Susah nak puaskan hati semua orang
>> Tuesday, September 21, 2010
Susah rupanya menjadi wartawan politik. Saya baru 16 tahun menjadi wartawan. Bermacam-macam karenah pimpinan yang terpaksa saya tempuh.
Ada yang marah, ada yang tengking, ada yang sindir tajam. Ada yang tidak pandang muka saya apabila bertemu. Namun, jauh di sudut hati saya tetap mengharap keredaan Allah SWT.
Luahan ini bukan untuk menyindir sebahagian pimpinan yang saya hormati tetapi saya berhak untuk memuntahkan segala isi hati yang terpendam selama ini.
Saya bekerja untuk Islam. Bukan untuk menaikkan seseorang pimpinan atau individu. Saya berasal daripada keluarga Umno (Johor). Walaupun saya sudah 16 tahun bergiat dalam PAS namun tiada seorang pun ahli keluarga saya mengikut jejak langkah saya untuk menyokong perjuangan Islam (PAS).
Ini menunjukkan bahawa saya bukan saja menerima dugaan daripada pimpinan dan ahli parti tetapi turut berusaha menempis dugaan daripada saudara mara.
Namun saya tidak pernah kesal dan tidak pernah menangis dengan dugaan daripada saudara mara. Saya anggap itu perkara kecil.
Berlainan dengan dugaan daripada sebahagian pimpinan saya. Ada saja yang tidak kena. Penat saya hendak memuaskan hati semua orang.
Selama 16 tahun saya berusaha untuk memuaskan semua pihak tetapi hati saya tidak pernah dijaga. Jika mereka hendak hentam saya tidak kira masa dan tidak tahu kedudukan sebenar. Janji mereka dapat melepaskan rasa marah dan geram terhadap saya.
Saya cuba berbaik dengan semua pimpinan. Malangnya ada sebahagian pimpinan yang tidak berusaha untuk berbaik dengan saya.
Ada pula pimpinan yang berbaik dengan saya bermusim. Musim pemilihan mula lah menghubungi saya tanpa mengira masa. Apabila tamat pemilihan mula senyap dan tidak angkat telefon apabila saya hubunginya.
Saya jadi bosan dengan sikap sebahagian pimpinan seperti ini. Saya tidak tahu apa tujuan mereka berada dalam perjuangan PAS.
Sekali lagi saya mohon kemaafan daripada kalian kerana terpaksa meluahkan isi hati yang terpendam selama ini. Salam perjuangan daripada saya hamba yang hina.
0 comments:
Post a Comment