Saman ekor mengundang negara rasuah

>> Thursday, August 12, 2010


BINTULU: Menyekat pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan bukan satu langkah bijak kerana ia akan mengundang pelbagai implikasi perundangan antaranya menggalakkan rakyat melakukan rasuah.

Amat baik hasrat kerajaan melaksanakan saman ekor bertujuan mendidik rakyat supaya berhemah di jalan raya sekaligus mengurangkan kes kemalangan.

Namun, daripada sudut peraturan saman ekor tersebut amat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sepatutnya, selepas kenderaan tersebut diambil gambar melalui video kamera pihak polis perlu menahan kenderaan berkenaan untuk menandatangani saman.

Jika peraturan ini dilakukan ia baru betul-betul mendidik pemilik kenderaan supaya berhati-hati di jalan raya. Pihak polis pula ketika menahan pemilik kenderaan tersebut, menasihati mereka serta menyedarkan pemandu kenderaan tentang kesalahan yang dilakukan.

Apa yang berlaku sekarang, saman ekor yang dikenakan amat bercanggah dengan peraturan kerana pemandu tidak tahu di tempat dan waktu mereka disaman.

Mereka hanya mengetahui mempunyai saman ekor apabila hendak memperbaharui cukai jalan. Tindakan seperti ini amat menekan pemilik kenderaan.

Ini kerana pemilik kenderaan sudah tentu mempunyai kepentingan untuk memperbaharui cukai jalan. Jika mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan sudah tentu pemilik kenderaan akan mengambil jalan singkat untuk terlibat dengan rasuah.

Kamera perangkap laju juga mempunyai banyak kelemahan menyebabkan pemandu yang tidak bersalah turut mendapat saman ekor.

Apakah pihak polis boleh memberi jaminan dengan memberi gambar kepada pemandu terlibat berserta notis saman ekor?

Tindakan saman ekor amat jelas menyeksa kehidupan rakyat. Jika kenderaan yang disaman ekor itu dipandu oleh orang lain (bukan pemilik kenderaan) apakah adil pemilik kenderaan itu membayar saman hasil kesalahan orang lain?

Nasib rakyat Malaysia amat malang kerana bukan sahaja berhadapan dengan saman ekor tetapi terpaksa menempuh pelbagai kenaikan harga barang.

Persoalannya, apakah kerajaan BN yang berbangga dengan slogan `Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' mahu rakyatnya berterusan terlibat dengan gejala rasuah?

Tidakkah pimpinan kerajaan BN sedar bahawa negara yang terlibat dengan rasuah akan menyebabkan rakyatnya porak peranda.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar, Taufek Ghani melakukan kempen anti saman ekor di Bintulu, Sarawak kerana kes tersebut buat pertama kalinya menang di Mahkamah Sarawak.

Menurut beliau, kes saman ekor yang berlaku pada 24 November 2008 di mana Abd Aziz Hakim telah membawa kes tersebut ke mahkamah Sarawak dan ternyata ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan article 13.

Apa yang berlaku katanya hak rakyat untuk menggunakan kenderaan milik sendiri dihalang, tegas beliau.

Bercakap dalam sidang media di salah sebuah restoren di Bintulu katanya, tindakan polis yang menggunakan saman ekor tidak sah sebab mereka tidak mematuhi akta pengangkutan jalan 1987.

"Bukti kamera tidak boleh diakui bersalah sebaliknya ia merupakan penganiyaan kepada rakyat," tegasnya.

Pemilik kenderaan yang menghadapi tuduhan saman ekor tiada pilihan dan terpaksa membayar kerana mereka memerlukan kenderaan untuk urusan kerja dan sebagainya.

Beliau yang juga Adun Paroi, Negeri Sembilan mendesak kerajaan BN menarik balik tindakan saman ekor tersebut kerana ia ternyata menghukum rakyat yang tidak pasti kesalahannya.

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat katanya akan mengadakan hari bertemu mangsa saman ekor di semua negeri dan telah bermula di negeri Sembilan, serta Melaka.

Bagaimana pun katanya jika tiada tindakan daripada kerajaan BN untuk menarik semula saman ekor, Lajnah akan mengadakan pertemuan dengan Suhakam seterusnya rakyat akan membuat demonstrasi.

Sebenarnya kata beliau saman ekor menghalang rakyat daripada membayar cukai jalan sebaliknya mereka akan terlibat dengan rasuah manakala kerajaan akan hilang pendapatan hasil cukai jalan.

Beliau menegaskan tindakan polis menguatkuasakan saman ekor bercanggah dengan undang-undang kerana pemilik kenderaan hanya boleh didakwa dan didapati bersalah di mahkamah dan bukannya diminta terus membayar saman.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP