Lantang Dr Lo'Lo' untuk angkat Muslimat
>> Monday, November 1, 2010
Ahli Parlimen Titiwangsa, DR LO'LO' DATUK MOHAMAD GHAZALI merupakan AJK PAS Pusat yang dipilih perwakilan. Tentu ada suatu yang istemewa dalam dirinya. Wakil Harakah SAIDAH HAIRAN menemui beliau di rumahnya, Taman Datuk Keramat.
HARAKAH: Dr merupakan muslimat pertama yang dilantik menjadi AJK PAS Pusat. Selepas itu, Dr sering menjadi pilihan perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS untuk duduk sebaris dengan pimpinan muslimin. Apakah Dr merasakan ini suatu kelebihan?
Saya meletakkan diri sebagai pemimpin keseluruhan bukan di kalangan muslimat sahaja. Tahun 1999 saya dilantik AJK PAS Pusat oleh Presiden PAS ketika itu, Dato' Seri Fadzil Noor setelah disokong Ketua DMPP ketika itu, Ustazah Jamilah Ibrahim.
Saya agak terkejut dan gerun maklumlah bersama dengan ulama. Saya profesional, baru dalam politik. Saya menghargai pelantikan itu dan melakukan yang terbaik.
Penggal pertama saya banyak memerhati, mendengar, mencari maklumat, membaca, dan bertanya. Saya rasa selepas itu saya perlu memberikan pandangan. Malah saya pernah menegur, walaupun ketika itu budaya muslimat tidak banyak bercakap.
Ketika itu seolah-olah pandangan muslimat tidak diambil serius. Muslimin apabila mendengar pandangan muslimat seolah-olah mendengar pandangan isterinya.
Suatu hari saya mengatakan; "Kami ini pimpinan muslimat tolong ambil serius pandangan kami kerana kami mewakili seluruh muslimat PAS." Semua pimpinan senyap ketika itu.
Saya tidak merancang untuk cakap begitu, kerana saya kerdil, baru dan tidak berapa cerdik dalam politik serta tiada pengalaman. Setiap kali mesyuarat PAS, saya berdoa kepada Allah supaya membantu saya untuk bercakap dan mengeluarkan pandangan yang elok dapat memberi manfaat kepada semua orang.
Selepas itu, ada sedikit perubahan dan nampak lebih serius pimpinan Muslimin mendengar muslimat bercakap. Selepas PAS menang di Terengganu ada yang mencadangkan supaya Muslimat bertanding AJK PAS Pusat. Saya cuba dan akhirnya dipilih.
Alhamdulillah, mungkin perubahan itu bukan kerana kelebihan saya. Saya ingat ketika itu PAS secara umumnya mula berubah dan bermula golongan profesional masuk PAS.
Saya antara pimpinan Muslimat yang berceramah. Ini merupakan satu perubahan yang agak ketara. Sebelum itu muslimat tidak berceramah umum kecuali program sesama mereka.
Alhamdulillah saya pernah berceramah dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pimpinan lain. Mereka memberi sokongan dan tidak memperlekehkan saya.
Ada kawasan berkata, inilah kali pertama dalam sejarah kawasannya menerima muslimat untuk berceramah.
Apabila pimpinan muslimat berceramah orang perempuan sanggup datang ke depan pentas. Mereka hendak tengok pimpinan mereka berceramah.
Ini memberi motivasi dan mungkin daripada situ saya dikenali. Mungkin dengan nama saya yang agak unik. Alhamdulillah daripada situ bermula perubahan secara menyeluruh dalam PAS tetapi bukan kerana diri saya.
Saya kebetulan salah satu unsur yang masuk pada masa perubahan hendak berlaku dalam PAS.
Ramai orang kata Dr berani mengkritik pimpinan PAS. Ini tidak berlaku kepada pimpinan PAS lain?
Mungkin kerana arwah bapa saya seorang Mufti dan imam besar masjid negara yang pertama. Saya banyak terdedah dengan ramai orang dan dapat pengalaman baru. Saya kenal dengan orang yang akhirnya menjadi pemimpin.
Saya sering ikut bapa jika ada peluang dan cuti. Rumah saya sentiasa ada kelas pengajian untuk kaum ibu. Perkara itu melatih saya menjadi berani. Semasa di Kolej Islam saya bukan pembahas terbaik hanya simpanan sebab darah gemuruh. Alhamdulillah, sekarang hilang dan boleh diatasi.
Ketika Muktamar di stadium Terengganu, saya mempersoalkan mengapa AJK Muslimat Pusat tidak duduk sebaris dengan AJK lain.
Kenapa ada double standard terhadap pimpinan Muslimat. Ketika itu, Barisan Alternatif, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail duduk sepentas dengan pimpinan PAS.
Saya tidak puashati dulu mesyuarat PAS cawangan, muslimat duduk di dapur atau belakang tabir. Muslimat hanya bancuh air dan sediakan makanan.
Saya bagi pandangan, jika muslimat mahu menjadi pemimpin bukan sahaja dalam jemaah bahkan dalam kerajaan muslimat kena kehadapan.
Memang betul, selepas itu ada negeri yang PAS tawan. Jika ketika itu muslimat masih dudul di belakang tabir, bagaimana kita hendak meletakkan muslimat sebagai exco.
Jika kita hendak masuk ke dalam masyarakat kita tidak boleh berada dalam ketakutan. Terlalu jauh antara muslimat PAS dengan wanita di luar. Ketika mesyuarat Agung di Terengganu bermula pelantikan muslimat menjadi AJK Kawasan dan selepas itu berturut-turut menjadi perwakilan di setiap kawasan.
Alhamdulillah selepas itu banyak perubahan. Saya fikir sudah tiba masanya muslimat diletakkan di tempat begitu. Sekarang ini muslimat perlu bersiap sedia untuk menjadi exco, Menteri dan Timbalan Menteri.
Dr setuju muslimat dipilih sebagai Naib Presiden?
Muktamar lepas saya mencadangkan daripada peringkat kawasan supaya ditambah kerusi untuk Naib Presiden muslimat. Mungkin muslimat ketika itu tidak menghayati tujuan jadi ditolak.
Apabila kita bertanding di kerusi yang sedia ada, kita telah mengancam kedudukan muslimin. Kita tahu orang lelaki tidak suka. Kita rasa muslimin ramai yang berkelayakan untuk tiga jawatan teratas.
Dulu ketika dicadangkan Dr Siti Mariah Mahmood sebagai calon Naib Presiden, saya tidak setuju. Ini kerana muslimin dan muslimat ketika itu masih belum bersedia menerima kepimpinan muslimat.
Penglibatan muslimat perlu ditambah untuk membuat keputusan. Jika tidak bagaimana hendak melatih muslimat supaya berani untuk berhadapan dengan muslimin di luar. Ini tujuan saya hendak mengangkat muslimat.
Dr berpuashati dengan sumbangan dan penampilan Dewan Muslimat?
Saya tidak berpuashati. Banyak lagi muslimat perlu buat. Sekarang ini muslimat tidak dilihat sebagai satu badan yang dikenali oleh seluruh masyarakat, khususnya di kalangan wanita dengan menjuarai isu-isu wanita atau isu negara.
Di peringkat Kawasan misalnya, adakah Ketua Muslimat PAS dikenali atau tidak. Berbanding dengan Ketua Wanita Umno Bahagian. Kita tidak duduk dalam masyarakat. Penyakit orang PAS selama ini hanya bergerak dalam parti sendiri.
Jika ada persatuan penduduk, orang Umno yang pegang. Saya jadi ahli Parlimen tapi persatuan penduduk orang Umno yang pegang. Jika orang PAS pegang, ada yang letak jawatan kerana menyampah berhadapan dengan orang Umno. Kita tidak ada keberanian, jika kita jadi kerajaan macam mana kita hendak selesaikan masalah bangsa lain.
Saya rasa kena ubah sistem bukan sahaja dikalangan muslimat tetapi di muslimin. Muslimat kena berada dalam masyarakat. Kita kena buat secara terancang dan masuk dalam persatuan penduduk.
Sekarang kita bandingkan jawatan Ketua Umno cawangan dengan Ketua cawangan PAS jauh beza. Ketua Cawangan PAS boleh dikatakan langsung tidak dikenali.
Pengalaman Dr berhadapan dengan orang Umno?
Saya ingat ketika berkempen di Titiwangsa di pangsapuri Bukit Baru iaitu kubu Umno. Dulu kita tidak pernah masuk dan tidak boleh masuk.
Saya berkempen dan membawa ramai doktor. Apabila sampai di situ, seorang lelaki menaham kami untuk berkempen. Saya tanya kenapa tidak boleh berkempen, dia jawab, ini tempat orang Umno.
Saya jawab semula, saya tidak kira ini waktu kempen pilihan raya. Dia kata nak kempen kena ada permit. Saya kata, kempen mana ada permit. Dia perkenalkan diri sebagai Ketua Cawangan Umno, saya jawab...saya AJK PAS Pusat Majlis Tertinggi PAS dan calon Titiwangsa. Saya kata, "saya tidak heran Ketua Cawangan Umno."
Saya telefon polis dan dia lari dan pasang bendera Umno, penuh satu flat. Kita buat juga program dan Alhamdullah PAS dapat menembusi pangsapuri itu.
Saya rasa orang Umno bukan berani sangat. Kadang-kadang Muslimat kena lebih berani daripada muslimin. Sebab Muslimat tidak ada kepentingan sangat, tidak popular pun tidak apa.
Tidak pegang jawatan pun tidak apa asal pegang kebenaran. Itu prinisp saya. Tahun depan kalau saya tidak dipilih sebagai AJK PAS pun tidak apa.
Sebab saya duduk di AJK PAS Pusat kerana kelayakan, kalau saya sudah tidak layak tidak apa, sebab ini amanah. Ada orang yang lebih layak pilihlah mereka.
Adakah Dr sudah berpuashati dengan khidmat kepada masyarakat selama ini?
Mana ada orang yang berpuashati. Banyak perkara yang kita kena buat. Di Wilayah Persekutuan, PAS merupakan pembangkang. Tidak ada peruntukan dan mengharapkan Kawasan. Macam titiwangsa kita masuk DBKL walaupun kita pembangkang dan bersama-sama dengan institusi kerajaan.
Rakyat tahu saya ini wakil rakyat dan hendak mereka perlu khidmat saya. Jadi saya kena bertindak cepat dan kadang-kadang seolah-olah macam membelakngkan kawasan.
Saya amat menghargai PAS Kawasan Titiwangsa kerana bekerja kuat. Di awal kemenangan kita belum betul-betul bersedia. Sebab itu di awal pemerintahan ada sedikit pergeseran tapi akhirnya Alhamdulilah keadaan dapat diperbetulkan.
Jika Pakatan Rakyat mentadbir negara, posisi mana yang Dr inginkan dalam kerajaan?
Sebenarnya saya tidak pernah memikirkan posisi mana. Saya tidak mahu menghadkan hanya menjaga hal ehwal wanita, saya lebih suka posisi yang lebih umum.
Saya tidak tahu panjang umur atau tidak. Saya tidak mengharapkan itu. Saya harap jika panjang umur, Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, saya duduk di tepi pun tidak apa. InsyAllah jika ada muslimat yang berkemampuan untuk menerajui silakan.
Bagaimanapun, jika ada muslimat hendak kehadapan muslimat itu mesti bersedia daripada sekarang. Kita tidak mahu muslimat tidak tahu hendak berkomunikasi dengan Pegawai Tinggi kerajaan dan Ketua Jabatan. Sehingga muslimat tidak ada kemampuan mengatur rancangan dan membuat posisi.
Dulu mungkin kita tidak bersedia menang. Sekarang kita sudah bersedia. Kita tidak mahu muslimat kaku, sumbang dan tidak mampu mengendalikan mesyuarat dengan pegawai kerajaan.
Sekarang kita tidak ada masalah sebab berhubung dengan jemaah sendiri. Tetapi bagaimana dengan masyarakat Cina, India dan sebagainya.
Kita ada Kelab Penyokong PAS tetapi berapa ramai muslimat PAS yang betul-betul berkawan dengan mereka. Melawat ketika mereka sakit, rasa payah muslimat hendak buat.
Muslimat mesti ada usaha kearah itu. Jika kita hendak menjadi kerajaan, kita kena selesaikan masalah semua masyarakat seperti orang Cina dan India.
Apa prinsip Dr?
Saya apabila pegang suatu jawatan atau amanah saya melakukan secara bersungguh-sungguh. Ini kerana kita kena menjawab di hadapan Allah.
Sebagai pemimpin kita kena menjadi agen perubahan. Kita kena ada satu cita-cita. Sekarang berlaku masalah pembuangan bayi, gejala sosial. Bagaimana kita hendak menjana tenaga muslimat untuk memperbetulkan masalah ini. Kita nak harap siapa, wanita Umno tidak akan buat.
Saya tidak pegang jawatan dengan menyambung jawatan daripada generasi lalu. Kalau boleh ada anjakan paradigma baru ada perubahan. Kita ada ilmu, kita mesti melakukan perubahan.
Tidak ada sebab muslimat malu kehadapan kerana sudah menutup aurat. Jika di pejabat boleh menjadi Ketua Jabatan tetapi dalam PAS mengapa mahu disekat.
Jika muslimat malu ke depan macam mana hendak terjun dalam masyarakat. Siapa hendak berhadapan dengan Sister's in Islam. Ketika itu saya dengan Dr Siti Mariah Mahmod sering dikutik kerana tidak berwibawa untuk berhadapan dengan mereka.
Kita tidak ada pilihan sebab tidak ada siapa yang hendak berhadapan dengan mereka. Muslimat yang ada kelulusan agama tetapi tidak ada kemampuan untuk berhadapan dengan mereka.
Sebab itu muslimat yang belajar di Timur Tengah mesti dilatih untuk menjadi pemimpin masyarakat. Jangan marah dengan Sister's In Islam kerana mereka berani bercakap, menulis, buat forum dan bersuara. Tapi muslimat PAS tidak ada kemampuan begitu.
Cukuplah dengan retorik. Kita mesti menyedari peranan kita cukup banyak. Alhamdulillah program kita ramai sambutan. Macam Ijtimak Pemuda PAS memang ramai 5,000 orang.
Adakah pemuda di luar menganggap Ketua Pemuda PAS itu ketua mereka. Begitu juga apakah wanita di luar itu menganggap Ketua Muslimat PAS ketua mereka.
Ramai orang kata Dr berani mengkritik pimpinan tertinggi PAS. Ini tidak berlaku kepada pimpinan PAS lain?
Mungkin kerana arwah bapa saya seorang Mufti dan imam besar masjid negara yang pertama. Saya banyak terdedah dengan ramai orang dan dapat pengalaman baru. Saya kenal dengan orang yang akhirnya menjadi pemimpin antaranya ustaz Taib Azzammuddin.
Saya sering ikut bapa jika ada peluang dan cuti. Rumah saya sentiasa ada kelas pengajian untuk kaum ibu. Perkara itu melatih saya menjadi berani. Semasa di Kolej Islam saya bukan pembahas terbaik hanya simpanan sebab darah gemuruh. Alhamdulillah, sekarang hilang dan boleh diatasi.
0 comments:
Post a Comment