Negeri balak, rakyat tinggal di kandang ayam
>> Thursday, August 12, 2010
Walaupun kandang ayam di kawasan rumah Nyabing, Batu Belaga, Bintulu itu dijadikan penempatan sementara namun 27 buah keluarga itu telah tinggal di kandang tersebut selama tiga tahun.
Amat menyedihkan kehidupan mereka tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuh oleh masyarakat Penan, kaum tertua di negeri Sarawak.
Masyarakat Penan yang keluar dari penempatan asal iaitu dalam hutan terpaksa mencari penempatan sendiri kerana kerajaan tidak menyediakan rumah untuk mereka tinggal.
Sebahagian mereka yang memilih untuk tinggal di bekas kandang ayam itu kerana mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah berhampiran.
Sehubungan itu, dakwaan Timbalan Menteri Pelajaran, Mohd Puad Zarkashi bahawa anak-anak masyarakat Penan kerap ponteng sekolah sebenarnya mendedahkan kelemahan kerajaan BN yang tidak pernah memandang serius atau prihatin dengan kebajikan masyarakat Penan.
Berikutan itu, Pengerusi Tanah, Pembangunan dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman menyelar dakwaan Puad yang seolah-olah menyalahkan ibu bapa masyarakat Penan yang tidak mementingkan pelajaran anak-anak.
Sedangkan kata beliau, masyarakat Penan yang berjumlah hampir 2,000 orang itu sebenarnya tidak mempunyai surat beranak dan kad pengenalan, kerana itu mereka tidak mempunyai pendidikan.
Bukan itu sahaja katanya, kehidupan mereka dalam hutan yang aman selama ini turut diganggu dengan kewujudan empangan elektrik haidro Bakun sehingga mereka terpaksa keluar mencari penempatan sementara di rumah panjang.
Mazlan mendedahkan perkara tersebut setelah mengadakan lawatan ke Bintulu dari 2 hingga 6 Ogos untuk meninjau perkembangan terkini masyarakat Penan di Sarawak.
Turut bersama dalam lawatan itu, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna Alam Sekitar yang juga Adun Paroi, YB Taufek Ghani; YDP PAS Kawasan Bintulu, Saimon Kila Zainon @ Nuur Huzaifah serta AJK lajnah.
Ketika degelasi yang diketuai Mazlan membuat lawatan dan tinjauan ke rumah panjang dan bertemu masyarakat Penan di rumah Nyabing, pada 4 Ogos lalu, Puad Zarkashi turut mengadakan lawatan ke sekolah Batu Keling, Batu Belaga, Bintulu.
Aktivis masyarakat, Miku Luyang dan Bernard Lanting turut bersama dalam lawatan itu bagi memudahkan degelasi memasuki kawasan rumah panjang dan empangan Bakun.
Dalam pertemuan dengan masyarakat Penan di bekas penempatan kandang ayam itu, Miku menjadi jurucakap kerana sebahagian besar masyarakat Penan tidak fasih bertutur bahasa Melayu.
Katanya, kerajaan mengarahkan masyarakat Penan keluar dari kawasan penempatan asal mereka untuk dijadikan empangan haidro Bakun tetapi kerajaan tidak menyediakan penempatan.
Miku berkata, masyarakat Penan berharap penempatan yang disediakan mesti kawasan yang disukai dan boleh menjalankan aktiviti berburu kerana kehidupan mereka sejak dahulu hanya mahir berburu.
"Sehingga sekarang kerajaan tidak bagi penempatan itu, kami bangsa Penan tidak ada pendidikan dan tidak berani, kami hanya berani menyumpit sahaja," katanya disambut dengan gelak daripada masyarakat Penan.
Ketua penduduk, Laying Killah melahirkan rasa gembira dengan kunjungan masyarakat Semanjung.
Ketika berucap dalam bahasa Penan beliau terkilan dengan sikap kerajaan yang berjanji akan membina sekolah di kawasan kampung tersebut namun sehingga sekarang tidak ada satu sekolah disediakan untuk masyarakat Penan.
"Kalau tidak kerana bekas kandang ayam ini maka kami tidak ada rumah untuk dijadikan tempat tinggal, kami harap masalah masyarakat Penan dapat di bawa ke peringkat tertinggi kerajaan," katanya.
Manakala wakil penduduk, Kuit Killah pula turut kesal dengan tindakan kerajaan yang masih belum membayar pampasan masyarakat Penan yang berpindah dari kawasan asal.
Katanya, kerajaan hanya baru memberi pampasan RM10,000 untuk perpindahan kubur manakala pampasan lain masih belum diperolehi.
Sehubungan itu, beliau mewakili masyarakat Penan menaruh harapan tinggi kepada degelasi dari Semanjung yang diketuai Mazlan supaya dapat membawa masalah itu keperingkat tertinggi kerajaan.
Mereka mahu kerajaan memberi pampasan sewajarnya kerana projek haidro Bakun itu telah menyumbang hasil yang sangat tinggi.
Bagaimanapun mereka sedar dan yakin bahawa kerajaan sebenarnya tidak serius menangani masalah masyarakat Penan kerana penempatan di bekas kandang ayam yang dijanjikan hanya sementara telah diduduki selama tiga tahun.
Dalam maklum balas pertemuan itu, Mazlan bercadang dapat mengumpulkan wakil masyarakat Penan turun ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menyerahkan memorandum.
Katanya, memo tersebut mendesak kerajaan menangani isu masyarakat Penan dan isu itu akan dibawa oleh ahli Parlimen PAS untuk dibahaskan dalam sidang dewan rakyat akan datang.
Mazlan sedar bahawa masyarakat Penan tidak tahu untuk memperjuangkan hak mereka dan kebimbangan dirasai jika masyarakat Penan akan pupus akhirnya.
Katanya, apa salah kerajaan menyediakan tabung royalti kepada masyarakat Penan untuk kegunaan pendidikan mereka, ini merupakan satu cadangan yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan.
"Mereka telah hilang tempat tinggal untuk selama-lamanya, kenapa kerajaan tidak pertimbangkan royalti kepada mereka," tegasnya.
Ketika perbincangan diadakan di rumah panjang Nyabing satu majlis perpindahan kubur oleh masyarakat Penan sedang diadakan. Turut serta ketika itu, pegawai UPEN dan Muzium Sarawak.
Walaupun sebahagian mereka tidak tahu berturut bahasa Melayu namun mereka mudah mesra dan menghormati tetamu melalui cara mereka berjalan dengan menundukkan kepala ketika lalu dihadapan kami.
Perjalanan dari Bintulu ke perkampungan Penan dan Bakun mengambil masa selama tiga jam sejauh lebih kurang 300 kilometer. Walaupun jalan bertar, namun kerosakan teruk berlekuk dan berlubang besar menyebabkan hanya kenderaan lori, bas dan 4wheel sesuai digunakan.
Dalam perjalanan itu kelihatan label `Aduan kerosakan jalan' namun daripada keadaan jalan tersebut, walaupun ada aduan sudah pasti tidak diambil tindakan daripada pihak berkenaan.
Lebih kurang jam 5.30 petang degelasi kami sampai ke kawasan Bakun dan melihat empangan tersebut yang begitu besar.
Pada awalnya, kami berhajat untuk bermalam di resort Bakun bagaimanapun sekuriti tidak membenarkan kerana penempatan tersebut tidak ditempah terlebih dahulu.
Degelasi terpaksa pulang semula ke perkampungan Penan sejauh lebih kurang 50 kilometer untuk menumpang bermalam di rumah panjang Lahanan. Semua masyarakat di rumah panjang tersebut menganut agama Kristian. Di setiap pintu rumah mereka, terpacak salib manakala di rumah cikgu Bernard (tempat kami bermalam) penuh dengan patung dan gambar-gambar Jesus.
Penulis pasti, semua ahli yang menyertai lawatan tersebut mempunyai pengalaman indah kerana dapat tidur di rumah panjang di mana pemiliknya beragama Kristian.
Hari akhir degelasi meneruskan perjalanan ke Parlimen Sibu yang dimenangi DAP. Mazlan serta ahli rombongan membuat kunjungan hormat ke pejabat DAP di Sibu. Pegawai DAP, Stephen Lu Cheng Kuok mewakili Ahli Parlimen Sibu, Wong Hong Leng amat menghargai bantuan daripada PAS dalam pilihan raya kecil lalu.
Katanya, tanpa bantuan PAS DUN Nangka tidak mungkin menang sebab selama ini DAP sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk masuk ke kawasan orang Melayu.
Lawatan diteruskan ke kampung Jeriah di DUN Nangka menemui penduduk yang menyokong PAS, Dayang Halimah Borhan.
Dalam pertemuan itu beliau amat berharap PAS Semanjung sentiasa menziarahi penduduk di kampung Jeriah serta menghulurkan bantuan kerana masyarakat Melayu di kampung itu kebanyakan masih berada di takuk kemiskinan.
0 comments:
Post a Comment