Nizar...bintang yang menyinar

>> Friday, May 21, 2010


Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Muhamad Nizar Jamaluddin turut berkempen di parlimen Sibu selama empat hari.
Beliau melayani khendak Halwa Selangor yang mahu mengabdikan kenangan di markas PAS Sibu.
Nizar merupakan salah seorang pimpinan PAS Pusat yang semakin melonjak. Ketrampilan dan kesungguhan beliau dalam mendepani isu tidak dinafikan.
Walaupun bukan bergelar ustaz namun setiap kali berucap ayat-ayat al-Quran sentiasa membasahi bibirnya.
Bukan saja ahli PAS terpukau dengan ucapannya. Non muslim turut mengagumi kepetahan beliau dan kelantangannya membicarakan isu-isu semasa.
Apakah beliau merupakan bintang yang terus bersinar di persada politik tanah air. Ya...saya yakin beliau boleh.

Read more...

Pimpinan PAS berjiwa rakyat

>> Sunday, May 16, 2010




SIBU: Gelombang perubahan politik negara menuntut politikus yang ikhlas menghulur bantuan serta menyambut senyuman daripada rakyat yang sentiasa dahagakan kemesraan dan perhatian seorang pemimpin.

Perubahan politik yang berlaku membuktikan rakyat sudah matang dalam menilai pemimpin mereka.
Rakyat tidak rela berterusan mendengar dendangan sumbang tentang retorik perubahan yang dilaungkan oleh pimpinan negara.
Justeru, PAS memerlukan pimpinan berkebolehan, berketrampilan, berilmu serta mudah didampingi tanpa mementingkan birokrasi. PAS sering menerima tohmahan sebagai parti eksterim.
Pimpinan PAS sering dilabelkan tidak mesra rakyat. Mementingkan birokrasi serta lupa tanggungjawab kepada ahli.

Pepatah Melayu menyatakan 'Hanya jauhari yang mengenal manikam'. Pengamatan penulis mendapati kesungguhan dan keprihatinan dua pimpinan kanan PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub bukan lakonan jauh sekali bersifat politik kepartian.

Kemesraan dan keperihatinan yang ditonjolkan ketika menziarahi masyarakat di kampung Hilir, DUN Nangka, Sibu jelas membuktikan itulah sifat sebenar mereka. Warga emas disantuni, golongan muda dihormati kanak-kanak disayangi.

Pantang bertemu kanak-kanak, pasti didukung dengan penuh kasih sayang, itulah Mahfuz Omar, ahli Parlimen Pokok Sena. Salahuddin yang terkenal dengan sifat `pendengar setia' menggunakan kebijaksanaan untuk terus menyelami masalah penduduk kampung Hilir, yang terbelanggu dengan isu tanah.

Manakala golongan muda yang berada di tepi jalan kampung itu mengagumi ketokohan Mahfuz dan Salahuddin. Ada yang mengambil peluang meminta Mahfuz menandatangani autograf.

Sikap keterbukaan penduduk kampung Hilir memudahkan Mahfuz, Salahuddin mengenalkan ketokohan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Oh...ini saya kenal, Nik Aziz...Menteri Besar Kelantan," kata seorang penduduk wanita ketika ditunjukkan poster Nik Aziz.

DUN Nangka yang dilabelkan `kubu BN' tidak menggentarkan pimpinan Muslimat untuk mendakap golongan wanita khususnya warga emas.

Hajah Hajijah Omar, 80 menangis sehingga sukar melepaskan pelukan daripada Naib Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid; Pegawai Perubatan yang juga Naib Ketua Muslimat Kawasan Sepang, Dr Nahidah Abd Rahim serta AJK Muslimat Subang, Rabeah Al-Adawiyah Hussin.
Turut menyelami masalah penduduk, ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar serta pemuda PAS Kawasan Miri, Sarawak. PAS lebih dikenali sebagai `duta' penyelamat hak rakyat dan menyemai suasana berkasih sayang.

Kepakaran menggunakan `sentuhan kasih sayang' dimiliki oleh Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga AJK PAS Pusat, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.

Siapa tidak kenal dengan ahli panel forum Perdana. Nada suara dan gaya diadun menjadi satu sehingga berjaya menambat hati pendengar.

Laungan takbir memecah kesunyian kampung Hilir yang selama ini terlalu akur dengan ugutan BN. Penduduk yang berada di hadapan markas tidak berganjak mendengar ceramah Hasan.

Penguasaan dalam cabang ilmu ditambah pengalaman sebagai pegawai kerajaan memberi kelebihan kepada ketrampilan kepimpinan beliau sama ada sebagai Pesuruhjaya mahupun exco kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Kejayaan kerajaan Selangor membela nasib rakyat dikongsi bersama supaya dapat diikuti oleh penduduk Sibu, Sarawak yang akan mengadakan pilihan raya pada 16 Mei.

Kesepakatan, keserasian serta keikhlasan Mahfuz, Salahuddin dan Hasan menemui masyarakat tidak dapat disangkal kerana mereka sebenarnya pemimpin berjiwa rakyat.

Read more...

Sibu - bendera PAS akan terus berkibar


Hari-hari akhir kempen pilihan raya Parlimen Sibu memperlihatkan jentera PAS terus aktif menjelaskan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri di Semanjung serta persepsi negatif terhadap Islam.

Semua saluran digunakan sepenuhnya terutama kempen dari rumah ke rumah kerana ia memberi kesan dan mencapai sasaran. Jentera PAS turut mengedarkan risalah Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta gambar calon DAP, Wong Ho Leng.

Kuliah, ceramah dan jamuan bertemu masyarakat setempat turut dilakukan dengan gabungan pimpinan PAS dan DAP.

Pimpinan PAS Pusat yang turut berkempen antaranya, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar; Setiausaha Agung, Dato' Mustapa Ali; Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Dzulkifly Ahmad bersilih ganti hadir ke Parlimen Sibu.

Insiatif Halwa PAS Selangor dengan mengedarkan risalah dalam bas amat menarik kerana ia tidak pernah dilakukan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Kempen dalam bas pada pilihan raya kecil Sibu merupakan medan pertama yang dilakukan oleh jentera Halwa PAS Selangor dan ia mendapat sambutan yang amat baik.

Jentera Halwa Selangor menaiki bas dari tempat penginapan Taman Harmoni menuju ke lokaliti Jalan Abang Bariayan, DUN Nangka.

Inilah masa dan saat paling penting di mana PAS perlu memainkan peranan untuk menjelaskan salah faham masyarakat bukan Islam dan Islam berkenaan isu-isu berkaitan Islam.

Selain berkempen untuk meraih sokongan kepada calon DAP, lebih penting PAS perlu menyampaikan dakwah untuk menarik orang bukan Islam kepada Islam.

PAS juga perlu menanamkan pengetahuan Islam yang lebih sempurna kepada orang Islam di Sibu, yang rata-rata masih kurang memahami ajaran Islam.

Pemimpin muda DAP sudah mula selesa memperkatakan keadilan yang diperjuangkan dalam Islam. Pengakuaan daripada Pengarah Pilihan raya DAP Sibu, Tony Pua mengatakan PAS bukan parti eksterim tetapi ia parti yang berusaha menegakkan keadilan.

Beliau bangga apabila melihat bendera PAS berkibar bukan sahaja di hadapan Markas PAS kampung Hilir tetapi di seluruh bandar Sibu.

Katanya, biar masyarakat Sibu melihat dan biasa dengan bendera PAS sekaligus mereka tidak akan takut untuk mengibarkan bendera PAS di rumah atau kawasan sekitar.

Penulis serta jentera Halwa Selangor yang menaiki kereta membawa bendera PAS dan lambang PAS Selangor, turut menarik perhatian pengguna jalan raya. Kereta PAS Selangor menjadi perhatian terutama golongan muda Melayu dan Cina.

Mereka melihat dan tersenyum serta mengangkat tangan tanda setuju. Ketika kempen dilakukan dari rumah ke rumah serta menaiki bas, ramai dikalangan masyarakat yang ditemui meminta bendera PAS serta gambar Nik Abdul Aziz.

Masyarakat Sibu turut menanti kedatangan Nik Abdul Aziz. Pengundi yang ditemui bertanya; "Bila Nik Aziz hendak datang, saya memang menunggu Nik Aziz nak dengar ceramah dia, saya akan ajak kawan-kawan saya dengar ceramah Nik Aziz." Inilah kehebatan Nik Aziz yang tidak boleh dinafikan.

Sebelum itu, kempen jentera PAS Selangor bersama Pesuruhjaya PASnya, Dato' Dr Hasan Mohd Ali turut mendapat sambutan yang baik. Beliau tidak menyangka dan terkejut kerana masyarakat Sibu mengenalinya.

PAS Selangor turut menyediakan pegawai perubatan yang menyediakan perkhidmatan perubatan percuma selama berkempen. Dr Nahidah Abd Rahim serta Dr Rani Osman merupakan pegawai perubatan yang bekerja tanpa mengira masa.

Mereka bukan sahaja melakukan peperiksaan percuma dari rumah ke rumah tetapi membuka kaunter kesihatan di Markas PAS kampung Hilir.

Pengarah Pilihan raya Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmood yang turut berkempen mendapati masyarakat Islam di Sibu bersikap terbuka kepada PAS.

Dalam tempoh berkempen kata beliau, tidak ada seorang yang mempersoalkan kenapa PAS berkempen untuk DAP tetapi mereka bertanya kenapa PAS tidak wujud di Sibu.

Malah katanya, apabila jentera Muslimat PAS berkempen di kampung jeriah penduduk di situ tahu dan mengikuti aktiviti PAS yang dijalankan di Semanjung.

"Mereka memang nampak tidak berpendidikan tinggi tetapi mereka tahu siapa itu PAS," katanya. Mariah bersama jentera Muslimat dari Miri dan Kelantan berkempen di kampung Jeriah dari rumah ke rumah selain mengadakan sukaneka.

"Kita nampak peluang yang baik untuk kita berdakwah, memang bagus daripada segi muhibah orang Melayu di sini, mereka mesra dan memberi sokongan kepada kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau sedikit kesal kerana tidak sempat untuk menjelaskan perjuangan PAS memandangkan tempoh berada di Sibu amat singkat.

Naib Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid yakin jika BN tidak main politik jahat sudah pasti Pakatan Rakyat melalui calon DAP akan meraih kemenangan di Sibu.

Ini berikutan sokongan daripada masyarakat yang ditemui ketika kempen dari rumah ke rumah memperlihatkan 60 peratus menyokong Pakatan Rakyat.

Sebenarya kata beliau masyarakat di Sibu terutama orang Melayu memang menanti kehadiran PAS sehingga mereka mengumpamakan PAS sebagai payung untuk membela masyarakat di Sibu.

Read more...

sekitar penamaan calon di Sibu

>> Monday, May 10, 2010











Read more...

Sampai bila Melayu Sibu tunduk di bawah kuasa BN?

>> Sunday, May 9, 2010


Calon Bebas, Nawari Haron turut bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu, 16 Mei nanti. Pertandingan itu menyaksikan tiga penjuru antara DAP, BN dan Bebas.

Apakah calon Bebas itu ditaja oleh pihak tertentu? Siapa pimpinan BN yang berada di sebelah mereka?

Apa yang menyedihkan pimpinan Pakatan Rakyat, DUN Nangka iaitu kawasan orang Melayu yang menjadi kubu Umno masih jauh ketinggalan daripada pembangunan dan pemodenan.

Terkini, markas kampung Hilir DUN Nangka polis menganggu ceramah PAS Dato Mahfuz Omar dan Dr Siti Mariah Mahmood.

Apakah BN sudah tergugat dengan kehadiran pimpinan PAS di markas tersebut? Sehingga BN mengarahkan polis untuk menganggu ceramah dan aktiviti yang diadakan di situ.

Kampung Hilir di DUN Nangka merupakan kubu BN yang sukar ditembusi oleh PAS. Bagaimanapun, hari ini menjadi sejarah politik kampung Hilir boleh dikunjungi oleh pimpinan dan ahli PAS.

Ketika ceramah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali penduduk yang datang mendengar ceramah, tidak takut untuk menyahut takbir. Laungan Allah Hu Akhbar bergema di kampung Hilir.

Bendera PAS yang tidak pernah dilihat oleh penduduk di situ kini berkibar megah di kampung Hilir. Apakah pilihan raya kecil Parlimen Sibu merupakan langkah pertama untuk PAS membuka tirai menaungi Sibu seterusnya Sarawak.

Read more...

Hapus PRK- Tuan Ibrahim

>> Tuesday, May 4, 2010


SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) dicadangkan supaya memansuhkan pilihan raya kecil kerana didakwa gagal membuktikan perjalanan pilihan raya yang telus dan bersih daripada gejala rasuah.

Demikian penegasan Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas perjalanan pilihan raya kecil sebanyak 11 kali selepas pilihan raya umum 3 Mac 2008.

Beliau mencadangkan supaya pilihan raya kecil dimansuhkan kerana selama ini tidak selari dengan sistem demokrasi yang adil.

Berucap ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Selangor katanya, jika hendak menegaskkan sistem demokrasi yang adil perlu ada satu jaminan bahawa sistem tersebut mesti telus dan adil kepada mana-mana parti yang menyertai pilihan raya.

Selama ini tegas beliau, SPR gagal membuktikan perjalanan pilihan raya kecil secara bersih daripada gejala rasuah sebaliknya terus dilonggokkan dengan janji-janji pembangunan dan kesenangan oleh Umno-BN.

Katanya, kos yang dihabiskan untuk 11 pilihan ray kecil mengatasi kos pilihan raya umum sebagai contoh pilihan raya di Parlimen Kuala Terengganu sebanyak RM150 juta diperuntukan.

"Semua anggota polis berkampung di Kuala Terengganu begitu juga dengan jentera kerajaan," tegasnya.

Ditambah pula kata beliau dengan gejala rasuah menjadi-jadi dan secara tidak langsung menaikan lagi tahap rasuah negara yang dilakukan oleh pimpinan Umno-BN.

SPR gagal menghalang semua perkara itu daripada berlaku jadi apa guna diadakan pilihan raya kecil, tegas beliau.

Dalam pilihan raya kecil juga kata beliau rakyat turut diugut dan dipaksa untuk mengundi calon tertentu dan cara itu memang bercanggah dengan sistem demokrasi.

Selain itu beliau terkilan kerana setiap kali pilihan raya kecil akan berlaku pergaduhan di mana media arus perdana hanya akan melapor dan membesarkan pimpinan serta ahli Umno-BN yang cedera.

Manakala tegas beliau pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat yang cedera tidak akan dilaporkan oleh media.

Banyak negara yang tidak melaksanakan pilihan raya kecil walaupun begitu katanya PAS tetap menyokong pilihan raya kecil jika sistem yang dilaksanakan itu adil bagi semua pihak.

Pilihan raya kecil juga kata beliau bukan menentukan terbentuknya sebuah kerajaan tetapi yang menentukan wujud sebuah kerajaan adalah pilihan raya umum.

Beliau berkata, PAS memahami SPR hak asasi manusia wakil rakyat boleh keluar masuk tetapi hendak menang pilihan raya satu parti itu berhabis duit bila menang wakil rakyat lompat parti dan parti tidak dapat apa-apa manfaat.

Bagaimanapun kata beliau, PAS tetap akan turun berkempen serta menyertai penamaan calon memberi sokongan padu kepada DAP yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Tuan Ibrahim mengingatkan SPR supaya jangan dipergunakan oleh Umno-BN kerana jika rakyat sudah tidak mempercayai kewibawaan SPR sudah pasti mereka tidak akan keluar mengundi.

Di akhir ucapan itu beliau mengingatkan Pemuda PAS Selangor supaya memikirkan strategik untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Melayu tradisional khususnya yang tinggal di Felda-felda.

Read more...

Hasan terima anugerah Yusof Rawa


SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Mantan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Hasan Syukri menerima anugerah `Tuan Guru Haji Yusof Rawa manakala mantan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Sallehen Mokhyi dianugerahkan `Dato Fadzil Noor'.

Gelaran anugerah tersebut akan dijadikan rutin dalam Muktamar Pemuda PAS Selangor bagi memberikan penghargaan khusus kepada mantan Ketua Pemuda PAS.

Dua anugerah tersebut disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap exco kerajaan, Dato' Dr Hasan Mohd Ali di dewan Jubli Perak, Shah Alam, Sabtu lalu.

Dalam ucaptama Hasan berharap Pemuda PAS Selangor menjadi benteng yang kuat bagi mengekalkan kemenangan serta melonjakkan sokongan rakyat terhadap PAS dalam pilihan raya ke13.

"Saya harap Pemuda akan mengenepikan segala ruang yang boleh melemahkan parti iaitu antara pimpinan Pemuda dengan pimpinan tertinggi parti," jelasnya.

Beliau yakin Pemuda PAS Selangor mempunyai kekuatan untuk mengatasi apa sahaja masalah dalaman dan luar parti.

Dalam ucapan itu Hasan turut menafikan dakwaan yang mengatakan jentera PAS Selangor berkempen ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Katanya, komitmen jentera PAS Selangor amat membanggakan dan telah melakukan pengorbanan tenaga serta wang disamping meninggalkan anak dan isteri selama dua minggu.

Menyentuh pilihan raya di Parlimen Sibu, beliau menegaskan, PAS Selangor akan menghantar jentera parti untuk berkempen serta memberi sokongan padu kepada calon DAP.

"Saya akan turun ke Sibu pada pagi 7 Mei dan akan menyertai Penamaan Calon pada 8 Mei. Pimpinan Muslimat dan Pemuda PAS Selangor turut berkempen di sana," tegasnya.

Beliau berkata, PAS Selangor tidak berbelah bagi memberi sokongan kepada DAP untuk memenangi kerusi Parlimen Sibu sebagaimana yang dilakukan di pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Muktamar kali ke44 itu dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir exco kerajaan Selangor; Yaakob Sapari (KeADILan); Adun Sekinchan, Ng Suee Lim; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Timbalan Pesuruhjaya Selangor, Dr Osman Sabran; Ketua Muslimat, Wan Hasrina Wan Hassan; Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus, Adun Meru, Dr Rani Osman dan pimpinan Kelab Penyokong PAS Selangor.

Read more...

Peneroka Felda terbela di bawah Pakatan Rakyat


SAIDAH HAIRAN

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat perlu menunjukkan satu model kerajaan membela nasib rakyat khususnya peneroka yang melibatkan pengurusan Rancangan Berkelompok Felda.

Jika perkara itu berjaya dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat, sudah pasti peneroka akan menyedari bahawa selama 52 tahun mereka telah ditipu dan ditindas oleh Felda yang ternyata tidak membela nasib peneroka dan generasi kedua Felda.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, kerajaan negeri perlu campurtangan dalam urusan pelantikan Pengurus Rancangan selaras dengan kuasa yang diperuntukan dalam akta Kumpulan Penempatan Berkelompok atau Group Settlement Act (GSA).

Selama 52 tahun tenaga peneroka Felda diperah untuk memajukan tanah seluas 10 hektar. Namun, akhirnya peneroka tidak mempunyai hak ke atas tanah yang dihasilkan. Begitu juga dengan nasib generasi peneroka Felda yang kini berada di awang-awangan.

Rancangan Tanah Felda yang ditubuhkan hasil hasrat Tun Abdul Razak bertujuan mahu melihat rakyat yang tidak bertanah dapat memperbaiki kehidupan dan sosio ekonomi mereka lebih terjamin.

Bagi mencapai hasrat membangunkan taraf kehidupan rakyat luar bandar GSA dibentang dan digubal untuk memberikan panduan dan keseragaman kepada semua negeri-negeri.

Di bawah akta itu kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mewartakan dua kawasan penempatan iaitu kawasan penempatan luar bandar dan kawasan petempatan bandar.

Pemilikan tanah akan diberikan secara individu tidak melebihi 10 ekar setiap seorang dan dalam sesetengah keadaan pula, pemilikan bersama yang tidak melebihi dua individu bagi satu tanah diberikan.

Penubuhan Felda sudah melepas 50 tahun. Felda merupakan sebuah agensi kerajaan yang kini maju daripada segi saiz, hasil pendapatan dan pentadbiran. Manakala sistem pengurusan ladang Felda dikatakan terbaik di dunia.

Hakikatnya penubuhan Felda yang murni dan mahu membantu kehidupan rakyat itu, akhirnya tergelincir daripada landasan akibat campurtangan politik.

Kehidupan peneroka terus dibelenggu dengan hutang keliling pinggang, tertekan, tertindas dengan segala penipuan yang tidak disedari oleh peneroka selama ini.

Akta GSA terus digunakan untuk menakut-nakutkan peneroka supaya tidak berani melawan kerajaan. Pada awalnya, peneroka Felda dianggap sebagai `anak emas' kerajaan sebab mereka diberikan tanah. Namun, tanah tersebut tidak boleh diwarisi oleh generasi peneroka.

Apakah akan berlaku kepada nasib 112,635 orang peneroka dan 800,000 generasi baru Felda, jika kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak membantu melepaskan mereka daripada terus ditipu dan ditindas oleh pengurusan Felda.

Daripada aspek politik pula, Felda merupakan satu penempatan yang sukar untuk ditembusi oleh parti selain Umno-BN. Mengapa? Sudah tentu masyarakat Felda ditanamkan dengan ideologi sempit dan sesat untuk terus patuh dan taat kepada pimpinan Umno-BN.

Jika peneroka engkar sudah pasti mereka akan dibuang daripada terus tinggal di Felda. Itulah amaran atau ugutan yang sering dikeluarkan oleh pimpinan Umno-BN untuk mendapatkan sokongan padu daripada peneroka Felda.

Sampai bilakah peneroka harus dikongkong dengan pelbagai ugutan sedangkan dalam masa yang sama hak milik tanah mereka masih belum selesai.

Anak peneroka Felda yang diamanahkan sebagai Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mendesak supaya kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat menyemak semula terma yang terkandung dalam akta GSA.

Ini kerana katanya semakan itu perlu dilakukan bagi membolehkan tanah yang diberikan kepada Felda Plantations diambil dan diserahkan kepada generasi kedua Felda.

Beliau menegaskan, jika tanah seluas 384,000 hektar yang diberikan kepada Felda Plantations diambil dan ditempatkan peneroka maka seramai 84,000 anak peneroka dapat penempatan dan pekerjaan.

Menurut beliau, bagi menyampaikan desakan itu, Anak telah menyerahkan memorandum kepada semua kerajaan negeri supaya menyemak semula terma yang terkandung dalam GSA.

Hak pemilikan tanah peneroka perlu dikembalikan kepada anak peneroka, tegas beliau.

Katanya, Anak mahu asas penubuhan Felda sebagaimana yang dihasratkan Tun Abdul Razak dikembalikan bagi menjamin kehidupan selesa untuk generasi peneroka.

Sementara itu, peguam yang menang kes Felda Kemahang 3, Kelantan, Wan Rohmi Wan Daud mendesak seluruh warga peneroka supaya berani mempertahankan hak milik tanah mereka daripada terus ditindas dan ditipu oleh pengurusan Felda.

Katanya, tanpa pengetahuan peneroka, Felda telah menggunakan GSA 1960 untuk terus menindas kehidupan peneroka dan berpandukan akta itu juga peneroka akan dibuang daripada rancangan Felda jika melanggar akta tersebut.

Sebenarnya kata beliau, Felda tiada kuasa untuk melakukan perkara itu terhadap peneroka.

Malangnya tambah beliau peneroka telah ditakut-takutkan dengan akta GSA supaya tidak melawan dan tidak banyak menuntut hak selama 52 tahun ini.

Bercakap di Himpunan Warga Peneroka Kebangsaan kali ke2 di Felda Desa Maju, Sungai Tengi, Hulu Selangor, beliau menegaskan, isu tanah berada di bawah kuasa kerajaan negeri bukan Felda.

Selama ini kata beliau tanpa disedari peneroka telah ditipu oleh Felda dengan isytiharkan buah reject, curi buah reject dan kualiti minyak rendah.

Hasil penyiasatan yang dilakukan tambah beliau didapati dalam purata tujuh tan kelapa sawit, Felda menyatakan setengah tan terdiri daripada buah yang reject.

Bagaimanapun, kata beliau peneroka tidak dibenarkan mengambil buah yang dikatakan reject sebaliknya di waktu malam lori akan datang mengambil buat tersebut dan di bawa ke kilang untuk diproses.

Malangnya kata beliau peneroka tidak pernah menikmati hasil daripada buah yang direject dan disitu setiap peneroka telah mengalami kerugian atas angin sebanyak RM250 sebulan.

Beliau turut mendedahkan setiap kilang Felda turut mewujudkan kolam minyak busuk yang pada waktu malam `lori hantu' diarah datang menyedut minyak tersebut untuk dijual.

Menurut beliau, Felda telah menjual minyak busuk itu kerana ia mempunyai harga tetapi hasilnya langsung tidak diagihkan kepada peneroka.

Beliau amat berharap kerajaan Pakatan Rakyat dapat meneliti kembali kuasa yang dimiliki di bawah akta GSA untuk membangunkan taraf hidup dan memperjuangkan kebajikan peneroka Felda.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan kerajaan negeri akan melihat semula perjanjian peneroka Felda dengan kerajaan Persekutuan dan badan Felda untuk memberikan keadaan yang lebih baik kepada generasi Felda.

Beliau mengakui bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa keatas tanah di Selangor sebab itu perubahan perlu dilakukan supaya masyarakat Felda dapat menikmati hasil yang selama ini diusahakan.

Bagi mengatasi masalah itu beliau memaklumkan kerajaan negeri telah melantik bekas calon Pakatan Rakyat Hulu Selangor, Dato' Zaid Ibrahim mengetuai `task force' untuk melihat perjanjian yang dibuat antara peneroka dengan kerajaan dan perbadanan.

Ini penting katanya, supaya kerajaan negeri mengetahui perkara yang patut diselesaikan kerana sudah 18 tahun perjanjian itu dibuat dan sepatutnya sudah luput 15 tahun.

"Malangnya perjanjian itu masih digunapakai sehingga hari ini dan potongan peneroka sudah banyak dibuat," tegasnya.

Manakala Ahli Parlimen Gombak merangkap Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut dilantik menjadi eksekutif pengurusan supaya boleh merancang penempatan yang sesuai untuk masyarakat Felda.

Perkara itu katanya akan dilakukan secepat mungkin kerana kerajaan Pakatan Rakyat amat mementingkan kebajikan rakyat yang berbeza dengan BN hanya setakat pandai berjanji.

Read more...

Muslimat serikadi perjuangan

>> Monday, May 3, 2010


Muslimat PAS disaran menjadi serikandi yang berani dan lantang jangan hanya menjadi jaguh di gelanggang sendiri tetapi takut untuk berdepan dengan pihak lawan.
Apa lagi sahut la cabaran daripada Naib Presiden PAS. Muslimat jangan takut, muslimat PAS Selangor perlu buktikan keberanian dan kelantangan untuk berlawan dengan bukan sahaja wanita Umno tetapi Umno-BN.
Lembut bukan bererti lemah keras bukan bererti kasar. Saya pasti Muslimat PAS Selangor lebih berketrampilan berwibawa dan mampu mendepani massa.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP