Siri jelajah dedah kelemahan Umno Selangor

>> Monday, October 18, 2010


PANDAN: Roadshow gelombang selamatkan Selangor untuk menawan kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat sebenarnya mendedahkan kelemahan Umno yang tidak berupaya untuk mendapat sokongan rakyat di negeri termaju itu.

Senator Ezam Mohd Noor diberi tanggungjawab besar untuk memecahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Selangor dengan kemampuan kerajaan Pakatan Rakyat selama mentabdir dua tahun setengah.

Beliau digandingkan dengan dua pimpinan Umno Selangor, Ketua Pembangkang Dato' Seri Dr Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Bahagian Umno Selangor, Dato' Seri Noh Omar untuk melancarkan roadshow bagi siri kedua Oktober nanti.

Mengulas tentang serangan Umno, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad menegaskan serangan daripada sudut politik itu paling utama kerana selama ini Selangor diserang daripada sudut pentadbiran kerajaan negeri.

Selama dua tahun setengah kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir katanya, Umno mempertikai apa yang kerajaan negeri buat untuk menjaga kebajikan rakyat.

Menurut beliau, serangan yang dilakukan Umno itu sebenarnya lebih baik dan mendatangkan manfaat kepada PAS, DAP dan KeADILan untuk menyusun strategi dan gerak kerja bagi mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Serangan dan fitnah daripada Umno ini memang sudah saya jangka kerana Selangor merupakan negeri yang paling kaya, sebab itu Umno berhempas pulas mahu merampas kembali negeri ini," tegasnya.

Beliau bersedia menerima serangan dan fitnah daripada Umno kerana ia sebenarnya mendedahkan kelemahan Umno itu sendiri.

"Setiap anggota PAS, DAP dan KeADILan ada peranan masing-masing. PAS tetap memfokuskan 20 kerusi untuk dimenangi dalam pilihan raya nanti," katanya.

Beliau yakin serangan Umno berbentuk roadshow itu membuktikan bahawa Umno takut dengan kesedaran masyarakat bukan Islam iaitu Tionghua dan India yang telah menyokong PAS.

Ini berikutan katanya dengan pelancaran Kelab Penyokong PAS di mana Selangor sudah ada 19 Kawasan yang mempunyai Kelab Penyokong PAS.

"InsyAllah Selangor akan melancarkan Kelab Penyokong PAS di peringkat negeri," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Kelab Penyokong PAS Selangor.

Iskandar yang juga Adun Chempaka berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyampaian sumbangan kewangan kepada 18 surau serta masjid di DUN Chempaka dan DUN Teratai, Parlimen Pandan.

Katanya setiap surau di bawah DUN Chempaka mendapat sumbangan sebanyak RM1,000 manakala masjid RM2,500.

Walaupun surau di bawah DUN Teratai bukan Pakatan Rakyat punya tetapi atas dasar keadilan kerajaan Pakatan Rakyat sumbangan turut dihulurkan.

Read more...

Umno kritikal terpaksa anjur gelombang kedua


GOMBAK: Siri jelajah selamatkan Selangor gelombang kedua yang dianjurkan Umno Selangor membuktikan bahawa Umno Selangor berada di tahap kritikal untuk menghadapi pilihan raya umum ke13.

Menurut Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan siri jelajah itu menunjukkan kegagalan gelombang pertama yang dilaksanakan di seluruh Selangor.

Katanya, PAS Selangor khususnya Muslimat tidak gentar dengan gelombang kedua itu yang kononnya Umno akan mendedahkan segala kepincangan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor hasil gabungan PAS, PKR dan DAP.

"Muslimat yakin rakyat Selangor menaruh kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang telah melancarkan program Memasyarakatkan Ekonomi Selangor (MES)," tegasnya.

Bagaimanapun kata beliau, Muslimat Selangor tetap bimbang dengan cara penipuan yang dilakukan Umno-BN terhadap masyarakat luar bandar.

Justeru katanya, Muslimat tidak akan duduk di zon selesa sebaliknya terus berhati-hati bagi menghadapi pelbagai strategi BN terutama serangan mereka terhadap kerjasama PAS dengan PKR dan DAP.

Wan Hasrina berkata demikian setelah melancarkan gerak kerja Helwa Selangor untuk kempen PRK DUN Galas bermula 22 Oktober hingga 4 November nanti di pejabat PAS Kawasan Gombak, Sabtu lalu.

Menurut beliau, Helwa Selangor akan turun setiap hari seramai 30 orang dan hujung minggu bertambah bagi membantu jentera Muslimat Kelantan.

"Helwa Selangor ditugaskan menjaga UPU Bandar Baru yang kebanyakan pengundi berkerjaya iaitu bekerja kerajaan dan swasta. Jadi kita rasa Helwa seolah-olah berhadapan dengan pengundi di Selangor," katanya.

Ini kerana kata beliau suasana UPU Bandar Baru itu seperti di Selangor.

Walaupun Pilihan raya lalu DUN Galas dimenangi PAS namun katanya Helwa Selangor tidak mengambil pendekatan mudah sebaliknya akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang tinggi.

"Isu semasa akan membantu pengundi memberi undi kepada calon PAS," tegasnya.

Menyentuh tentang PRK Batu Sapi beliau berkata, DMPNS masih belum menyusun jadual kerana ia bergantung pada keputusan dan arahan pimpinan tertinggi PAS.

Read more...

Di mana kewajaran Rosmah bergelar Wanita Pertama?


KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu menjawab kewajaran beliau menggelarkan diri sebagai Wanita Pertama kerana gelaran itu bertentangan dengan artikal 12 Perlembagaan Malaysia.

Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan dalam artikal 12 Perlembagaan Malaysia Ketua Pertama negara ialah Yang Dipertuan Agung.

Menurut beliau, jika Yang Dipertuan Agung orang pertama negara sudah tentu isteri Baginda Wanita Pertama negara.

"Kenapa pula Rosmah menggelar dirinya sebagai Wanita Pertama `First lady' sedangkan isteri Perdana Menteri sebelum ini tidak timbul istilah wanita pertama," tegasnya.

Beliau menegaskan jika ada pembaruan atau perubahan daripada sudut Perlembagaan mengapa tidak diumumkan kepada rakyat atau adakah Rosmah tidak tahu tentang hak Perlembagaan negara.

Justeru katanya, persidangan pertama Wanita Pertama Dunia di hotel Palace of The Golden Horses tidak sah sebab bukan Rosmah yang memanggil wanita pertama dari negara lain untuk menjadi tetamunya.

"Sidang itu merupakan satu kerja pembaziran yang langsung tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat," tegasnya.

Jika mahu membincangkan persoalan kanak-kanak kata beliau, Rosmah sepatutnya merujuk terus kepada al-Quran dan hadis yang banyak menunjukkan cara pendidikan terbaik untuk kanak-kanak.

Beliau mempersoalkan, mengapa Rosmah tidak mengajak para ulama supaya memikirkan bagaimana cara yang sepatutnya dilaksanakan untuk menjamin keselamatan kanak-kanak.

"Soal keselamatan kanak-kanak daripada sudut kesejahteraan, Malaysia jauh terkebelakang kerana isu pembuangan bayi sering berlaku setiap masa," katanya.

Nuridah turut mempersoalkan mengapa tidak ada negara dari Asia yang menghantar Wanita Pertama mereka ke sidang pertama Wanita Pertama.

Sepatutnya tambah beliau, jika dilihat daripada sudut kebersamaan masalah untuk menghadapi persoalan itu Wanita Pertama dari negara Asia yang hadir.

Ini jelas membuktikan bahawa ketidakhadiran Wanita Pertama dari negara Asia menunjukkan sidang pertama itu tidak berjaya.

Read more...

Suasana jamuan raya PAS Pusat
























































Jamuan raya PAS Pusat merupakan peluang orang ramai untuk mendekati pemimpin. Jika selama ini mereka hanya melihat di akhbar Harakah dan akhbar lain, pada 4 Oktober lalu siapa saja boleh mendekati pimpinan PAS.




















Read more...

Isu wang judi-bola tanggung kepada PAS

>> Monday, October 11, 2010


SHAH ALAM: Isu wang penghargaan kerajaan Pulau Pinang kepada warga mas yang didakwa daripada sumber judi merupakan bola tanggung kepada PAS kerana ia akan mendedahkan kegiatan yang dilakukan Umno selama ini.

Menurut AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu apabila Umno menimbulkan pemberian wang kepada warga emas di Pulau Pinang daripada sumber judi sebenarnya dakwaan itu menjerat Umno.

Ini kerana kata beliau antara Umno dengan judi memang tidak boleh dipisahkan.
"Saya amat berterima kasih terutama kepada Ketua Penerangan Pemuda Umno, Dato' Seri Reezal Merican kerana mempersoalkan kerajaan Pulau Pinang memberi wang judi kepada warga emas," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan majlis himpunan generasi Felda ke2 Lembah Kelang di dewan MBSA, Shah Alam, malam Ahad lalu.

Menurut beliau, pada 19 Ogos 1951 seramai 50 orang Ulama diketuai Dato' Tuan Guru Fahim (datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi) bermesyuarat di Pokok Sena, Kedah.

Antara keputusan mesyuarat itu katanya, para Ulama memutuskan bahawa loteri yang dilancarkan oleh Umno adalah haram.

Justeru, tambah beliau, ramai Ulama keluar daripada Umno diantaranya menubuhkan parti Islam iaitu PAS kerana menentang judi loteri yang diluluskan oleh Umno.

Katanya, termasuk bapa Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda PAS.

Menurut beliau ramai Ulama yang meninggalkan Umno dan masuk PAS kerana Umno telah meluluskan loteri dan loteri itu dinamakan loteri kebajikan masyarakat.

"Tujuan loteri itu membantu orang miskin termasuk membina masjid, ia telah pertelingkahan ini berlaku teruk dalam dan luar parlimen terutama antara Ulama dengan Umno," katanya.

Justeru tambah beliau Umno jangan bercakap tentang judi kerana Umno dengan judi dari dulu memang tidak boleh dipisahkan.

Read more...

Khusrin akui belakangkan Dato' Hasan

>> Friday, October 8, 2010

SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato' Mohammed Khusrin Munawi mengakui dalam kes penggantungan Jawatankuasa surau Al-Huda, Kajang kerana membenarkan ahli Parlimen Sedang, Teo Nie Ching masuk ke ruang solat utama tidak dimemaklumkan terlebih dahulu kepada exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.

Ketika tindakan penggantungan itu beliau mengutamakan titah Tuanku Sultan Selangor yang menjadi arahan dan berharap tindakan itu tidak menyalahi dari segi hukum syarak tanpa memaklumkan kepada Dato Hasan.

Menurut beliau, isu yang berlaku antara Teo Nie Ching masuk surau mungkin berbeza dengan isu yang berlaku antara ahli Parlimen Ulu Selangor, Kamalnathan.

Beliau berkata demikian ketika diajukan pertanyaan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzwan mengenai tindakan Jais yang dilihat `double standard' terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat dengan wakil rakyat BN yang sama-sama mengadakan majlis di surau dan masjid.

Dewan Pemuda PAS Selangor, Dewan Muslimat PAS Pusat serta Dewan Muslimat PAS Selangor telah mengadakan sesi dialog bersama Khusrin serta Pengarah Jabatan-jabatan Jais, di bilik mesyuarat, tingkat 6, Menara Selatan, Shah Alam, baru-baru ini.

Turut serta dalam sesi dialog Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Wan Hasrina Wan Hassan; Ustazah Mariam Abd Rashid; Zaidi; Kartini Ahmad; Salbiah Wahab serta AJK Pemuda Selangor dan Pusat.

Sebagai Pengarah Jais, Khusrin mengakui timbul pertembungan daripada sudut arahan memandangkan beliau terpaksa memberi laporan kepada Dato' Hasan; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais); Menteri Besar serta kepada Tuanku Sultan Selangor.

"Isu ini bermula apabila Jais mendapat maklumat YB Teo masuk surau. Saya ingat lagi saya mendapat titah daripada Tuanku Sultan supaya menyelesaikan masalah ini dan mengambil tindakan kepada Pengerusi dan AJK Surau," katanya.

Pada ketika itu kata beliau, Tuanku Sultan berpendapat tidak wajar orang bukan Islam yang tidak menutup aurat masuk ke ruang solat dan hasil daripada itu Jais memanggil pihak nazir dan pengerusi surau dan beliau mengakui Teo masuk ke ruang solat.

"Selepas itu saya bersama Jawatankuasa menggantung Jawatankuasa surau yang kebetulan ia masih belum disahkan," jelasnya.

Dalam isu itu beliau mengakui letih untuk menjawab soalan daripada pihak media kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Jais bercanggah dengan pimpinan PAS.

"Saya faham orang PAS akan berpegang dengan apa yang dicakap oleh Mursyidul Am PAS," katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan ahli PAS bahawa di Selangor ada undang-undang sendiri jika ahli PAS lebih yakin dengan pandangan Mursyidul Am PAS ia akan menimbulkan masalah mungkin umat Islam berpecah memandangkan adakalanya pendapat itu berbeza dengan fatwa yang diputuskan.

Beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan beliau berpihak kepada Umno sebaliknya selama ini Jais cuba buat tindakan yang terbaik dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

"Dulu masa BN memerintah saya dicop sebagai orang PAS dan apabila PAS memerintah saya dicop sebagai Umno," katanya.

Dalam isu wakil rakyat PR masuk surau beliau turut menyalahkan pihak media yang suka membesarkan isu di Selangor kerana media merupakan organisasi yang menjalankan perniagaan.

Katanya, kebetulan perkara itu berlaku di Selangor dan ia menjadi tumpuan segala media apa sahaja yang berlaku di Selangor akan dibesarkan.

Read more...

Irfan jadi ustaz-Kamarudin


Kunjungan delegasi Muslimat PAS Pusat diketuai, Ustazah Nuridah Mohd Salleh;
Setiausaha, Kartini Ahmad; AJK Lajnah Kebajikan DMPP, Ustazah Mariam Abd
Rashid diiringi Muslimat PAS Kuantan disambut mesra oleh ibu, kakak dan abang
ipar Kama di rumah ibunya, Taman Indera Mahkota, Kuantan, 7 Oktober lalu.

Kakak Kamarudin, Ramlah Samsudin, 49, berkata, kali akhir Kamarudin pulang
pada 27 Ogos membawa anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, membeli baju dan
membuat persiapan hari raya.
"Kamarudin amat rapat dengan adik beradik. Setiap raya saya buatkan rendang dan
suami saya buatkan lemang. Ini makanan kegemaran Kamarudin," luahnya sambil
mengesat air mata.
Beliau berkata, Kamarudin antara adik yang paling sibuk membuat persiapan hari
raya tetapi kini semuanya tinggal kenangan.
Katanya, Kamarudin ada menyatakan hasrat untuk berhenti kerja namun tidak
sampai hati untuk meneruskan hasrat itu kerana jutawan kosmetik, Dato' Sosilawati
terlalu baik dengannya.

Menurut Ramlah, Kamarudin mengamanahkan kepadanya supaya mendidik Irfan
dengan pendidikan agama kerana anak bongsunya itu merupakan harta yang
ditinggalkan.

Irfan juga kata beliau, sentiasa bertanya dan menanti kepulangan ayahnya.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP