhadap tiga perkara berkenaan.

“Bahkan isu ini menjadikan saya lebih kental untuk terus berjuang dan saya yakin, ramai yang memahami dan menjiwai semangat saya,” tegasnya.

Mengenai isu perpaduan, beliau mahu memperjuangkan isu itu secara global bukan seperti perkara politik yang membangkitkan kerajaan perpaduan tetapi merangkumi perpaduan Islam dan bangsa.

Beliau juga dikaitkan Himpunan Sejuta Umat (Himpun), katanya penyertaan kali pertama beliau dalam Himpun di Shah Alam telah mendapat maklum balas yang baik.

“Himpun tidak ada kena mengena dengan Umno dan parti politik malah pelbagai pihak hubungi saya selepas itu menyatakan setuju dengan kehadiran saya dalam Himpun. Jadi saya akan hadir dalam Himpun seterusnya,” katanya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP