`Ayah mana, bila ayah hendak balik...'

>> Sunday, September 19, 2010



SAIDAH HAIRAN

GOMBAK: Keluarga pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, yang didakwa dibunuh tidak sanggup mendengar rintihan anak bongsu, Mohd Faiz Rizmi, 5, sering merenggek bertanya ayah mana...bila ayah hendak balik...

Demikian menurut adik kepada isteri Noorhisham, Ernie Surianie Radin Pangat yang berlinang air matanya ketika ditemui Muslimat PAS Pusat dan Selangor selepas majlis bacaan yasin dan tahlil di rumahnya di Pandan Mewah, Khamis lalu.

"Faiz amat rapat dengan ayah dia, tidur memang dengan ayahnya. Dia akan tanya mana ayah bila melihat gambar-gambar ayah dia," luah Surianie.

Menurut beliau, isteri mangsa, Suzana serta dua orang anaknya tidak putus asa dan tetap menaruh keyakinan ayah mereka akan pulang selagi tidak mengetahui hasil ujian DNA.

Suriani yang kini menemankan kakaknya, bimbang dengan keadaan anak kedua mangsa, Nur Aneesa Salbiah, 11, yang banyak termenung, diam dan sering berkata, mangsa yang mati sebagaimana dilaporkan akhbar bukan ayahnya.

Penulis mendekati Aneesa dan cuba berbual namun beliau hanya menjawab sepatah tanpa memberikan senyuman.

Ketika Muslimat membaca yasin, Aneesa meminta penulis mengambilkan yasin dan beliau turut membaca bersama-sama Muslimat PAS.

Aneesa yang duduk bersimpuh di tangga merenung wajah ibunya dengan renungan yang begitu sayu, senyumannya tawar tidak ceria kerana menanti kepulangan ayah.

Penulis begitu sayu melihat wajah Aneesa yang duduk di atas tangga dan mungkin inilah yang dikatakan, `Berat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul.'

Suasana berbeza di rumah jutawan kosmetik, Dato' Sosilawati Lawiya kerana majlis bacaan yasin dan tahlil turut disertai wanita KeADILan Selangor.

Bagaimanapun, Nuridah serta exco DMPP, Kartini Ahmad; Salbiah Abd Wahab; Wan Hasrina Wan Hassan; Khadijah Mahmood; Rosiah serta Naib Muslimat PAS Selangor, Mariam Abd Rashid sempat mendengar luahan anak Sosilawati, Erni Erinawati Sofia yang menaruh harapan tinggi ibu mereka masih hidup dan akan pulang ke pangkuan keluarga.

Nuridah berharap jika ujian DNA mengesahkan empat mangsa itu keluarga mereka, anak-anak; isteri serta seluruh keluarga mangsa dapat menerima keadaan itu dengan tenang.

"Kita anggap ini ujian Allah yang mesti dihadapi dan kita berdoa semoga semua mangsa selamat dunia dan akhirat," katanya.

Beliau terkilan dengan pihak polis kerana didakwa tidak mengambil tindakan serius ketika menerima beberapa laporan kes kehilangan sebelum ini.

Katanya, polis mesti berkhidmat secara efisyen jangan cuai dengan laporan yang dibuat dan apa makna menerima laporan tetapi tidak membuat penyiasatan.

Menurut beliau, wanita seluruh negara khususnya Muslimat PAS mendesak pihak polis mesti menyiasat dengan cekap dan bersungguh supaya mereka yang terlibat dengan pembunuhan
kejam itu dihukum setimpal.

Katanya, integriti polis boleh dipertikai kerana banyak bersikap double standard dalam siri penyiasatan khususnya melibatkan kes berprofil tinggi.

"Muslimat PAS kesal dan amat simpati dengan pembunuhan terhadap seorang wanita iaitu Dato' Sosilawati, wanita yang berjaya dalam usahawan," tegasnya.

Beliau harap pihak polis dapat memberikan hasil keputusan yang baik dan memuaskan hati semua rakyat Malaysia khususnya keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha yang turut menyertai majlis bacaan yasin menyeru pihak polis meningkat usaha menyelesaikan kes jenayah dengan segera.

Menurut beliau, kes pembunuhan kejam ini sebenarnya berulang dengan menggunakan kaedah yang sama tetapi disebabkan tiada penyelesaian daripada laporan terdahulu maka jenayah itu seolah-olah dibenarkan.

"Kita hanya mengambil perhatian serius apabila berlaku kepada orang yang terkenal dan berkedudukan," katanya.

Beliau berkata, kenapa sekarang baru semua pihak tersentak mengapa laporan dahulu dibiarkan dan tidak disiasat secara terperinci.

Read more...

Muslimat PAS simpati dengan mangsa pembunuhan kejam

>> Saturday, September 18, 2010






Read more...

Syawal menghubungkan silaturahim peneroka Felda, Muslimat PAS








Foto dan laporan: SAIDAH HAIRAN

KOTA TINGGI: Kesungguhan dan keprihatinan Muslimat PAS Pusat menjejaki ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta golongan yang hidup dilingkari kemiskinan serta kesusahan bukan setakat tertumpu di bulan Ramadan, tetapi aktiviti itu diteruskan di bulan Syawal.

Tanggal 4 Syawal di mana perantau yang tinggal di kota besar, Kuala Lumpur masih bersama ibu dan keluarga masing-masing, di saat itulah delegasi Muslimat PAS Pusat diketuai, Ustazah Nuridah Mohd Salleh seharian berada di Felda Taib Andak dan Felda Bukit Besar, Kota Tinggi.

Bagi beliau senyuman daripada ibu-ibu tunggal; anak-anak yatim dan golongan yang dilingkari kemiskinan lebih penting jika dibandingkan kegembiraan diri dan keluarganya.

Program Mubarak Ramadan dan Syawal yang selama ini dilakukan dengan kerjasama Bilik Berita Harakah, telah menjejaki insan-insan yang memerlukan sumbangan atau bantuan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Bezanya, kali ini program tersebut dilakukan pada bulan Syawal dan disertai Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; bekas calon, Left. Kol (b) Nazari Mokhtar serta AJKnya.

Sebanyak 20 buah rumah telah dikunjungi yang kebanyakannya ibu-ibu tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU). Ketika kunjungan itu, Muslimat menyampaikan sumbangan wang dan kuih raya.

Turut serta Setiausaha DMPP, Kartini Ahmad serta Pengarah Nisa' Pusat, Dr Rosni Adam dan Muslimat PAS kawasan Kulai.

Kunjungan dari rumah ke rumah itu diserikan dengan selawat (marhaban) serta doa yang dibaca secara bergilir antara Mazlan dan Nazari.

Ketika selawat berkumandang semua yang hadir masih merasai suasana hari raya walaupun syawal sudah berada di hari yang keempat.

Disebalik kegembiraan itu, delegasi DMPP serta Anak sedih apabila menemui beberapa orang ibu tunggal dikalangan warga emas yang uzur.

Ada yang menangis apabila mereka mengetahui yang hadir itu dikalangan pimpinan PAS Pusat.

Teratak Bonda iaitu rumah ibu kepada raja SMS, Mawi menjadi rumah pertama yang dikunjungi oleh delegasi DMPP dan Anak.

Pesakit di hospital Kulai turut menjadi tumpuan DMPP untuk diberi sumbangan kuih dan beramah mesra. Kebanyakan pesakit yang ditemui Melayu, India, Cina dan Bangladesh gembira menerima hamper berisi kuih raya.

Walaupun program Mubarak Ramadan dan Syawal di Felda Kota Tinggi itu merupakan kali pertama tetapi ia cukup meriah dan mendapat sambutan yang membanggakan daripada peneroka.

Mazlan yang mengelolakan program tersebut amat berbesar hati kerana DMPP memilih Felda Taib Andak dan Felda Bukit Besar untuk dikunjungi.

Katanya, walaupun program itu dirancang dalam tempoh yang singkat namun kerjasama daripada ahli-ahli Anak untuk mencari penerima sumbangan telah menjayakan program sehari itu.

DMPP dan Bilik Berita Harakah akan meneruskan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dalam bulan Syawal ini.

Sehubungan itu, sumbangan terus diperlukan. Mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan masukkan terus ke akaun Maybank : 564025400533 atas nama Parti Islam SeMalaysia.

Read more...

Persiapan sebelum ke Hosipital Respiratori, KL

>> Thursday, September 9, 2010



Memang sukar untuk membuat kebajikan jika ia dilakukan bersendirian. Sesungguhnya kerja berjemaah itu banyak memberi manfaat kepada kita.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat daripada unit Iklan Harakah, Hafizah, kak Mee dan Faiezah yang sanggup meluangkan masa menampal sticker Bilk Berita Harakah di atas kuih yang diedarkan kepada pesakit di hospital Respiratori, Kuala Lumpur.

Juga tidak terlupa terima kasih kepada Siti Darna yang turut membantu.

Terima kasih kepada wartawan-wartawan Harakah, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, isteri Siti Hawa serta anak Lokman yang turut berada majlis sumbangan tersebut.

Program sumbangan kali ini turut dihadiri Pengurus Iklan, Mokhtar Rozaidi. Bilik Berita Harakah akan terus memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Justeru sumbangan daripada orang ramai amat dialu-alukan. Salurkan terus sumbangan ke akaun Maybank: 564025400533.

Read more...

Bilik Berita Harakah terus menjejaki golongan tidak bernasib baik




Dua hari sebelum menjelang 1 Syawal, Bilik Berita Harakah terus menjejaki golongan tidak bernasib baik untuk diberi sumbangan supaya mereka turut bergembira menyambut kedatangan 1 Syawal.

Wakil Bilik Berita Harakah, Saidah Hairan menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan yang memerlukan.

Sumbangan akan diteruskan sehingga bulan Syawal. Menjejaki golongan fakir, ibu-ibu tunggal, anak yatim serta orang yang memerlukan akan diperhebatkan.

Program ini akan terus dijalankan setiap tahun di bulan Ramadan dan Syawal.

Justeru, Bilik Berita Harakah masih mengharapkan sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada golongan tersebut.

Sumbangan boleh salurkan terus ke akaun Maybank 564025400533 atas nama Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Read more...

Kempen Selamatkan Selangor tiada sambutan - Sallehen

>> Friday, September 3, 2010


SAIDAH HAIRAN

SABAK: Yang Dipertua PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustaz Sallehen Mokhyi tidak gentar dengan kempen `Selamatkan Selangor' untuk merampas Selangor daripada terus ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat.

Ini kerana kata beliau, kempen tersebut yang dilakukan melalui roadshow ceramah di seluruh negeri Selangor sebenarnya tidak mendapat sambutan daripada masyarakat.

"Sama ada yang berceramah itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo; Roslan Kasim memang tidak mendapat sambutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan kuih raya dan bubur lambuk kepada pesakit di hospital daerah Sabak Bernam, Khamis lalu.

Turut serta Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid; Ketua Muslimat PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustazah Rahmah serta Persatuan Ketua Kampung serta AJK PAS kawasan.

Mengulas tentang kempen Umno di Sabak Bernam, Sallehen berkata, percubaan Umno untuk menarik sokongan Melayu dan bukan Melayu di Sabak Bernam gagal kerana penduduk di Sabak sudah tidak berminat untuk mendengar ceramah Umno.

Sehubungan itu katanya, Umno Sabak terpaksa `hipokrit' konon tetap mendapat sokongan daripada masyarakat di Sabak dengan mencacakkan bendera Umno di sepanjang jalan ke Sabak Bernam.

Sedangkan tambah beliau, yang mencacakkan bendera Umno itu bukan AJK Umno cawangan atau Bahagian tetapi mereka terpaksa upah orang lain.

Ini jelas membuktikan bahawa tegas beliau, Umno di Bahagian Sabak Bernam sedang menghadapi masalah kepimpinan di mana Ketua Bahagian sedang dalam proses mahkamah atas dakwaan penyelewengan.

"Saya tidak faham kenapa Umno negeri Selangor menyerahkan jawatan pemangku Ketua Bahagian kepada Dato' Noh Omar,kenapa tidak Timbalan Ketua Bahagian saja yang memangku jawatan tersebut," katanya.

Di Sabak Bernam tegas beliau, Umno dilihat sudah putus asa dengan kawasan orang bukan Melayu sebab itu mereka terus menumpukkan kepada kawasan Melayu.

Read more...

Mais ikut telunjuk Umno - isu surau, masjid


SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Surat peringatan larangan memasuki dewan solat masjid dan surau kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching membuktikan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengikut telunjuk Umno kerana larangan tersebut tidak berpandukan enakmen.

Surat yang ditandatangani Setiausaha Mais merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Mohammed Khusrin Munawi itu telah difaks ke rumah Nie Ching pada 30 Ogos lalu.

Tajuk surat tersebut memberi peringatan untuk tidak memasuki dewan solat masjid dan surau dalam negeri Selangor tanpa kebenaran daripada Majlis Agama Islam, namun peringatan itu tidak dinyatakan di bawah mana-mana enakmen.

Surat itu hanya merujuk titah Sultan Selangor iaitu mana-mana orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dewan solat semua masjid dan surau di Selangor melainkan kebenaran Mais.

Merujuk peringatan itu, Nie Ching keliru kerana selama ini Sultan Selangor menitahkan larangan penggunaan masjid dan surau bagi tujuan politik.

Beliau menjelaskan kehadiran ke surau Al-Huda, Kajang atas jemputan ahli jawatankuasa surau untuk menyampaikan sumbangan membaiki pagar surau tersebut.

"Saya perlu semak dahulu surat ini kerana ia tidak berpandu pada mana-mana enakmen," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta setiausahanya, Kartini Ahmad di pejabatnya, Taman Indah, Cheras, 1 september lalu.

"Ini bukan kali pertama saya masuk surau, dulu saya pernah masuk ke ruang solat di masjid negara tidak ada masalah, tetapi sekarang peraturan sudah berbeza," tegasnya.

Beliau mempersoalkan apakah larangan itu hanya dikenakan kepada ahli Parlimen bukan Islam daripada Pakatan Rakyat manakala ahli Parlimen BN dibenarkan memasuki mana-mana ruang di masjid dan surau.

Menurut beliau, Mais yang didalangi Umno sengaja menggunakan agama untuk kepentingan mereka.

"Jika pihak Mais tidak mengumumkan peringatan itu di bawah mana-mana enakmen itu bermakna surat tersebut hanya ditujukan kepada saya," tegasnya.

Dalam masa yang sama beliau menyelar tindakan pihak Utusan Malaysia yang membuat fitnah sumbangan kepada ahli PAS sedangkan peruntukan itu untuk pagar surau.

"Saya marah kerana pihak Utusan Malaysia tidak ada menghubungi saya. Utusan Malaysia ambil gambar dalam blog saya dan membuat tafsiran sendiri, tanpa meminta penjelasan saya," katanya.

Beliau berkata, Utusan Malaysia sengaja membesarkan isu tersebut dan hanya merujuk kepada blogger untuk membuat laporan yang ternyata telah mengelirukan orang bukan Islam dan Islam.

"Saya rasa begitu marah kalau hendak dapat cerita daripada saya, kenapa tidak
hubungi saya terus," tegas beliau.

Beliau menegaskan dalam program sumbangan untuk membaiki pagar surau Al-

Huda itu tidak ada seorang wartawan atau wakil media yang hadir.

Mengapa tambah beliau, Utusan Malaysia hanya menyiarkan satu gambar
sahaja sedangkan ada gambar makan bersama Muslimat dan gambar-gambar
lain.

Beliau yakin Utusan Malaysia yang didalangi Umno sengaja memperalatkan isu
itu bagi menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam.

Bagaimanapun, beliau tidak gentar dengan peringatan tersebut tetapi akan terus menjalankan aktiviti hadir ke surau dan masjid bagi memenuhi undangan Jawatankuasa masjid dan surau di Parlimennya.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP