Pertemuan dengan pimpinan Umno tidak masalah
>> Tuesday, July 27, 2010
Rupa-rupanya sebelum ini ada pimpinan PAS yang juga AJK PAS Pusat berjumpa dengan pimpinan Umno. Maknanya, cerita Dato Hasan Ali bertemu dengan Tan Sri Harussani bukan cerita baru.
Pimpinan tersebut beruntung kerana pertemuan dengan pimpinan Umno tidak diperbesarkan. Tiada pula pimpinan PAS lain yang mencadangkan kepada Salahuddin supaya dipecat. Berbeza dengan Dato Hasan Ali.
Saya tidak berhajat untuk mengulas perkara ini.
Hanya Perjumpaan Biasa - Salahuddin
KOTA BHARU 25 Julai - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengakui pernah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin UMNO bermula 2006 sehingga 2008 seperti yang didedahkan oleh laman blog Kickdefella dan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.
Jelasnya, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan beberapa isu semasa ketika itu yang melibatkan kepentingan agama Islam seperti Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan masalah murtad serta isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Bagaimanapun, tegasnya, pertemuan tersebut bukan dalam konteks yang dipaparkan oleh blog tersebut dan kenyataan Md. Alwi kerana ia hanya perjumpaan biasa bagi membincangkan isu-isu semasa.
"Betul (pertemuan itu) tetapi ia bukan satu pertemuan yang khusus untuk membincangkan isu seperti mana yang didakwa sebagai satu permulaan kepada menyatukan Pas dan UMNO.
"Sebagai contoh, beberapa hari lalu saya berjumpa dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk membincangkan isu kepentingan rakyat seperti royalti minyak dan Felda, begitu juga kita di Parlimen, berterusan bersembang-sembang di antara wakil rakyat Pas dan UMNO.
"Pendedahan itu bukan dalam konteks yang dimaksudkan, bukan bererti saya keras kepala, dulu boleh, sekarang tidak boleh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dan Md. Alwi baru-baru ini mendedahkan usaha untuk menyatupadukan Pas dan UMNO telah bermula ketika parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu masih kuat bermula pada 2006 sehingga 2008.
Syed Azidi dan Md. Ali mendakwa, beberapa siri pertemuan melibatkan Salahuddin yang ketika itu Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat; Naib Presiden Pas, Datuk Mafuz Omar; Bendahari Pas, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikatakan mengikuti dengan serius perkembangan positif tersebut demi kepentingan umat Melayu dan agama Islam di negara ini.
Siri pertemuan itu dipercayai berterusan sehinggalah Pilihan Raya Umum 2008.
Md. Alwi yang juga bekas Setiausaha Politik Abdullah dan terlibat dalam perjumpaan tersebut turut dilaporkan menyelar Salahudin kerana tidak jujur dalam memberikan kenyataan berhubung isu kerjasama Pas dengan UMNO.
Ini kerana, katanya, Salahuddin yang menjadi individu bertanggungjawab memulakan penyatuan itu telah mempertikaikan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyeru kepada perpaduan umat Islam baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengakui ada titik persamaan di antara UMNO dan Pas dalam isu-isu membabitkan survival umat Islam tetapi kedua-dua parti tidak boleh bergabung.
0 comments:
Post a Comment