Tidak pernah guna rotan mendidik anak
>> Monday, July 12, 2010
Oleh Saidah Hairan
Raut wajah yang muda dengan nada suara lembut menyukarkan ramai orang untuk mempercayai beliau mempunyai 10 orang anak. Namun, itulah hakikat bagi Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh. Baginya, anak merupakan permata hati yang sukar digalang ganti.
Kesibukan sebagai ahli politik, NGO dan pendakwah tidak menghalang beliau untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap 10 orang anak. Gelagat dan karenah anak-anak terutama di bawah usia sembilan tahun meredakan tekanan dan keresahan yang dialami dalam politik.
Dalam usia muda 24 tahun beliau melangsungkan perkahwinan dengan jejaka idaman, Mohd Azmi Azman Suhari. Pasangan bahagia ini dikurniakan anak lima lelaki dan lima perempuan.
Anak sulong, Mohd Abdul Fattah 22, Siti Nur Khadijah, 20, Mohd Abdul Mu'min,19,Mohd Abdul Hakim, 17, Mohd Abd Rahman,15, Siti Nur Aisyah, 13, Siti Nur Hafsah,11, Mohd Abdul Aziz, 9, Siti Fatimah Zahrah, 7 dan Sumaiyah Soffiyah,5.
Ramai menganggap Ketua Muslimat yang sentiasa sibuk dengan urusan politik tidak sempat menguruskan hal anak-anak; tetapi itu tidak berlaku kepada Nuridah. Sebaliknya 10 anak dijaga dengan penuh kasih sayang tanpa pembantu rumah kecuali kerjasama daripada suami.
Curahan kasih sayang itu terbukti apabila semua anaknya dapat menjalani ibadah puasa tanpa ponteng sehari. Sukar dipercayai tetapi itulah realiti. Anak-anak beliau dilatih berpuasa sejak usia lima tahun kecuali Mohd Abdul Fattah, enam tahun.
"Anak-anak kak Nuri terutama Abdul Aziz dan Fatimah Zahrah tidak berasa janggal untuk berpuasa. Sebab mereka selalu tengok umi dan ayahnya puasa sunat. Sumaiyah pernah ikut kak Nuri dan ayahnya puasa sunat, tapi setengah hari je.
"Insya-Allah ramadan ini Sumaiyah akan berpuasa sebulan. Selama ini kakak dan abangnya tidak banyak karenah apabila berpuasa," katanya.
Biasa di awal ramadan beliau melayan karenah anaknya yang baru belajar puasa bagaikan `Menatang minyak yang penuh'. Apa saja keinginan anak akan dipenuhi tetapi hanya minggu pertama puasa. Tujuan beliau untuk menarik minat anak-anak supaya tidak bosan berpuasa.
Mendidik anak untuk berpuasa memang menguji kesabarannya. Tanpa jemu beliau akan memujuk anak berumur tujuh dan lima tahun supaya bangun bersahur. Kejut anak, angkat dan pujuk supaya bersahur sudah biasa dilakukan sejak 16 tahun lalu.
"Memang kena sabar nak latih anak berpuasa. Hendak suruh mereka makan sendiri memang tidak berjaya. Kak Nuri memang suap. Kadang dia orang makan sambil pejam mata. Kak Nuri tak kisah janji anak makan.
"Kurma merupakan makanan utama anak-anak kak Nuri. Kalau bulan puasa kak Nuri beli kurma ikut pilihan anak. Hari biasa kak Nuri beli kurma biasa. Sebulan puasa kak Nuri sediakan satu kotak besar kurma," jelasnya.
Kurma seolah-olah sudah menjadi makanan rutin bagi anak-anak beliau. Jika orang lain menjadikan kurma sebagai syarat waktu berbuka, tetapi bagi anak- anaknya kurma ibarat coklat yang menjadi kegemaran anak-anak.
Bukan mudah melatih anak di bawah usia lima tahun supaya berpuasa. Jika mereka merenggek boleh melunturkan ketegasan seorang ibu. Silap hari bulan nasi disuap ke mulut anak.
Bagi kak Nuri, seorang ibu perlu kuat semangat adakalanya memang kasihan tengok anak terpaksa berlapar dan letih. Sebab itu ibu kena kreatif menghadapi anak yang baru berlatih puasa; supaya anak tidak fikir sangat tentang makan.
Apa yang dilakukan setiap minggu pertama ramadan, beliau akan membawa anak yang baru dilatih puasa berjalan dan lambat balik ke rumah. Apabila sudah biasa berpuasa biasanya selepas balik sekolah tengahari mereka tidur, petang bermain dan tonton tv.
"Mula-mula memang la susah tapi lama-lama senang," kata Siti Fatimah Zahrah bercakap dengan adiknya, Sumaiyah Sofiyah.
Fatimah berkata, umi bagi duit dengan belikan baju kalau dapat puasa sebulan.
Ketika ditanya suka berpuasa, Fatimah dan Sumaiyah menjawab pantas. `Suka'.
Keriangan dan keceriaan wajah tiga orang anaknya yang berada di sisi menunjukkan kak Nuri seorang umi yang penyayang. Walaupun mempunyai 10 orang anak tetapi beliau tidak pernah mengeluh untuk melatih dan mendidik mereka.
`Dik Yang' panggilan untuk semua anaknya. Kelembutan beliau melayan karenah anak menyebabkan anak-anaknya turut membalas dengan lembut dan penuh kasih sayang.
Tersentuh hati penulis melihat kelembutan anak-anak dan curahan kasih sayang seorang umi yang cukup terjerat dengan masa.
"Kak Nuri mendidik anak tidak susah. Kak Nuri tidak menggunakan rotan, tetapi kak Nuri amalkan ayat akhir dalam surah Al-Imran. Kak Nuri amal sejak anak yang sulong hingga sekarang. Insya-Allah mujarab ayat ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment