>> Sunday, March 6, 2011

BN menang kerana amal politik rimba?

Oleh SAIDAH HAIRAN

KEMENANGAN besar BN pada pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan akhir tahun 2009 telah memecahkan kebuntuan BN setelah tewas enam kali pilihan raya kecil sebelum itu. Kegembiraan itu berterusan apabila kemenangan demi kemenangan diperolehi BN.

Komponen parti itu turut merampas kerusi PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas (Gua Musang), serta mengekalkan kemenangan di Dun Tenang. Manakala di Dun Kerdau dan Merlimau Pakatan Rakyat sukar untuk menembusi kawasan tradisi BN.

Selepas pilihan raya umum 2008, PRK berlaku di Kuala Terengganu diikuti Permatang Pauh; Bukit Selambau; Bukit Gantang; Sibu dan Manek Urai. Semua Dun dan Parlimen itu dimenangi PAS, DAP dan KeADILan kecuali Batang Ail, Sarawak dimenangi BN.

Dalam pilihan raya umum 2008, BN kehilangan Kelantan; Perak; Kedah; Pulau Pinang dan Selangor. Kekecewaan BN terus bertambah apabila enam pilihan raya kecil dalam tahun 2009 disapu bersih oleh Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, kekecewaan BN terubat apabila memperolehi kemenangan besar di Dun Bagan Pinang sebanyak 8,013 undi menewaskan PAS. BN menang di semua lapan UPU termasuk tiga UPU yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum 2008.

Ekoran kemenangan besar itu banyak pihak mengatakan, pengundi dimulai dengan mereka yang berada di Bagan Pinang sudah boleh menerima konsep 1-Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Ditambah kemenangan Dun Galas; Tenang serta mengambil kira PRK Dun Kerdau dan Merlimau; Najib dikatakan berjaya mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat semua kaum terhadap BN.

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran tanggapan tersebut. Apakah benar rakyat sudah mula memberi sokongan kepada BN atau rakyat terpaksa menyokong mereka disebabkan ugutan dan sogokan pada setiap kali berlaku pilihan raya kecil?

Mengulas tanggapan itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman tidak menolak dakwaan tersebut kerana BN terlalu banyak menggunakan jentera kerajaan dalam setiap siri kempen PRK.

Kata beliau, seolah-olah Pakatan Rakyat bertanding dengan jentera kerajaan yang digunakan sepenuhnya bagi memenangkan calon BN.

“Apa yang dilakukan oleh BN walaupun ternyata bercanggah dengan undangundang langsung tidak dipedulikan oleh SPR dan pihak polis,” tegasnya.

Beliau berkata, contohnya, jentera BN mengganggu ceramah PAS sebagaimana yang dilakukan di Dun Tenang; Bagan Pinang; Kerdau dan Merlimau dan tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak polis.

Menurut beliau, di PRK Kerdau, PAS membuat laporan polis apabila BN telah menaikkan banner berunsur provokatif bersifat perkauman tetapi pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan.

“Saya dapati PRK semakin tidak adil dan tidak demokratik. BN sewenangwenangnya menyogok pengundi dengan projek mi segera dan wang seolaholah mereka tidak terikat dengan sebarang undangundang,” tegasnya.

Jika begitu suasana PRK tambah beliau, BN meraih kemenangan palsu sebagaimana bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang menang apabila mendapat sokongan 98 peratus daripada rakyat tetapi dalam beberapa bulan digulingkan oleh rakyat yang sama.

Walaupun PM Najib mengatakan Mesir tidak sama dengan Malaysia, perlu diingat ketika Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali digulingkan, Hosni Mubarak mengatakan Mesir tidak sama dengan Tunisia, katanya.

Kemenangan BN di setiap kali PRK bermula di Dun Bagan Pinang katanya, bukan satu ukuran sebenar kerana ia tidak dilaksanakan di padang yang sama rata, ibarat pertarungan di hutan rimba (politik rimba).

“Saya yakin usaha yang dibuat Pakatan Rakyat untuk memperolehi satu bentuk pilihan raya adil dan jika pilihan raya umum ke-13 diadakan secara demokratik, pengundi akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Justeru, tambah beliau, Presiden PAS mengumumkan satu himpunan Bersih perlu diadakan kerana ia sangat penting bagi memastikan pilihan raya umum dapat diadakan secara telus dan demokrasi.

Himpunan Bersih itu penting katanya bagi menjamin mana-mana parti yang bertanding mendapat hak yang sama rata.

Beliau menegaskan kejayaan BN di pilihan raya kecil kebelakangan ini bukan kerana mendapat sokongan rakyat tetapi disebabkan sogokan wang serta projek dan ugutan menakutkan pengundi.

Menurut beliau bukan sahaja agensi kerajaan melakukan ugutan terhadap pengundi bahkan Felda di Dun Kerdau di setiap blok dijaga oleh seorang Pengurus Felda dengan agensi lain.

Katanya, setiap rumah dipantau oleh seorang pegawai Felda dengan mengemaskini culaan undi setiap dua jam sekali.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut mendedahkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan melantik 200 petugas khas untuk memantau kawasan Felda.

Kata beliau, 200 petugas itu dibayar gaji sebulan RM3,000 serta elaun RM2,000 sempena PRK untuk memantau pergerakan pengundi di kawasan Felda serta tindakan lain yang menakutkan pengundi

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP