PAS pejuang isu tanah -Presiden

>> Wednesday, October 27, 2010


SANDAKAN: PAS memperkenalkan konsep Islam dalam menyelesaikan masalah tanah kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan konsep itu mesti diikuti oleh DAP dan KeADILan terhadap kerajaan yang mereka perintah.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah, di dewan Hakka, B 6, Sandakan, Sabah, 24 Oktober lalu.

Dalam ucapan itu beliau berkata, kerajaan yang memerintah memegang amanah tanah dan hasil negeri tetapi mereka bukan tuan punya tanah atau tuan punya harta negeri.

Katanya, kerajaan hanya pemegang amanah untuk dibahagikan secara adil kepada rakyat atau menunaikan hak kepada rakyat.

Beliau menegaskan, mengikut Islam barang siapa yang meneroka tanah dan belum menjadi hak miliknya untuk meneruskan kehidupan sama ada rumah atau pertanian maka kerajaan perlu memberikan tanah itu kepada peneroka.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan boleh mengambil tanah rakyat jika ada urusan penting seperti pembinaan jalan raya, tetapi tanah yang diambil itu mesti diganti dengan wang atau tanah yang cukup.

Sekiranya dirampas begitu saja katanya dan menjadi masalah kepada kehidupan mereka yang meneroka tanah itu ia merupakan perbuatan zalim terhadap rakyat.

Beliau memaklumkan, Rasululah bersabda: "Barang siapa yang menzalimi sejengkal tanah akan dibelenggu di lehernya sejengkal tujuh lapis bumi pada hari kiamat."

Menurut beliau, PAS berpengalaman memerintah Kelantan, Kedah, Terengganu, Perak walaupun setahun.

"Di Terengganu dalam satu penggal PAS memerintah, kita bertemu dengan rakyat yang meneroka tanah sejak 80 tahun iaitu daripada tahun 1920. Dalam tahun 1999 mereka dapat semula tanah," jelasnya.

Menurut beliau, ada dikalangan mereka yang meneroka Felda selama 20 tahun menjadi pekerja atau hamba tanah tetapi mereka tidak mendapat hak milik.

Apa yang berlaku selama kerajaan BN memerintah Terengganu katanya, mereka menipu rakyat pada setiap kali pilihan raya umum dengan memberi borang untuk disign serta ditaburkan janji untuk mendapat hak milik tanah.

Bagaimanapun kata beliau, selepas pilihan raya hak milik itu tidak diberikan kepada rakyat.

Ketika PAS memerintah Terengganu katanya, walaupun dalam masa empat tahun PAS dapat memberikan hak milik tanah kepada hampir 60,000 rakyat Terengganu yang meneroka tanah.

"Di Kelantan, Kedah, Perak pun sama, saya percaya pengalaman PAS ini akan diterima oleh DAP dan KeADIlan," tegasnya.

Berhubung isu tanah di Sabah katanya, kerajaan yang memerintah tidak boleh menindas atau memunggah harta negeri sewenang-wenangnya selagi hak rakyat Sabah tidak diselesaikan.

"Mana-mana negeri yang kita perintah hasil negeri mesti dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negeri tersebut," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kerajaan yang memerintah negeri tidak boleh memindahkan zakat negeri tersebut ke negeri lain selagi masalah kemiskinan rakyat di negeri tersebut masih tidak diselesaikan.

Sehubungan itu, PAS akan mendesak supaya kekayaan di Sabah dan Sarawak dapat menyelesaikan kemiskinan dan pembangunan di negeri itu sendiri.

Dalam pada itu, beliau menganggap himpunan rakyat anjuran Lajnah Tanah Pembangunan Wilayah PAS Pusat, di pengerusikan Mazlan Aliman berjaya kerana setiap orang yang hadir bersemangat tinggi untuk membebaskan diri daripada terus dicengkam kerajaan BN.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP