>> Tuesday, March 15, 2011
PAS Selangor akan serah memo kepada SPR Putrajaya
SAIDAH HAIRAN
SHAH ALAM: PAS Selangor di bawah unit Jabatan Pilihan raya negeri akan menghantar memorandum kepada SPR Putrajaya berhubung isu daftar pemilih dan pemberian kad pengenalan (Mykad) secara berleluasa kepada pendatang tanpa izin (Pati).
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohamad Khairudin Othman yang terkilan dengan sikap Pengarah SPR negeri Selangor, Haji Dzulkifli Ab. Rahman yang enggan mengadakan pendengaran secara awam ketika bantahan daftar pemilih yang berlaku di empat DUN milik PAS.
Bantahan yang dikemukakan itu kata beliau, merupakan gerak kerja Jabatan Pilihan raya Selangor termasuk memantau pergerakan pemberian Mykad di peringkat DUN.
Malangnya, tambah beliau, proses bantahan yang dijalankan SPR tidak menepati sebagaimana peraturan pendaftaran pemilih 2002, antaranya bantahan patut dijalankan secara awam tetapi kali ini dibuat secara tertutup.
Beliau yang juga Peguam terkilan dengan sikap pegawai SPR yang menghubungi semua pembantah dengan menawarkan perkara itu untuk diselesaikan luar daripada hari bantahan.
"Tarikh Pegawai SPR menghubungi semua pembantah pada 11 Mac jam 4.30 petang, supaya menarik diri daripada proses bantahan," katanya.
Dengan panggilan itu, kata beliau, SPR prejudis dan tidak sepatutnya mereka menganggu hak yang memang tertera dalam perundangan.
Beliau turut membantah terdapat buku-buku yang mempamerkan gambar pimpinan BN termasuk Khir Toyo dengan logo Umno, seolah-olah pejabat SPR sebagai tempat propaganda dan kempen Umno-BN.
"Ini menambahkan lagi sya wasangka dan keraguan kita kepada ketelusan SPR," katanya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Serdang yang juga Peguam, Mazuan Johan kesal dengan sikap pihak SPR yang tidak mengeluarkan resit bayaran daripada pembantah (jentera PAS) kepada orang yang dibantah.
Katanya, dalam peruntukan daftar pemilih memang dinyatakan jika bantahan ditolak kerana tidak ada alasan munasabah maka pengadu perlu membayar ganti rugi iaitu kos perjalanan kepada orang yang dibantah.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak ada sebarang resit dikeluarkan oleh pihak SPR kepada pembantah atas sebab apa bayaran itu dibuat.
"Ini sangat longgar dan tidak boleh dibuat begini, ini siasatan awam tentu ada rekod," katanya.
Menurut beliau, ini suatu perkara yang begitu malang berlaku dalam negara kerana para pegawai SPR tidak menggunakan budi bicara dalam memutuskan suatu perkara.
Sebaliknya tambah beliau, pegawai SPR Selangor hanya mengikut arahan daripada pihak atasan, apa yang pihak atasan arah itu yang dilakukan.
Ini dilihat katanya, ketika permintaan bantahan itu perlu dilakukan secara terbuka tetapi disebabkan arahan pihak atasan, maka Pengarah SPR tidak berani melakukan pendengaran secara awam.
0 comments:
Post a Comment