Hasan terima anugerah Yusof Rawa

>> Tuesday, May 4, 2010


SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Mantan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Hasan Syukri menerima anugerah `Tuan Guru Haji Yusof Rawa manakala mantan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Sallehen Mokhyi dianugerahkan `Dato Fadzil Noor'.

Gelaran anugerah tersebut akan dijadikan rutin dalam Muktamar Pemuda PAS Selangor bagi memberikan penghargaan khusus kepada mantan Ketua Pemuda PAS.

Dua anugerah tersebut disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap exco kerajaan, Dato' Dr Hasan Mohd Ali di dewan Jubli Perak, Shah Alam, Sabtu lalu.

Dalam ucaptama Hasan berharap Pemuda PAS Selangor menjadi benteng yang kuat bagi mengekalkan kemenangan serta melonjakkan sokongan rakyat terhadap PAS dalam pilihan raya ke13.

"Saya harap Pemuda akan mengenepikan segala ruang yang boleh melemahkan parti iaitu antara pimpinan Pemuda dengan pimpinan tertinggi parti," jelasnya.

Beliau yakin Pemuda PAS Selangor mempunyai kekuatan untuk mengatasi apa sahaja masalah dalaman dan luar parti.

Dalam ucapan itu Hasan turut menafikan dakwaan yang mengatakan jentera PAS Selangor berkempen ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Katanya, komitmen jentera PAS Selangor amat membanggakan dan telah melakukan pengorbanan tenaga serta wang disamping meninggalkan anak dan isteri selama dua minggu.

Menyentuh pilihan raya di Parlimen Sibu, beliau menegaskan, PAS Selangor akan menghantar jentera parti untuk berkempen serta memberi sokongan padu kepada calon DAP.

"Saya akan turun ke Sibu pada pagi 7 Mei dan akan menyertai Penamaan Calon pada 8 Mei. Pimpinan Muslimat dan Pemuda PAS Selangor turut berkempen di sana," tegasnya.

Beliau berkata, PAS Selangor tidak berbelah bagi memberi sokongan kepada DAP untuk memenangi kerusi Parlimen Sibu sebagaimana yang dilakukan di pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Muktamar kali ke44 itu dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir exco kerajaan Selangor; Yaakob Sapari (KeADILan); Adun Sekinchan, Ng Suee Lim; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Timbalan Pesuruhjaya Selangor, Dr Osman Sabran; Ketua Muslimat, Wan Hasrina Wan Hassan; Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus, Adun Meru, Dr Rani Osman dan pimpinan Kelab Penyokong PAS Selangor.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP