>> Tuesday, June 28, 2011


Seniman Paksi Rakyat (PAKSI)
Peristiwa SN A Samad Said dipanggil pihak polis
--------------------------------------------------------------

Bismillaahir rahmaanir rahiim
Dengan nama Allah yang maha pemurah, maha penyayang, maha berkuasa.

Seniman Paksi Rakyat di samping menyatakan kesyukuran dan berbangga kerana puisi sebagai suatu karya seni yang indah tiba-tiba mendapat perhatian umum khasnya apabila pihak polis pada 27 Jun lalu mengambil tindakan memanggil seorang Sasterawan Negara ke balai polis untuk disiasat kehadirannya membaca puisi di suatu majlis pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun itu, kami juga berasa kesal dan sedih kerana berpendapat tindakan pihak polis itu agak kurang wajar.

Cuba kita baca dan lihat sekali lagi puisi yang dianggap sebagai boleh menghasut rakyat ke arah yang mengganggu keselamatan negara itu:

Semakin lara kita didera bara –
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita – demokrasi luka;
lama duka kita – demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak perlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Ia sebuah puisi, karya seorang seniman besar yang sangat dihargai dan dihormati di negara ini, malah juga di peringkat antarabangsa. Dia diangkat sendiri oleh Yang Dipertuan Agong kita untuk anugerah Sasterawan Negara itu. Sebagai sasterawan, seniman, budayawan dan intelektual yang bertanggungjawab, dia sentiasa bersama rakyat bagi merakamkan gerak nadi dan jerit batin rakyat dan menyatakan sikap dan pandangan warasnya apabila difikirkannya perlu, dengan niat untuk menyumbang ke arah kesejahteraan, di samping untuk sama-sama menegakkan yang hak dan adil dalam masyarakat.

Betapa murninya niat dan geraktindak seorang seniman yang luas pengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agamanya. Kita tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia baik yang sebaik A Samad Said ini, penyair yang menekuni kehidupan mulia Rasulullah (saw) dan menghasilkan sebuah puisi panjang-tebal mengenai insan agung itu – Al-Amin.

Maka PAKSI berharap kepada pihak yang berkuasa agar tidaklah menggunakan kuasa yang ada secara sewenang-wenangnya dalam apa pun keadaan, supaya masyarakat kita tidak ditambahkan lagi kekeliruan yang sedia ada, agar yang benar masih tetap benar dan yang salah masih tetap salah, tidak dicampurgaul hingga tidak lagi dapat dibezakan, atau bahkan diubah sesuka hati demi mempertahankan kuasa suatu pihak tertentu.

Sasterawan dan seniman besar yang amanah dan bertanggungjawab setaraf Datuk A Samad Said itu, yang jelas menjadi ikon rakyat kerana kejujuran kata-katanya, biarlah dia terus menikmati kebebasannya berkarya, agar dapat dia menyumbangkan sesuatu yang sangat berharga, yang menjadi idaman semua bangsa di dunia ini. Apakah kita tidak mempunyai idaman yang murni itu?

Apabila insan luhur seperti A Samad Said bersuara dan memberi teguran ikhlasnya, marilah sama-sama kita mendengarnya. Usahlah kita menjadi takut kepada bayang-bayang sendiri.

Dinsman dan rakan-rakan
SENIMAN PAKSI RAKYAT
Kuala Lumpur, 28 Jun 2011

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP