>> Thursday, January 13, 2011


Malaysiakini didesak minta maaf - Hasan Ali

Oleh: SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Malaysiakini mesti menyiarkan permohonan maaf kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali kerana menyiarkan berita bercanggah dengan kenyataan dalam sidang media tempohari.

Hasan ketika ditemui di pejabatnya berkata, jika Malaysiakini tidak memohon maaf dalam tempoh terdekat dan disiarkan dalam laman webnya, maka PAS Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas.

Beliau menegaskan, PAS Selangor mempunyai dan menyimpan rakaman berkenaan isu pelantikan Mohammad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagaimana yang dijelaskan dalam sidang media, rabu lalu.

Dalam sidang media tersebut kata beliau, tidak disebutkan langsung masalah berpiket sebagaimana yang dilaporkan dalam Malaysiakini.

Berita yang dilaporkan Malaysiakini tegas beliau jika dibandingkan dengan media lain yang hadir dalam sidang media, petang Rabu lalu memang terkeluar daripada kenyataan sebenar.

"Tajuk berita Malaysiakini `PAS Selangor makin mesra dengan Khusrin' sangat berniat jahat. Mungkin Malaysiakini mempunyai niat yang kurang baik, selama ini pun Malaysiakini tidak berpihak kepada saya terutama dalam isu arak, judi dan Selcat," tegasnya.

Beliau memaklumkan, media yang hadir melaporkan kenyataan yang disebutkan dalam sidang media, hanya Malaysiakini sahaja terkeluar daripada kenyataan sebenar.

"Saya tidak tahu apa tujuan sebenar Malaysiakini kerana selama ini kenyataan saya sering dimanipulasi," tegas beliau.

Dalam sidang media di pejabat Adun Gombak Setia, Hasan berkata, PAS Selangor akan menggunakan seluruh kebijaksanaan, keterbukaan dan pengalaman parti bagi menjernihkan keadaan.

Ini kerana katanya, PAS Selangor bimbang jika isu itu tidak ditangani dengan baik keadaan akan menjadi bertambah keruh.

"Pengalaman PAS mentadbir sebuah negeri lebih 20 tahun boleh menjadi ikhtibar dan panduan kepada penyelesaian yang Selangor hadapi sekarang," katanya.

Dalam pada itu, PAS Selangor bersedia pada bila-bila masa menawarkan khidmat daripada sudut pemikiran, tindakan dan pengalaman yang diperlukan oleh mana-mana pihak demi mengharmonikan keadaan serta membolehkan Selangor berfungsi dengan baik.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP