>> Tuesday, July 19, 2011


Baharuddin seorang Syuhada - Presiden

KERAMAT: Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendoakan Allahyarham Baharuddin Ahmad, 58, sebagai seorang syuhada yang mendapat kelebihan dan dapat memberi syafaat kepada keluarganya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham bersama isterinya, Toh Puan Seri Zainab Awang.

"InsyAllah kita doakan sebagai seorang syuhada yang mendapat kelebihan dan dapat memberikan syafaat kepada keluarganya," katanya dihadapan anak-anak Allahyarham.

Rumah Allahyarham di Keramat sentiasa dikunjungi orang ramai bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa Cina turut menziarahi keluarga Allahyarham.

Ketika menunggu kehadiran Presiden, lima orang kaum Cina berada di rumah Allahyarham yang memaklumkan mengenali Allahyarham hanya melalui internet iaitu selepas bersama-sama menghadiri himpunan Bersih.

Allahyarham Baharuddin mengalami sesak nafas setelah terhidu gas pemedih mata kemudian pengsan dan meninggal di pekarangan KLCC.

Allahyarham telah menjalani bedah siasat namun keputusan hasil bedah siasat itu masih belum dinyatakan oleh pihak hospital Kuala Lumpur.

Read more...


Perginya sebutir mutiara sukar dicari ganti - Dr Lo'Lo

SAIDAH HAIRAN

KERAMAT: Pimpinan Muslimat PAS mengibaratkan pemergian Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Dato' Mohamad Ghazali sebagai kehilangan sebutir mutiara yang tinggi nilainya dalam perjuangan Islam.

Sehingga nafas terakhir, Allahyarham masih sempat mengingatkan sahabat seperjuangannya supaya meneruskan perjuangan Islam disamping mempertahankan hak penduduk kampung Baru daripada dicerobohi kerajaan BN.

Linangan air mata saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat menampakkan kesedihan mereka di atas pemergian seorang yang dianggap sebagai kakak, rakan dan sahabat seperjungan yang banyak memberi pandangan dan kritikan.

Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berjanji, pimpinan Muslimat bertekad akan memenuhi wasiat terakhir Allahyarham untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kampung Baru yang merupakan amanah daripada penduduk.

"Penduduk kampung Baru amat bertuah mempunyai wakil rakyat yang sanggup berjuang membela hak mereka sehingga ke akhir hayat, walaupun Allahyarham sakit tetapi hak rakyat tetap diperjuangkan," jelasnya.

Allahyarham merupakan ahli Parlimen yang lantang bersuara dan sering mengambil bahagian berbahas dalam sidang Dewan Rakyat bagi menolak rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Zailah menganggap Allahyarham sebagai tokoh mkuhahidah Islam yang hebat, tabah kerana dalam keadaan sakit tetapi masih mempunyai semangat tinggi untuk terus berada dalam perjuangan Islam.

"Allahyarham banyak memberi pandangan bernas serta kritikan terhadap Dewan Muslimat dan kami sebagai ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata, di akhir hayatnya Allahyarham mengingatkan kami supaya meneruskan perjuangan dan melaksanakan yang terbaik dan jangan mudah patah semangat.

"Wasiat beliau kepada kami supaya kami bersama rakyat mempertahankan maruah Kampung Baru. Itulah di antara wasiat beliau yang terakhir kepada kami," katanya.

Sahabat paling rapat Allahyarham, Timbalan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod menyifatkan Allahyarham sebagai pimpinan yang kuat semangat kerana dalam keadaan sakit selalu mengingatkan tentang isu-isu yang segera diberi penjelasan.

"Ketika saya melawat di hospital, saya membawa lempeng. Saya tanya `you hendak tak lempeng, dia jawab hendak...'(saya sangat gembira sebab Allahyarham hendak lempeng), kakak Allahyarham beritahu memang Allahyarham suka lempeng sebab arwah emak selalu buat," katanya sambil mengesat air mata.

Mantan Ketua DMPP, Ustazah Jamilah Ibrahim pemergian Allahyarham sebagai seorang pejuang yang telah dijanjikan Allah, moga rohnya bersama para anbiya dan Rasul serta pejuang di masa lampau.

Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang agama yang berani, bertanggungjawab, jujur serta prihatin dengan rakyat.

Beliau berkata, dalam keadaan sakit Allahyarham cuba istiqamah dalam jemaah dan ini satu contoh yang sangat baik dan wajar dicontohi oleh semua pejuang dan rakyat yang masih hidup.

Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail pemergian Allahyarham sukar dicari ganti kerana kelantangan dan keberanian memerangi perokok khususnya dikalangan ahli Parlimen.

"Saya merasakan kehilangan yang terasa sangat, walaupun saya sudah tidak ada dalam Parlimen, sudah tentu rakyat Titiwangsa merasakannya," katanya.

Allahyarham 2 Ogos 1957 di Kuala Kangsar Perak, anak ke lima daripada lapan orang adik beradik yang terdiri dari empat lelaki dan empat perempuan. Allahyarhamah pernah berkhidmat di beberapa buah hospital seperti, di Hospital Alor Setar, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Pusat Kesihatan Besar Pokok sena Kedah, Pegawai Perubatan Hospital Besar KL, Pegawai Perubatan Pusrawi sebelum dilantik sebagai Pengarah dan Doktor Yang Menjaga Pusat Perubatan Kohilal.

Mendirikan rumahtangga pada 7 September 1980 dengan Prof. Dr Aminuddin Abd Hamid, yang berkhidmat sebagai Pensyarah Fisiologi Fakulti Perubatan UKM dan telah dikurniakan seramai empat orang cahayamata dua lelaki dan dua perempuan hasil perkongsian hidup selama 31 tahun.

Allahyarhamah menjadi ahli PAS pada tahun 1977 semasa masih lagi menuntut di Universiti dan mula memainkan peranan secara aktif didalam parti sebaik sahaja dilantik sebagai AJK dan DMPP pada tahun 1995 ketika di bawah ketua Ustazah Jamilah Ibrahim.

Tahun 1999 Allahyarham dilantik AJK PAS Pusat oleh Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor. Seterusnya dalam pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 2001, 2005, 2007 dan 2009 beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai AJK PAS Pusat dalam muktamar Tahunan PAS.

Dalam DMPP Allahyarhamah pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua DMPP pada tahun 2003 sehingga tahun 2007 di bawah ketua Allahyarhamah Ustazah Hajjah Khalthom Othman dan Ustazah Hajah Azizah Khatib Mat.

Allahyarham diamanahkan sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat mulai tahun 2005 sehingga tahun 2011. Allahyarhamah juga adalah merupakan Ketua DMP Kawasan Titiwangsa.

Pernah dipilih sebagai calon PAS dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-11 pada tahun 2004 di Parlimen Bukit Gantang Perak, menentang BN Lian Hoe, bagaimapun Allahyarhamah tewas dengan majoriti 6,702.

Allahyarhamah menewaskan calon BN, Dato’ Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti, 1,972 pada pilihan raya umum 2008.

Allahyarham antara pimpinan muslimat yang lantang menegur mempertahankan hak dan kedudukan Muslimat dalam PAS sewaktu Muktamar dan program-program parti.

Antaranya mempertikaikan mengenai perbezaan kedudukan tempat duduk diantara pimpinan PAS, muslimin dan Muslimat sewaktu muktamar sama ada ianya syar’ie atau sebaliknya. Begitu juga mengenai cadangan supaya Muslimat dibenarkan semula sebagai calon dalam pilihanraya setelah melihat kepada beberap faktor.

Hasil soalan itu, PAS berubah dan telah mempunyai empat orang wakil di bagi membawa suara wanita iaitu tiga di Dewan Rakyat iaitu, Ustazah Hajjah Siti Zailah Mohd Yusof (PAS- Rantau Panjang), Dr Hajjah Siti Mariah Mahmud (PAS- Kota Raja) dan Allahyarhamah sendiri yang menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa. Manakala Senator Hajjah Mumtaz Md Nawi sebagaI Ahli Dewan Negara.

Read more...

Sasterawan Negara yang berani

>> Friday, July 15, 2011



Saya sangat kagum dengan semangat Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said. Ketika himpunan aman GMI beliau turut merasai keperitan gas pemedih mata. Beliau tidak serik. Kali kedua kena gas pemedih mata yang lebih teruk lagi.

Ketika menyertai himpunan aman Bersih 2.0. Walaupun sudah berusia 76 namun semangat beliau lebih tinggi jika dibandingkan dengan semangat orang muda khususnya orang Umno.

Read more...

Timbalan Presiden PAS di dewan Annex, Shah Alam

>> Wednesday, July 13, 2011









Haji Mohamad Sabu berkerusi roda kerana lutut beliau luka. Beliau terjatuh daripada motor kerana dirempuh oleh land rover polis. Selepas itu, beliau terus ditangkap dan dibawa ke balai polis Jinjang.

Bagaimanapun beliau dibebaskan jam 11 malam.

Read more...


Najib pembohong tidak layak menjadi ketua negara

SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kesal dengan sikap Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang pembohong dan tidak layak menjadi ketua negara sebaliknya hanya layak menjadi suami kepada Rosmah Mansor.

Beliau kesal dengan sikap Najib yang tidak menunaikan janji untuk membenarkan himpunan Bersih menggunakan Stadium sedangkan sebelum itu, Najib mengeluarkan kenyataan `memekik lah sampai 3 pagi' namun janji itu tidak ditunaikan.

Penganjur Bersih juga kata beliau mahu mengadakan perbincangan dengan Najib tetapi tidak dilayan dan sikap pembohong Najib itu membuktikan bahawa beliau tidak layak menjadi ketua bagi rakyat Malaysia.

Mohamad hadir di dewan Annex, SUK dengan menggunakan kerusi roda yang ditolak Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman. Beliau mengadakan sidang akhbar bersama Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Turut serta wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berehat dari sidang DUN.

Walaupun mengalami kecederaan lutut kerana dirempuh landrover polis namun beliau lebih bersemangat untuk terus berjuang supaya dapat menikmati pilihan raya bersih dan telus dalam pilihan raya umum nanti.

Katanya, jika pilihan raya dapat dijalankan dengan bersih baru lahir kerajaan bertamadun manakala rejim najib yang zalim dan pembohong akan terkubur.

"Saya terlibat dalam himpunan aman sejak zaman kampus sampai sekarang, saya dapati semakin hari polis atau kerajaan BN semakin bertindak kasar terhadap rakyat dan kekejaman itu begitu ketara pada 9 Julai," tegasnya.

Beliau yakin polis bukan lagi menjaga keselamatan rakyat tetapi menjaga kepentingan Umno dan cara itu dapat dilihat daripada maki hamun serta tengkingan mereka terhadap peserta himpunan Bersih.

"Pasukan keselamatan hari ini di tahap yang paling memalukan," tegasnya.

Beliau mengalami kecederaan apabila motosikal yang membawanya dirempuh oleh landrover polis setelah jatuh empat pegawai polis mengangkatnya dan membawa masuk ke dalam kereta peronda polis.

"Saya di bawa ke klinik di balai polis Jinjang dan dianggap sebagai pesakit luar, tetapi saya membuat pemeriksaan lanjut di hospital Petaling Jaya, doktor mengesahkan terdapat kecederaan di lutut (koyak) dan perlu membuat pembedahan untuk dimasukkan besi," jelasnya.

Tegas beliau, itu hanya halangan peribadi dan tidak mustahak tetapi yang lebih penting polis sudah menjadi gangster dan tidak lagi menjaga keamanan sebaliknya mementingkan keperluan parti Umno.

Katanya, perbuatan polis itu menyebabkan Kuala Lumpur menjadi lumpuh dan bukan kerana himpunan Bersih, peraturan langsung tidak diikuti oleh polis dengan membuat tembakan gas pemedih mata kepada peserta bukan di ruang udara.

Read more...


Ketua Polis Negara buta fakta

SHAH ALAM: Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali kagum dengan semangat keberanian rakyat Selangor yang hadir dalam himpunan Bersih walaupun dalam suasana sekatan jalan raya diadakan dan dikawal rapi oleh pihak polis.

Beliau yakin dengan kehadiran peserta himpunan Bersih itu mencecah 100,000 orang yang terdiri daripada kalangan anak-anak muda dan pelbagai bangsa.

"Kita bersyukur dan gembira dengan adanya teknologi moden Ketua Polis Negara tidak boleh menyembunyikan fakta kerana ada media massa antarabangsa yang melaporkan peserta himpunan seramai 120,000 manakala BBC melaporkan 100,000 orang," katanya.

Beliau menegaskan hanya akhbar Utusan Malaysia, TV3 dan Ketua Polis Negara sahaja yang mengatakan perhimpunan Bersih sekitar 6,000 orang.

Menurut beliau, jika Ketua Polis Negara sudah bercakap tidak benar berkenaan himpunan Bersih apakah jaminan beliau boleh memberi taklimat keselamatan negara kepada kerajaan dan Perdana Menteri dengan tepat.

Ini sebenarnya tegas beliau merupakan satu soalan penting yang harus diketahui rakyat dan pihak polis tidak boleh bersembunyi dalam hal itu.

Dalam pada itu katanya, Pakatan Rakyat telah mengambil keputusan untuk menghimpunkan semua bukti peserta himpunan yang dipukul dan dizalimi untuk diambil tindakan undang-undang.

Beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa kesal dengan tindakan polis yang menggunakan kekerasan dalam mendepani rakyat pada himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Walaupun katanya, Ketua Polis Negara membuat kenyataan tidak ada pacutan gas pemedih mata dan kekerasan digunakan tetapi dengan adanya teknologi baru semua itu dapat dibuktikan.

Beliau tidak menafikan matlamat asal himpunan Bersih adalah untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan telus.

Read more...


`Kalau aku tembak je..buang masa macam ni...'

SAIDAH HAIRAN

Hampir 60 ribu peserta himpunan Bersih berjaya memboloskan diri di semua 40 sekatan jalan raya oleh anggota Polis Diraja Malaysia ke pusat bandar, Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Kuala Lumpur bermula petang Jumaat begitu lenggang seolah-olah membayangkan bandar besar itu tidak berpenghuni. Banyak kedai-kedai ditutup, suasana petang Jumaat hingga pagi Sabtu begitu sayu. Membayangkan akan berlaku tragedi yang menyedihkan.

Di sekitar bangunan pejabat PAS, Jalan Raja Laut dipenuhi dengan anggota pasukan khas (SB). Jarak 100 meter dari bangunan PAS kelihatan tiga buah kereta peronda polis.

Penulis terpaksa menempuh tiga sekatan polis bermula di Jalan Raja Laut hingga menuju ke masjid Jamek yang menahan dan melarang untuk membuat liputan himpunan Bersih.

Ketika penulis memaklumkan dari media Harakah, polis berkenaan mengatakan jalan sudah ditutup dan mengarahkan penulis tidak bergerak ke mana-mana. Lantas penulis menjawab, "Encik bertugas, saya pun bertugas, kita sama-sama bertugas...."

Di hadapan pasaraya Sogo dan jalan Raja Laut penuh dengan anggota polis dan SB. Memang sukar untuk peserta himpunan Bersih meloloskan diri. Bagaimanapun, suara riuh peserta himpunan Bersih didengari dari jalan Leboh Ampang menuju ke masjid Jamek.

Inilah hebatnya semangat rakyat penyokong Pakatan Rakyat. Walaupun mendapat halangan polis namun mereka cerdik dan berusaha untuk berhimpun bagi menuntut keadilan pilihan raya.

Peserta himpunan bertempiaran lari apabila polis menembak gas pemedih mata sebelum sampai ke masjid jamek. Kelihatan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman serta Zulkifli Mohamad berlari mengelak ditahan polis.

Pemuda PAS Sabah memberi sebotol air mineral kepada peserta dan penulis serta berkongsi garam bagi melegakan keperitan tekak dan pedih mata. Lebih menghayat hati apabila seorang kanak-kanak OKU (orang kurang upaya) dan remaja perempuan pengsan kerana gas pemedih mata.

Keadaan tenang seketika dan perarakan diteruskan menuju ke masjid jamek dan Pudu raya. Sekali lagi peserta himpunan terpaksa menghidu gas pemedih mata dari FRU dan air berkimia 100 meter dari jejantas Pudu raya.

Lebih 100 orang ditahan dan diheret dengan tangan bergari plastik. Pemerhatian penulis mendapati polis menangkap secara rambang.

Seorang peserta himpunan dari Sepang (Selangor) jatuh dan pengsan di Pudu raya dengan tangan bergari di belakang. Polis enggan membuka gari tali plastik walaupun didesak oleh peserta yang berada di atas jejantas pudu raya.

Akhirnya gari tersebut dibuka hasil usaha dua tiga orang peserta yang juga membantu mengajar pak cik tersebut mengucap. Keadaan ketika itu agak tertekan kerana pak cik mengerang kesakitan.

Pak cik tersebut pengsan dan di bawa ke hospital dengan kereta peronda polis setelah menunggu lebih 20 minit.

Semua tahanan pada petang itu diletakkan di tempat menunggu bas dataran Mybank. Lebih mengejutkan trak polis yang bertutup rapat berada di dataran Mybank dipenuhi dengan peserta himpunan.

Bayangkan betapa kejam polis yang membiarkan tahanan dalam trak yang tidak cukup udara dan gelap. Polis hanya membuka untuk memberi sebotol air dan dikongsi. Penulis mahu merakamkan suasana itu lebih dekat tetapi dihalau pegawai polis.

Kekejaman anggota polis terserlah apabila menengking tahanan yang terdiri daripada golongan muda daripada menunaikan solat. Bagaimanapun, mereka terus menunaikan solat secara berjemaah dengan tangan bergari.

Ketika tahanan masuk ke dalam trak polis, kedengaran seorang pegawai polis wanita menyindir, "nanti jangan lupa sembahyang Isyak..." disambut dengan gelak anggota polis lain.

Empat pegawai polis wanita dan lebih lima orang pegawai polis lelaki mengelilingi seorang pemuda Melayu yang baru ditangkap. Kedengaran pelbagai soalan diajukan kepada pemuda tersebut.

Seorang anggota polis yang berpakaian biasa menengking, "Bodoh ya, tadi berani sangat sekarang ditanya diam...".

Bahasa kasar dan biadap anggota polis dan FRU memang tidak dinafikan. Penulis mendengar seorang pegawai FRU berkata; "Muka cantik...tapi bodoh berdemo...", kata itu ditujukan kepada dua gadis yang memakai tudung labuh berada dalam trak polis.

Tiga orang SB yang berada di sebelah penulis di belakang trak menyindir gadis tersebut, "Ini budak sekolah ni...ikut sapa la budak ni...habiskan la mengaji dulu..., disahut oleh SB yang lain..."Mesti budak ni dijanjikan dapat duit dapat habuan...".

Tiga orang SB tersebut terus duduk di dataran Mybank dan berbual sesama sendiri. Penulis mendengar mereka mengatakan, "kalau aku tembak je...buang masa macam ni...".

Jika mereka boleh mengeluarkan kata-kata yang menggambarkan kekejaman, tidak mustahil Allahyarham Baharuddin Ahmad, 58, yang meninggal setelah terhidu gas pemedih mata turut ditendang dan dipijak.

Hakikatnya, apakah selepas tarikah 9 Julai rakyat Malaysia akan terus mempercayai kewibawaan anggota dan pegawai polis? Mungkin selepas ini sejarah hitam akan terus terpahat di hati setiap peserta himpunan Bersih sehingga sukar untuk mereka mempercayai kejujuran anggota polis...

Read more...

suasana di tahan perkuburan Keramat








Pemergian Allahyarham Baharuddin Ahmad sebagai rakyat biasa yang menuntut keadialan dalam sistem pilihan raya.

Read more...

Koleksi himpunan aman Bersih 9 Julai



















Sejarah hitam telah tercalar dan akan terus terpahat dalam hati seluruh rakyat Malaysia khasnya yang hadir dan bertempur dengan polis. Kebiadapan dan keganasan polis tidak boleh dinafikan.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP