Rumah terbuka Dr Mariah meriah

>> Thursday, September 23, 2010


Keserasian dan kesepaduan gabungan kerajaan Pakatan Rakyat terbukti apabila rumah terbuka eidulfitri Parlimen Kota Raja diadakan bersama dengan DUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Sri Muda, Suhaimi Muda di dewan Bukit Naga, Kota Raja, Klang.

Keceriaan suasana hari raya masih dirasai oleh para tetamu ditambah dengan kunjungan yang melebihi jangkaan iaitu seramai 5,000 orang dikalangan bangsa Melayu, India dan Cina.

Rumah terbuka tersebut menjadi lebih ceria apabila Dr Siti Mariah mengenakan baju kurung bercorak kuning berbunga hijau, Suhaimi lengkap baju Melayu dan bersongkok manakala penampilan Xavier dengan baju Melayu kuning serta kain sampin.

Inilah kehebatan keserasaian yang ditunjukkan oleh tiga pimpinan Pakatan Rakyat, walaupun berlainan bangsa dan politik namun mereka boleh duduk semeja menghormati budaya serta adat masing-masing.

Majlis bertambah meriah dengan keriuhan jeritan kanak-kanak serta tetamu ketika menunjukkan nombor yang tertera di belakang pinggan makan supaya disebut oleh ketiga-tiga wakil rakyat dalam cabutan nombor bertuah.

Menurut Dr Mariah, rumah terbuka kali ini berbeza kerana ada cabutan nombor bertuah serta penggunaan seorang tetamu hanya satu pinggan dan cawan sahaja yang dikeluarkan oleh `Go Green' iaitu pinggan mesra alam sekitar yang dibuat daripada bahan yang boleh lupus.

Beliau mengingatkan semua tetamu supaya menggunakan pinggan dan cawan yang dibuat daripada bahan yang mudah lupus jika mahu menganjurkan apa sahaja majlis.

Lebih 300 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun iaitu Melayu, Cina dan India menerima wang hari raya daripada Dr Mariah.

Makanan yang dihidangkan antaranya, kari kambing; lemang; roti arab; buah duku langsat; nasi minyak; mee hon; kuih; nasi impit; rendang.

Persembahan kombo daripada Majlis Daerah Klang yang mengalunkan lagu hari raya turut memeriahkan suasana rumah terbuka ditambah dengan kepetahan pelawak, Khairul Azhar menjadi juruacara.

Dalam masa yang sama Mariah yang ditemui sebelum majlis turut mempersoalkan tindakan polis yang kurang mengambil tindakan segera terhadap beberapa aduan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat berhubung salahlaku wakil rakyat dan pimpinan Umno-BN.

Ini berikutan kata beliau, polis telah datang ke pejabatnya di Jalan Temenggung menyiasat serta mengambil komputer dan dibawa ke Bukit Aman ekoran aduan Umno Bahagian Kota Raja tentang artikal yang ditulisnya didakwa berbaur hasutan.

"Selepas dibawa ke Bukit Aman, polis akan bawa ke Putrajaya pula dan saya tidak tahu sampai bila siasatan itu akan selesai," katanya.

Beliau bersedia didakwa di mahkamah kerana tindakan polis itu akan menyebabkan namanya naik serta memalukan pihak polis.

Ini kerana katanya rakyat akan berusaha mencari dan membaca artikal berkenaan yang konon didakwa sebagai menghasut.

Menurut beliau, pihak polis akan bertindak segera jika ada aduan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat tetapi jika aduan terhadap Umno-BN polis seolah-olah tidak mengendahkannya.

"Saya telah membuat aduan mengenai artikal Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo yang tertera di laman blognya mendakwa exco kerajaan Selangor, Teresa Kok menghalang azan dilaungkan di kawasan perumahan," katanya.

Bagaimanapun kata beliau aduan itu sehingga sekarang tiada mendapat sebarang maklumat.

Read more...

Ramadan...

>> Tuesday, September 21, 2010

Naluri kita manusia selalu leka,
hanya sujud dan sembah padaNya cuma
kini Engkau datangi berserah diri
bersama keinsafan masa nan silam

Ampunan Mu... ku harapkan
tiada daya aku menghindarkan
kesalahan dan dosaku...
hanya Engkau yang tahu

di Ramadan ini kabulkan doaku...
suluhkan lah cahaya Mu
di malam yang penuh syahdu


Ramadan telah berlalu. Begitu pantas masa meninggalkan ramadan. Syawal sedang meniti untuk menuruti jejak ramadan.
Ramadan banyak masjid dipenuhi manusia. Petang, malam dan subuh tanpa mengira lelaki dan perempuan berasak-asak ke masjid untuk merebut pahala ramadan sekaligus menemui lailatulqadar.
Kini ramadan telah berlalu, masjid menjadi sepi. Aku menjadi sayu. Sayu kerana tidak melihat lagi masjid dipenuhi manusia. Sayu kerana tidak dapat berkumpul di masjid untuk berqiamulail.

Sayu...terasa begitu sayu kerana trawikh 11 bulan lagi baru dapat ditemui. Dalam masa 11 bulan lagi baru ku temui rakan-rakan, sahabat handai di rumah-rumah Allah.
Jika hari biasa aku temui mereka di mini market, pasar malam. Macam biasa tiada apa-apa. Tetapi berbeza jika kita bertemu sahabat handai dan kenalan di rumah Allah.

Di rumah Allah kita sujud pada yang Satu. Kita berserah diri pada yang Satu. Kita mohon keampunan hanya pada yang Satu.

Semua manusia kecil, besar, berpangkat, kaya, miskin, hitam, putih, Yang Berhormat, Dr atau pemandu hanya sujud dan sembah padaNya yang Satu. Semua manusia yang datang ke masjid berserah diri memohon keampunan kesalahan yang silam.

Ternyata manusia tiada daya untuk menghindarkan kesalahan dan dosa yang lalu. Hanya kepada Allah saja tempat kita memohon keampunan. Ramadan bulan penuh hikmah dan nikmat.

Hanya manusia yang lalai dan takabur sahaja tidak merebut peluang kenikmatan dan untuk lebih dekat dengan Allah.
Ramadan...terasa sangat aku merindui mu...

Read more...

Susah nak puaskan hati semua orang

Susah rupanya menjadi wartawan politik. Saya baru 16 tahun menjadi wartawan. Bermacam-macam karenah pimpinan yang terpaksa saya tempuh.

Ada yang marah, ada yang tengking, ada yang sindir tajam. Ada yang tidak pandang muka saya apabila bertemu. Namun, jauh di sudut hati saya tetap mengharap keredaan Allah SWT.

Luahan ini bukan untuk menyindir sebahagian pimpinan yang saya hormati tetapi saya berhak untuk memuntahkan segala isi hati yang terpendam selama ini.

Saya bekerja untuk Islam. Bukan untuk menaikkan seseorang pimpinan atau individu. Saya berasal daripada keluarga Umno (Johor). Walaupun saya sudah 16 tahun bergiat dalam PAS namun tiada seorang pun ahli keluarga saya mengikut jejak langkah saya untuk menyokong perjuangan Islam (PAS).

Ini menunjukkan bahawa saya bukan saja menerima dugaan daripada pimpinan dan ahli parti tetapi turut berusaha menempis dugaan daripada saudara mara.

Namun saya tidak pernah kesal dan tidak pernah menangis dengan dugaan daripada saudara mara. Saya anggap itu perkara kecil.

Berlainan dengan dugaan daripada sebahagian pimpinan saya. Ada saja yang tidak kena. Penat saya hendak memuaskan hati semua orang.

Selama 16 tahun saya berusaha untuk memuaskan semua pihak tetapi hati saya tidak pernah dijaga. Jika mereka hendak hentam saya tidak kira masa dan tidak tahu kedudukan sebenar. Janji mereka dapat melepaskan rasa marah dan geram terhadap saya.

Saya cuba berbaik dengan semua pimpinan. Malangnya ada sebahagian pimpinan yang tidak berusaha untuk berbaik dengan saya.

Ada pula pimpinan yang berbaik dengan saya bermusim. Musim pemilihan mula lah menghubungi saya tanpa mengira masa. Apabila tamat pemilihan mula senyap dan tidak angkat telefon apabila saya hubunginya.

Saya jadi bosan dengan sikap sebahagian pimpinan seperti ini. Saya tidak tahu apa tujuan mereka berada dalam perjuangan PAS.

Sekali lagi saya mohon kemaafan daripada kalian kerana terpaksa meluahkan isi hati yang terpendam selama ini. Salam perjuangan daripada saya hamba yang hina.

Read more...

Apakah Melaka akan terus terukir dengan sejarah Sekolah Harapan?

>> Monday, September 20, 2010

SAIDAH HAIRAN

Tanggal 8 Syawal Melaka yang terkenal dengan negeri bersejarah terus mencipta sejarah. Sekolah khas untuk pelajar hamil yang dibiayai kerajaan Melaka telah dibuka di Jasin pada hari Jumaat, 17 September.

Di saat masyarakat dan kerajaan membicarakan masalah pembuangan dan pembunuhan bayi, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam melontarkan cadangan menubuhkan sekolah ibu mengandung di luar nikah yang dikenali sebagai Sekolah Harapan.

Mana ada negeri di Malaysia yang mewujudkan sekolah untuk ibu mengandung luar nikah?

Hanya Melaka saja yang mencipta sejarah menyediakan sekolah pelajar mengandung tanpa nikah.

20 September lalu sekolah Harapan telah menerima lima orang pelajar empat daripadanya pelajar Melayu dan seorang Cina yang masing-masing telah mengandung sekitar enam bulan.

Menurut Ali Rustam sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar, tujuan sekolah Harapan

ditubuhkan bagi membolehkan remaja yang terlanjur meneruskan persekolahan sehingga mereka bersalin dan tamat edah sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sejauh mana keyakinan Ketua Menteri itu bahawa pelajar-pelajar yang sudah bersalin dan pulang ke rumah tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu?

Kerajaan Melaka khususnya Ali Rustam perlu memikirkan cara pendidikan kepada bayi yang telah dilahirkan.

Bayi-bayi tersebut mesti diberi pendidikan Islam serta penghayatan akidah yang kukuh supaya mereka tidak memberontak apabila sejarah kelahiran mereka didedahkan.

Tidak mustahil ada dikalangan anak-anak luar nikah yang mengikut jejak langkah ibu mereka iaitu mengandung tanpa suami yang sah.

Perzinaan di negara ini sudah ditahap kritikal jika dilihat daripada jumlah pendaftaran anak luar nikah sehingga tahun 2009.

Melayu 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India 23,696 kes dan Cina 23,692 kes.

Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Ini bermakna 83.3 kes anak luar nikah telah lahir setiap hari di Malaysia. Ini membuktikan bahawa perbuatan zina itu dilakukan di merata tempat.

Sebagai contoh di Mersing pasangan remaja menjadikan jejantas sebagai sarang melakukan tidak bermoral dan seks bebas.

Pihak Penguatkuasa Majlis Daerah Mersing (MDM) dapat mengesan jejantas berhampiran sekolah menengah kebangsaan Mersing dijadikan lokasi perbuatan haram.

Ketika pemantauan pegawai MDM menjumpai pakaian dalam wanita yang tertinggal kerana tergesa-gesa melarikan diri disebabkan serbuan.

Justeru, Ali Rustam perlu memastikan pengisian sekolah Harapan itu benar-benar memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua pelajar yang terlibat. Sama ada mereka itu pelajar Melayu atau bukan Melayu.

Pengisian sekolah Harapan itu bukan setakat kurikulum berbentuk akademik tetapi lebih penting pendidikan agama yang perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan mereka seharian.

Barulah Ali Rustam boleh menarik nafas lega bahawa pelajar-pelajar yang pernah masuk sekolah Harapan tidak akan acap kali keluar masuk sekolah tersebut.

Sudah pasti masyarakat tidak mahu mendengar sekolah Harapan setiap tahun bertambah jumlah pelajarnya.

Lebih mengarukan apabila pelajar tersebut bukan saja pelajar baru tetapi pelajar lama yang sudah kerap keluar masuk sekolah Harapan.

Jika perkara itu berlaku amat malang sekali Melaka yang terkenal dengan negeri bersejarah kerana memelihara anak-anak luar nikah yang teramai.

Sudah pasti Ali Rustam dan kerajaan BN tidak mahu Malaysia khasnya Melaka terus dikenali kerana adanya sekolah Harapan yang banyak melahirkan bayi luar nikah.

Apa akan jadi masa depan negara jika bayi luar nikah ini membesar tanpa mendapat didikan sempurna berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Mengulas senario itu, Adun Bangi (Selangor), Dr Shafie Abu Bakar menegaskan kerajaan Melaka sebenarnya tidak mencari apa punca sebenarnya yang menyebabkan ramai pelajar Melayu mengandung tanpa nikah.

Beliau yang juga pembantu exco hal ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yakin kewujudan sekolah Harapan itu seolah-olah menggalakkan berlakunya perbuatan zina dikalangan para pelajar.

"Sepatutnya kerajaan Melaka terutama Ali Rustam mencari punca dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang membawa hubungan bebas antara pelajar perempuan dengan remaja lelaki," katanya.

Tindakan Melaka itu amat berbeza dengan kerajaan Selangor yang telah melancarkan kempen anti zina pada malam menyambut kemerdekaan 31 Ogos lalu.

Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) telah melancarkan kempen anti-zina sebagai usaha membendung kes buang dan membunuh bayi yang berleluasa.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor lebih tepat dan lebih mendekatkan remaja, pelajar dan belia supaya menghayati dan mengamalkan pendidikan Islam," jelasnya.

Menurut beliau, kempen anti zina sudah digerakkan seluruh kawasan di Selangor dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar Melayu dan bukan Melayu bahkan guru-guru turut memberi kerjasama.

Katanya, bagi sekolah yang tidak membenarkan GeMS masuk pelajar-pelajar tersebut dibawa keluar dengan cara galakkan menyertai program yang diadakan di luar.

"Kita buat kursus motivasi bagi pelajar tingkatan 3,4 dan 5 selama sehari semalam dan ada kalanya dua hari. Kita buat motivasi di sekolah dan juga dewan masjid," katanya.

Beliau tidak menafikan di mana-mana sahaja ada masalah sosial yang melibatkan lelaki dan perempuan tetapi sekurang-kurangnya kerajaan Selangor berusaha meminimakan permasalahan tersebut daripada berleluasa.

Jika perzinaan itu dibiarkan tegas beliau sudah pasti masa depan negara akan terancam kerana pelajar dan remaja merupakan generasi yang mencorakkan masa depan negara.

Read more...

Bilik Berita Harakah dan DMPP mengalukan sumbangan orang ramai


GOMBAK: Hari-hari akhir Ramadan tidak menghalang Bilik Berita Harakah untuk terus menjejeki golongan yang perlu dibantu supaya mereka dapat menikmati sedikit kemeriahan menyambut 1 Syawal selain merebut kelebihan di bulan Ramadan.

Pencarian Bilik Berita Harakah kali ini di Setapak Garden, iaitu Muhamad Faris Azrai bin Abdullah, 26 yang telah memelok Islam selama empat tahun.

Anak bongsu daripada enam adik beradik itu terpaksa berhenti kerja kerana enghidap penyakit Tibi dan sering mendapat rawatan daripada hospital Kuala Lumpur.

Walaupun sudah memelok Islam beliau tetap tinggal dengan keluarga dan mendapat kerjasama yang baik daripada ibunya, Sallam a/p Kalimathu, 51 dengan menyediakan makanan di waktu sahur dan berbuka puasa.

Bilik Berita Harakah telah memberi sumbangan kewangan serta makanan asas seperti beras; tepung; gula dan biskut.

Wang dan barangan tersebut diserahkan kepada Muhamad Faris melalui wakil Bilik Berita Harakah, Khadijah Mahmood.

Muhamad Faris merupakan pembaca Harakah mengucapkan terima kasih kepada Bilik Berita Harakah yang menghulurkan sumbangan.

Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman berazam untuk menjejaki lebih banyak lokasi bagi menyerahkan sumbangan masyarakat yang cukup prihatin dengan golongan yang tidak bernasib baik.

"Tabung yang dianjurkan ini masih baru, namun dilihat dari sambutan penderma, Alhamdulillah. Saya jangkakan untuk masa akan datang, insya-Allah ia mampu mengutip dana lebih banyak, yang boleh diagihkan kepada lebih ramai khalayak," kata Ahmad Lutfi.

Sumbangan kewangan daripada seluruh rakyat Malaysia masih diperlukan.

Segala derma dan bantuan boleh disalurkan terus ke dalam akaun Maybank 564025400533, atas nama Parti Islam Se-Malaysia.

Read more...

Macam tak selamat duduk di tanah air sendiri




Jalan masuk ke kawasan pembunuhan, jauh ke dalam.


Rumah suspek di Taman Chempaka.
Sabtu 18 september saya pergi ke Tanjong Sepat, Banting tempat pembunuhan kejam Dato' Sosilawati serta tiga rakannya. Jauh juga dari Kuala Lumpur, lena juga tidur dalam kereta.

Sampai di kawasan tersebut, saya dapati wartawan dan jurukamera dari akhbar tempatan ada yang duduk di kuil, di atas van dan di bawah pokok.

Kereta saya ditahan polis. Beliau tidak membenarkan saya dan suami masuk ke kawasan pembunuhan tersebut. Saya berdailog dengan polis tersebut. "Bukankah pihak polis dah buka kawasan ini...?

Polis tersebut menjawab; "Tidak pihak polis tetap kawal dan kawasan ini masih tidak boleh dilawati...

Saya menjawab.."Saya bukan hendak melawat tetapi nak buat laporan yang tepat dan jelas. Saya tunjuk kad akhbar daripada Jabatan Penerangan. Namun hampa polis tetap tidak benarkan saya masuk ke dalam.

Saya hanya dapat melihat suasana di kawasan itu, ladang kelapa sawit. 50 dari jalan raya besar ada pagar. Jauh masuk ke dalam. Saya bercakap dengan suami, "Patutlah bau mayat dibakar tidak dapat dihidu...sebab jauh ke dalam."

Saya tidak berputus asa terus mencari penduduk kampung yang boleh ditemui. Kawasan di situ majoriti masyarakat India.

Saya baru perasaan di hadapan kampung tersebut ada satu taman yang semua masyarakat India. Saya menyertai konvoi Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke Sepang.

Saya dan suami pusing keliling di taman tersebut untuk mencari orang Melayu namun tiada seorang dapat ditemui.

Saya pun meneruskan perjalanan hingga bertemu kampung Endah sekitar 200 meter dari ladang kelapa sawit. Saya bertanya dengan seorang pak cik yang menjual air tebu di tepi jalan tentang kejadian tersebut.

Beliau turut terkejut dengan berita pembunuhan itu. Katanya, orang kampung Endah juga terkejut di ladang itu ada tempat pembunuhan.

Orang kampung memang ada mendengar suara anjing menyalak tetapi mereka sangka anjing di ladang kelapa sawit.

Saya tidak putus asa untuk mencari maklumat terkini. Saya pergi ke rumah suspek di taman Chempaka. Saya bertemu dengan jirannya yang juga penyewa rumah suspek.

Penyewa yang saya temui pun tidak menyangka tuan rumah (suspek) bertindak kejam begitu.

Penyewa memaklumkan, tuan rumah (suspek) seorang yang baik ramah, bersopan, cakap Melayu amat fasih, setiap pagi sembahyang, menyiram pokok bunga.

Suspek juga tidak kisah dengan bayaran sewa rumah. Penyewa setiap bulan membayar sewa rumah di pejabat suspek berhampiran dengan rumahnya.

Rumah yang berjumlah RM300 ribu hanya disewa dengan kadar RM700 sahaja. Ketika melihat rumah suspek hati saya tiba-tiba geram.

Apa lagi yang suspek mahu. Ada dua buah rumah besar. Kereta yang dimaklumkan dua biji tetapi ketika itu kereta di hadapan rumahnya tiada.

Saya difahamkan semua suspek yang terlibat membunuh dan membakar dari Banting. Mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut.

Walaupun saya tidak dapat masuk ke kawasan tersebut, tetapi saya tidak dapat melelapkan mata kerana perasaan takut menyelubungi saya. Saya dapat bayangkan bagaimana takutnya Dato' Sosilawati dan tiga rakannya ketika di bawa masuk ke ladang yang begitu jauh dari jalan utama.

Read more...

Jelajah Ikhsan Ummah rapat hubungan masyarakat dengan PAS

>> Sunday, September 19, 2010



SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Pepatah Arab mengatakan; "Apabila kamu berbuat baik kepada manusia maka kamu telah berjaya menundukkan hati mereka."

Ayat ini bukan sekadar pepatah tetapi ia telah diaplikasikan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Selangor yang telah menganjurkan siri jelajah ihsan ummah yang ditumpukan kepada12 DUN yang masih dikuasai Umno.

Siri jelajah itu juga merupakan simbolik bahawa PAS sebenarnya mengambil berat tentang penderitaan rakyat terutama golongan yang tidak bernasib baik di samping berusaha merapatkan hubungan antara masyarakat dengan pimpinan PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad melancarkan jelajah ikhsan ummah bagi kali ke2 bermula di hadapan MBSA, Shah Alam, 5 September lalu.

Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali pula melancarkan kempen balik kampung yang juga diadakan di lobi MBSA.

Ketika berucap Idris menegaskan, tugas memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik menjadi sebahagian daripada tugas dalam Islam dan PAS Selangor telah melaksanakan amanah tersebut.

Selain membawa sumbangan beliau berharap peserta jelajah turut menyampaikan mesej PAS supaya dalam pilihan raya ke13 Selangor dapat mengekalkan kemenangan dengan lebih besar.

"Kalau kita kalah kita tidak ada peluang untuk meneruskan program Islamisasi, sekarang program ini sedang rancak berjalan di masjid, solat malam masjid penuh jemaah, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu beliau mengingatkan supaya PAS Selangor membuat program menarik perhatian masyarakat supaya mereka bersama dengan PAS.

Turut serta dalam pelancaran jelajah Ikhsan Ummah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor 1, Dr Osman Sabran; Dr Che Rosli; Setiausaha Perhubungan PAS, Mohd Khairuddin Osman;

Pengerusi Lajnah, Ustazah Mariam Abd Rashid serta pimpinan PAS Kawasan.

Setiap pimpinan diamanahkan pada dua DUN dan kehadiran mereka disambut oleh AJK PAS Kawasan masing-masing.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP