Kempen Selamatkan Selangor tiada sambutan - Sallehen

>> Friday, September 3, 2010


SAIDAH HAIRAN

SABAK: Yang Dipertua PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustaz Sallehen Mokhyi tidak gentar dengan kempen `Selamatkan Selangor' untuk merampas Selangor daripada terus ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat.

Ini kerana kata beliau, kempen tersebut yang dilakukan melalui roadshow ceramah di seluruh negeri Selangor sebenarnya tidak mendapat sambutan daripada masyarakat.

"Sama ada yang berceramah itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo; Roslan Kasim memang tidak mendapat sambutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan kuih raya dan bubur lambuk kepada pesakit di hospital daerah Sabak Bernam, Khamis lalu.

Turut serta Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid; Ketua Muslimat PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustazah Rahmah serta Persatuan Ketua Kampung serta AJK PAS kawasan.

Mengulas tentang kempen Umno di Sabak Bernam, Sallehen berkata, percubaan Umno untuk menarik sokongan Melayu dan bukan Melayu di Sabak Bernam gagal kerana penduduk di Sabak sudah tidak berminat untuk mendengar ceramah Umno.

Sehubungan itu katanya, Umno Sabak terpaksa `hipokrit' konon tetap mendapat sokongan daripada masyarakat di Sabak dengan mencacakkan bendera Umno di sepanjang jalan ke Sabak Bernam.

Sedangkan tambah beliau, yang mencacakkan bendera Umno itu bukan AJK Umno cawangan atau Bahagian tetapi mereka terpaksa upah orang lain.

Ini jelas membuktikan bahawa tegas beliau, Umno di Bahagian Sabak Bernam sedang menghadapi masalah kepimpinan di mana Ketua Bahagian sedang dalam proses mahkamah atas dakwaan penyelewengan.

"Saya tidak faham kenapa Umno negeri Selangor menyerahkan jawatan pemangku Ketua Bahagian kepada Dato' Noh Omar,kenapa tidak Timbalan Ketua Bahagian saja yang memangku jawatan tersebut," katanya.

Di Sabak Bernam tegas beliau, Umno dilihat sudah putus asa dengan kawasan orang bukan Melayu sebab itu mereka terus menumpukkan kepada kawasan Melayu.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP