Sibu - bendera PAS akan terus berkibar

>> Sunday, May 16, 2010


Hari-hari akhir kempen pilihan raya Parlimen Sibu memperlihatkan jentera PAS terus aktif menjelaskan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri di Semanjung serta persepsi negatif terhadap Islam.

Semua saluran digunakan sepenuhnya terutama kempen dari rumah ke rumah kerana ia memberi kesan dan mencapai sasaran. Jentera PAS turut mengedarkan risalah Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta gambar calon DAP, Wong Ho Leng.

Kuliah, ceramah dan jamuan bertemu masyarakat setempat turut dilakukan dengan gabungan pimpinan PAS dan DAP.

Pimpinan PAS Pusat yang turut berkempen antaranya, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar; Setiausaha Agung, Dato' Mustapa Ali; Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Dzulkifly Ahmad bersilih ganti hadir ke Parlimen Sibu.

Insiatif Halwa PAS Selangor dengan mengedarkan risalah dalam bas amat menarik kerana ia tidak pernah dilakukan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Kempen dalam bas pada pilihan raya kecil Sibu merupakan medan pertama yang dilakukan oleh jentera Halwa PAS Selangor dan ia mendapat sambutan yang amat baik.

Jentera Halwa Selangor menaiki bas dari tempat penginapan Taman Harmoni menuju ke lokaliti Jalan Abang Bariayan, DUN Nangka.

Inilah masa dan saat paling penting di mana PAS perlu memainkan peranan untuk menjelaskan salah faham masyarakat bukan Islam dan Islam berkenaan isu-isu berkaitan Islam.

Selain berkempen untuk meraih sokongan kepada calon DAP, lebih penting PAS perlu menyampaikan dakwah untuk menarik orang bukan Islam kepada Islam.

PAS juga perlu menanamkan pengetahuan Islam yang lebih sempurna kepada orang Islam di Sibu, yang rata-rata masih kurang memahami ajaran Islam.

Pemimpin muda DAP sudah mula selesa memperkatakan keadilan yang diperjuangkan dalam Islam. Pengakuaan daripada Pengarah Pilihan raya DAP Sibu, Tony Pua mengatakan PAS bukan parti eksterim tetapi ia parti yang berusaha menegakkan keadilan.

Beliau bangga apabila melihat bendera PAS berkibar bukan sahaja di hadapan Markas PAS kampung Hilir tetapi di seluruh bandar Sibu.

Katanya, biar masyarakat Sibu melihat dan biasa dengan bendera PAS sekaligus mereka tidak akan takut untuk mengibarkan bendera PAS di rumah atau kawasan sekitar.

Penulis serta jentera Halwa Selangor yang menaiki kereta membawa bendera PAS dan lambang PAS Selangor, turut menarik perhatian pengguna jalan raya. Kereta PAS Selangor menjadi perhatian terutama golongan muda Melayu dan Cina.

Mereka melihat dan tersenyum serta mengangkat tangan tanda setuju. Ketika kempen dilakukan dari rumah ke rumah serta menaiki bas, ramai dikalangan masyarakat yang ditemui meminta bendera PAS serta gambar Nik Abdul Aziz.

Masyarakat Sibu turut menanti kedatangan Nik Abdul Aziz. Pengundi yang ditemui bertanya; "Bila Nik Aziz hendak datang, saya memang menunggu Nik Aziz nak dengar ceramah dia, saya akan ajak kawan-kawan saya dengar ceramah Nik Aziz." Inilah kehebatan Nik Aziz yang tidak boleh dinafikan.

Sebelum itu, kempen jentera PAS Selangor bersama Pesuruhjaya PASnya, Dato' Dr Hasan Mohd Ali turut mendapat sambutan yang baik. Beliau tidak menyangka dan terkejut kerana masyarakat Sibu mengenalinya.

PAS Selangor turut menyediakan pegawai perubatan yang menyediakan perkhidmatan perubatan percuma selama berkempen. Dr Nahidah Abd Rahim serta Dr Rani Osman merupakan pegawai perubatan yang bekerja tanpa mengira masa.

Mereka bukan sahaja melakukan peperiksaan percuma dari rumah ke rumah tetapi membuka kaunter kesihatan di Markas PAS kampung Hilir.

Pengarah Pilihan raya Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmood yang turut berkempen mendapati masyarakat Islam di Sibu bersikap terbuka kepada PAS.

Dalam tempoh berkempen kata beliau, tidak ada seorang yang mempersoalkan kenapa PAS berkempen untuk DAP tetapi mereka bertanya kenapa PAS tidak wujud di Sibu.

Malah katanya, apabila jentera Muslimat PAS berkempen di kampung jeriah penduduk di situ tahu dan mengikuti aktiviti PAS yang dijalankan di Semanjung.

"Mereka memang nampak tidak berpendidikan tinggi tetapi mereka tahu siapa itu PAS," katanya. Mariah bersama jentera Muslimat dari Miri dan Kelantan berkempen di kampung Jeriah dari rumah ke rumah selain mengadakan sukaneka.

"Kita nampak peluang yang baik untuk kita berdakwah, memang bagus daripada segi muhibah orang Melayu di sini, mereka mesra dan memberi sokongan kepada kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau sedikit kesal kerana tidak sempat untuk menjelaskan perjuangan PAS memandangkan tempoh berada di Sibu amat singkat.

Naib Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid yakin jika BN tidak main politik jahat sudah pasti Pakatan Rakyat melalui calon DAP akan meraih kemenangan di Sibu.

Ini berikutan sokongan daripada masyarakat yang ditemui ketika kempen dari rumah ke rumah memperlihatkan 60 peratus menyokong Pakatan Rakyat.

Sebenarya kata beliau masyarakat di Sibu terutama orang Melayu memang menanti kehadiran PAS sehingga mereka mengumpamakan PAS sebagai payung untuk membela masyarakat di Sibu.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP