>> Thursday, January 13, 2011


PAS Selangor menyatakan kesediaan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kekeruhan ekoran pelantikan Dato' Mohamed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Ikuti penjelasan Pesuruhjaya, DATO' DR HASAN
MOHAMED ALI ketika ditemubual Wartawan, SAIDAH HAIRAN dan
MUHAMMAD ARIF ISMAIL di pejabatnya Shah Alam.

HARAKAH: Dato', isu SUK hangat diperkatakan apabila pelantikan itu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSU) tanpa merujuk kepada Menteri Besar Selangor?

HASAN : Saya sentiasa berpegang dengan nasihat daripada Presiden dan parti PAS iaitu jangan bermusuh dengan Sultan. Jangan bermusuh dengan pegawai kerajaan dan jangan memusuhi rakyat. Inilah nasihat yang diberikan Presiden dan PAS kepada saya. Ini yang saya pegang.

Dalam hal pelantikan, memang lantikan tersebut ada dua cara iaitu pelantikan mengikut
Undang-undang dan kedua amalan konvensyen iaitu amalan kebiasaan. Adapun lantikan Khusrin hanya mengikut peraturan Undang-undang. Ini tidak cantik, yang cantiknya ikut cara kedua-dua.

Saya menegaskan apapun kita kena sanjung institusi raja kerana kuasa raja tetap kuasa raja. Dalam isu pelantikan SUK kedua-dua peruntukan Undang-undang dan Konvensyen (amalan biasa) harus dipertahankan lebih-lebih lagi di negeri Pakatan Rakyat. Kemelut yang berlaku hari ini disebabkan wujudnya jurang komunikasi antara unsur-unsur ini.

Oleh kerana sudah diputuskan, apa hendak berlaku selepas 24 Januari, jika misalnya Khusrin angkat sumpah, dia kena simpan rahsia. Apa yang kita lakukan mesti kita cuba supaya dapat bekerjasama dan menjalin hubungan yang baik dengan dia dan pegawai kerajaan.

Kerjasama ini perlu dilakukan supaya dapat menjayakan apa yang kerajaan negeri rancang. Daripada segi pembangunan di Selangor pula dapat berjalan dengan lancar.

Dalam isu ini PAS akan menggunakan seluruh kebijaksanaan dan pengalaman. Semua pihak harus memberi pertimbangan pada empat unsur yang terpenting dalam pengurusan pembangunan negeri.

Unsur-unsur berkenaan ialah istana, kerajaan negeri, jentera pentadbiran yang melibatkan pegawai serta kakitangan kerajaan dan rakyat.


HARAKAH : Dato' ada menyebutkan tentang PAS sedia memberi khidmat kepada kerajaan negeri. Khidmat berbentuk bagaimana?

Dalam kita menangani semua perkara ini, PAS mesti berperanan sebagai `Big Brothers'. Berdasarkan kepada kerajaan Kelantan yang berpengalaman mentadbir negeri selama 20 tahun, boleh dijadikan panduan kepada penyelesaian masalah yang sedang Selangor hadapi.

Saya menjangkakan jika masalah tidak ditangani dengan baik dan bijaksana, kemungkinan hubungan dengan Istana akan menjadi tegang. Begitu juga dengan pegawai-pegawai kerajaan. Akhirnya rakyat akan keliru dan tidak akan memilih kita dalam pilihan raya akan datang.

Khidmat kita sebagai `Big Brother', kita gabungKan tenaga pemikir. Kita tidak terlalu emosi dalam perkara ini. Kita terima nasihat daripada pakar undang-undang. Mungkin orang yang berpandangan lain juga kita akan terima.

Sebagai contoh, kita hendak mengadakan sidang DUN tergempar. Ada pihak yang mengatakan perlu mendapat keizinan daripada Sultan dan ada pihak yang mengatakan tidak perlu.

Bagi saya kerajaan negeri Selangor perlu mendengar pandangan daripada semua pihak. Barulah kita boleh meletakkan kedudukan pada asasnya. Ini yang PAS perlu lakukan.


Dato', bagaimana jika Adun Umno-BN tidak hadir dalam sidang tergempar DUN? Tentu akan memberi kesan kepada pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor?

Ya. Keputusan telah dibuat, saya akur. Kita nak nobatkan istana dan hendak kembalikan kedaulatan Sultan sebagaimana pre - 1993 iaitu berkaitan lantikan-lantikan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) melalui cadangan Menteri Besar (MB) dan kemudiannya perkenan daripada Istana.

Kita hendak perjelaskan dan perincikan sejelas-jelasnya. Dalam peruntukan yang dipinda oleh Umno pada tahun 1993, tidak menjelaskan dengan terang tentang pelantikan SUK dan Pegawai Negeri.

Pelantikan tersebut hendaklah bermula daripada cadangan Menteri Besar dan dibawa kepada Istana untuk diperkenankan oleh Sultan. PAS Selangor sokong cara ini.

Kita hendak melihat 56 Adun BN dan Pakatan Rakyat hadir dalam sidang DUN nanti. Sebab, perkara ini besar bukan perkara kecil. Peruntukan yang hendak dibuat melibatkan semua orang. Inilah sebenarnya tapak untuk menentukan tiga jawatan penting dalam negeri Selangor.

Ini isu besar tentang pentadbiran kerajaan dan hala tuju negeri. Jika daripada segi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor mereka tidak mampu hendak hadir, jangan harap mereka akan hadir dalam hal yang kecil-kecil.

Apa yang berlaku sebelum ini, setiap kali sidang DUN ada masanya di tempat duduk wakil rakyat Umno-BN kosong. Jika ada pun hanya seorang wakil rakyat BN saja.

Biasanya kosong terutama ketika Menteri Besar membuat penggulungan. Ini berbeza dengan Adun daripada Pakatan Rakyat yang mempunyai disiplin untuk hadir dalam setiap kali sesi sidang DUN diadakan.


Apakah Dato' melihat Umno-BN sengaja membesar-besarkan isu pelantikan Khusrin,
demonstrasi novel Interlok serta Adun Seri Muda untuk menyerang kerajaan Pakatan
Rakyat Selangor?

Serangan seperti ini memang biasa. Kita tidak boleh mengelak dengan serangan ini. Ini memang cara BN sama ada menyelusup, secara terang-terangan atau serangan gerak saraf. Serangan media juga akan digunakan, cara ini memang kita sudah tahu.

Dalam masalah ini di kalangan kita mesti lebih sensitif. Sesiapa sahaja mesti sensitif, mesti ada pembacaan politik, mesti rujuk dengan mana-mana pimpinan lain supaya kita tidak tersilap langkah.

Bagi saya dalam keadaan sekarang ini, mungkin pilihan raya umum akan berlaku dalam tiga atau empat bulan lagi. Saya rasa Umno akan menggunakan apa sahaja isu.

Daripada sekecil-kecil isu, mereka akan besarkan sebesar gajah dan terus menjadi `giant'.
Alhamdulillah, kita dalam PAS ada gandingan orang lama dan orang baru. Jika kita tengok dalam Umno kecuali Sungai Air Tawar semuanya muka baru, kebanyakan mereka orang baru.

Kita mempunyai gandingan yang mantap. Kita tidak pernah menjauhkan diri dengan pimpinan yang di atas seperti Mursyidul Am, Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS.

Saya tidak penah mentadbir negeri Selangor seorang diri. Apa saja kenyataan yang hendak saya keluarkan semua saya rujuk teman-teman dan pimpinan daripada Selangor. Dalam hal ini saya lebih berhati-hati, bukan langkah keseorangan tetapi langkah lebih berhati-hati. Lebih banyak `input' daripada teman-teman supaya apa yang dilakukan itu benar-benar mencerminkan aspirasi.

Pilihan raya umum dijangka berlaku tahun ini. Bagaimana PAS mahu melonjakkan sokongan di kawasan majoriti Melayu khususnya DUN dan Parlimen yang PAS tanding tetapi kalah?

Sebab itu dalam isu mutakhir ini, PAS kena betul-betul bijaksana, PAS kena berpandangan jauh, PAS kena memikirkan citarasa rakyat. Jadi, saya harap teman-teman dalam Pakatan Rakyat dan luar Pakatan Rakyat kena faham, kenapa kita gunakan perkataan yang mungkin pada sesetengah orang tidak enak.

Sebenarnya perkataan hikmah itu tidak bercanggah dengan tafsiran Pakatan Rakyat. Sebaliknya perkataan hikmah itu adalah semata-mata untuk menentukan bahawa sokongan orang Melayu Islam terus kekal.

Alhamdulillah, kita telah melantik Pegawai Penyelaras DUN di semua kawasan DUN yang kita kalah. Ada 12 kawasan yang PAS kalah dalam pilihan raya umum ke-12. Pegawai Penyelaras ini akan menentukan peruntukan yang diturunkan setiap tahun untuk kegunaan DUN.

Peruntukan itu akan digunakan sepenuhnya terutama untuk merapatkan hubungan di antara parti dan rakyat Kita ada Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar (Paskad) yang akan menentukan
supaya ada keserasaian di antara program projek kecil dengan aspirasi rakyat.

Kita ada wakil-wakil kita, iaitu nazir masjid; AJK masjid, AJK surau dan Ketua Kampung (JKKK). Kita mengadakan pertemuan dengan JKKK sudah lima kali dengan nazir masjid tidak kuarng 10 kali bagi menerangkan tentang apa yang hendak dibuat sekarang.

Tugas mereka untuk memberi nafas baru kepada institusi masjid dan surau yang ada dikalangan rakyat. Ini penting supaya institusi itu menjadi alat untuk menambat hati rakyat supaya mereka terus menyokong kerajaan Pakatan Rakyat.

Bagi menghadapi pilihan raya akan datang, PAS mesti mengingatkan teman-teman dalam Pakatan Rakyat supaya perkataan yang disuarakan tidak melukakan hati mana-mana pihak. Terutama orang Melayu Islam. Seperti persoalan arak, judi dan azan kerana ia merupakan persoalan sensitif bagi orang Islam.

Sebaik-baiknya kenyataan ini tidak melukakan pengundi tegar dan pengundi atas pagar.
Menyentuh tentang potfolio Dato' daripada aspek infrastruktur dan kemudahan awam seolah-olah tidak berfungsi, mengapa Dato'?

Saya jaga infrastruktur ada dua. Satu dalam kerajaan tempatan dan di luar kerajaan tempatan. Adapun dalam kerajaan tempatan biasanya diserahkan kepada YB Ronnie Liu. Manakala di luar kerajaan tempatan saya yang jaga. Di luar kerajaan tempatan tidak banyak yang komplain.

Kita di Selangor dalam hal infrastruktur dan kemudahan awam, masalah besar mengenai hal banjir. Masalah ini lebih menonjol daripada masalah jambatan, jalan dan sebagainya. Masalah banjir memang ada pegawai yang menguruskannya. Saya memang tidak dapat turun di semua tempat. Bagaimanapun, saya dapat turun di Sepang dan Ulu Langat tetapi tidak sekerap yang sepatutnya.

Oleh kerana saya ada empat potfolio yang dulu biasanya dua exco menjaganya. Sekarang satu exco sahaja. Saya menjaga kemudahan awam, adat-adat istiadat, infrastruktur dan hal-hal Ehwal Islam. Jadi hendak beri tumpuan pada semua unit itu saya memang tidak mampu.

Bagaimanapun saya bersyukur kerana mempunyai Pengarah JKR, pengarah bangunan, jalan dan sebagainya. Mereka sentiasa melaporkan kepada saya apa yang berlaku. Mesyuarat pula setiap bulan dengan mereka dan semua pegawai dalam potfolio saya.

Setiap projek mesti ada satu majlis bersama dengan rakyat. Macam projek penyambungan di Sekinchan dan Hulu Bernam. Saya pergi dalam program itu untuk menerangkan kepada rakyat apa ertinya projek itu kepada rakyat.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP