Harakah, DMPP berkongsi kesengsaraan golongan tidak bernasib baik

>> Friday, August 20, 2010


KLANG: Masih ramai rakyat Malaysia yang perlu diberi bantuan bagi meringankan sedikit penderitaan yang ditanggung akibat kemiskinan.

Adakalanya, kesengsaraan mereka tidak dilihat sebagai satu keutamaan untuk segera diberi bantuan dan sokongan.

Malah, ada ketikanya, penderitaan dan kesengsaraan rakyat di luar negara lebih mendapat perhatian daripada mereka yang berada di depan mata.

Menjejaki golongan fakir, miskin dan ibu tunggal yang melarat bukan satu kerja mudah. Berhadapan dengan mereka memerlukan kesabaran kerana ia mencetuskan perasaan ikhsan yang berlebihan.

Inilah hebatnya kerja-kerja kebajikan kerana ia bukan bergerak atas nama amal kebajikan tetapi lebih penting sebagai pendakwah. Malangnya, ramai yang memandang enteng kerja-kerja kebajikan.

Lihat kebijaksanaan masyarakat Kristian yang terlalu mengutamakan kerja kebajikan. Pengalaman Gerakan Islam di luar negara seperti AK Parti, Hizbullah Lubnan, Hamas, PKS Indonesia telah berjaya menarik sokongan rakyat melalui kerja kebajikan.

Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji yang wajar dicontohi.

Melalui kerja kebajikan, pendakwah dan juga ahli politik boleh berhadapan terus serta mengetahui isi hati mereka yang terbelenggu dengan kemiskinan.

“Dan belanjakanlah ( dermakanlah ) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, ( kalau tidak ) maka ia ( pada saat itu ) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh” ( Al-Munafiquun : 10 )

Menyedari kepentingan kebajikan, Bilik Berita Harakah dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Pusat terus menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya di bulan Ramadan.

10 buah rumah ibu tunggal di kampung Kubu Gajah, DUN Semanggul, Perak menjadi keutamaan untuk diberi bantuan wang dan makanan asas seperti tepung, gula dan milo.

Basariah Lebak merupakan antara ibu tunggal yang terlalu dhaif dengan keadaan rumah yang terlalu usang ditambah lambakan kain baju serta bau hapak dan najis kucing, amat menyentuh perasaan delegasi DMPP dan PAS Kawasan.

Suasana dalam rumahnya, sukar untuk mencari tempat yang selesa kerana banyak perkakas buruk. Beliau tinggal di rumah usang itu bersama seorang anak lelaki yang sakit.

Penulis sempat menjeling ke dalam tudung saji di atas lantai dengan dikelilling beberapa ekor kucing. Bagaimanapun, penulis mendapati dalam tudung saji tersebut hanya terdapat pinggan kosong.

Di fahamkan dua beranak itu hanya menanti sumbangan daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupan mereka.

Perjalanan menjejaki golongan kurang bernasib baik diteruskan ke Parlimen Kota Raja, Klang, Selangor.

Lebih menarik, Ahli Parlimennya, Dr Siti Mariah Mahmood turut berganding bahu dengan DMPP untuk merasai denyut nadi kesengsaraan dan penderitaan ibu-ibu tunggal dan orang susah.

Berpuasa tidak menghalang mereka mencari tiga buah rumah ibu tunggal yang perlu dibantu. Mereka diberi bantuan beras, kain, baju kanak-kanak, gula serta duit.

Bantuan ibu tunggal turut disampaikan di masjid Johan Setia. Selepas penyampaian bantuan itu, ibu-ibu tunggal serta delegasi DMPP dan PAS Kawasan Kota Raja menikmati hidangan berbuka puasa bersama wakil rakyat mereka, Dr Siti Mariah.

Golongan tidak bernasib baik akan terus disantuni oleh Bilik Berita Harakah dan DMPP.

Sehubungan itu, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Osman mengucapkan jutaan terima kasih kepada dermawan yang menghulurkan bantuan kewangan ke tabung Kebajikan DMPP dan Harakah.

Sumbangan masih diperlukan untuk meneruskan agenda membantu dan menyantuni orang kurang bernasib baik. Hulurkan sumbangan terus ke Maybank 564025400533.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP