Kempen Selamatkan Selangor tiada sambutan - Sallehen

>> Friday, September 3, 2010


SAIDAH HAIRAN

SABAK: Yang Dipertua PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustaz Sallehen Mokhyi tidak gentar dengan kempen `Selamatkan Selangor' untuk merampas Selangor daripada terus ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat.

Ini kerana kata beliau, kempen tersebut yang dilakukan melalui roadshow ceramah di seluruh negeri Selangor sebenarnya tidak mendapat sambutan daripada masyarakat.

"Sama ada yang berceramah itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Ketua Pembangkang Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo; Roslan Kasim memang tidak mendapat sambutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan kuih raya dan bubur lambuk kepada pesakit di hospital daerah Sabak Bernam, Khamis lalu.

Turut serta Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Ustazah Mariam Abd Rashid; Ketua Muslimat PAS Kawasan Sabak Bernam, Ustazah Rahmah serta Persatuan Ketua Kampung serta AJK PAS kawasan.

Mengulas tentang kempen Umno di Sabak Bernam, Sallehen berkata, percubaan Umno untuk menarik sokongan Melayu dan bukan Melayu di Sabak Bernam gagal kerana penduduk di Sabak sudah tidak berminat untuk mendengar ceramah Umno.

Sehubungan itu katanya, Umno Sabak terpaksa `hipokrit' konon tetap mendapat sokongan daripada masyarakat di Sabak dengan mencacakkan bendera Umno di sepanjang jalan ke Sabak Bernam.

Sedangkan tambah beliau, yang mencacakkan bendera Umno itu bukan AJK Umno cawangan atau Bahagian tetapi mereka terpaksa upah orang lain.

Ini jelas membuktikan bahawa tegas beliau, Umno di Bahagian Sabak Bernam sedang menghadapi masalah kepimpinan di mana Ketua Bahagian sedang dalam proses mahkamah atas dakwaan penyelewengan.

"Saya tidak faham kenapa Umno negeri Selangor menyerahkan jawatan pemangku Ketua Bahagian kepada Dato' Noh Omar,kenapa tidak Timbalan Ketua Bahagian saja yang memangku jawatan tersebut," katanya.

Di Sabak Bernam tegas beliau, Umno dilihat sudah putus asa dengan kawasan orang bukan Melayu sebab itu mereka terus menumpukkan kepada kawasan Melayu.

Read more...

Mais ikut telunjuk Umno - isu surau, masjid


SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Surat peringatan larangan memasuki dewan solat masjid dan surau kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching membuktikan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengikut telunjuk Umno kerana larangan tersebut tidak berpandukan enakmen.

Surat yang ditandatangani Setiausaha Mais merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Mohammed Khusrin Munawi itu telah difaks ke rumah Nie Ching pada 30 Ogos lalu.

Tajuk surat tersebut memberi peringatan untuk tidak memasuki dewan solat masjid dan surau dalam negeri Selangor tanpa kebenaran daripada Majlis Agama Islam, namun peringatan itu tidak dinyatakan di bawah mana-mana enakmen.

Surat itu hanya merujuk titah Sultan Selangor iaitu mana-mana orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dewan solat semua masjid dan surau di Selangor melainkan kebenaran Mais.

Merujuk peringatan itu, Nie Ching keliru kerana selama ini Sultan Selangor menitahkan larangan penggunaan masjid dan surau bagi tujuan politik.

Beliau menjelaskan kehadiran ke surau Al-Huda, Kajang atas jemputan ahli jawatankuasa surau untuk menyampaikan sumbangan membaiki pagar surau tersebut.

"Saya perlu semak dahulu surat ini kerana ia tidak berpandu pada mana-mana enakmen," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta setiausahanya, Kartini Ahmad di pejabatnya, Taman Indah, Cheras, 1 september lalu.

"Ini bukan kali pertama saya masuk surau, dulu saya pernah masuk ke ruang solat di masjid negara tidak ada masalah, tetapi sekarang peraturan sudah berbeza," tegasnya.

Beliau mempersoalkan apakah larangan itu hanya dikenakan kepada ahli Parlimen bukan Islam daripada Pakatan Rakyat manakala ahli Parlimen BN dibenarkan memasuki mana-mana ruang di masjid dan surau.

Menurut beliau, Mais yang didalangi Umno sengaja menggunakan agama untuk kepentingan mereka.

"Jika pihak Mais tidak mengumumkan peringatan itu di bawah mana-mana enakmen itu bermakna surat tersebut hanya ditujukan kepada saya," tegasnya.

Dalam masa yang sama beliau menyelar tindakan pihak Utusan Malaysia yang membuat fitnah sumbangan kepada ahli PAS sedangkan peruntukan itu untuk pagar surau.

"Saya marah kerana pihak Utusan Malaysia tidak ada menghubungi saya. Utusan Malaysia ambil gambar dalam blog saya dan membuat tafsiran sendiri, tanpa meminta penjelasan saya," katanya.

Beliau berkata, Utusan Malaysia sengaja membesarkan isu tersebut dan hanya merujuk kepada blogger untuk membuat laporan yang ternyata telah mengelirukan orang bukan Islam dan Islam.

"Saya rasa begitu marah kalau hendak dapat cerita daripada saya, kenapa tidak
hubungi saya terus," tegas beliau.

Beliau menegaskan dalam program sumbangan untuk membaiki pagar surau Al-

Huda itu tidak ada seorang wartawan atau wakil media yang hadir.

Mengapa tambah beliau, Utusan Malaysia hanya menyiarkan satu gambar
sahaja sedangkan ada gambar makan bersama Muslimat dan gambar-gambar
lain.

Beliau yakin Utusan Malaysia yang didalangi Umno sengaja memperalatkan isu
itu bagi menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam.

Bagaimanapun, beliau tidak gentar dengan peringatan tersebut tetapi akan terus menjalankan aktiviti hadir ke surau dan masjid bagi memenuhi undangan Jawatankuasa masjid dan surau di Parlimennya.

Read more...

Binaan pangsapuri Pandamaran diseleweng?

>> Friday, August 20, 2010


KLANG: Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hasan mendesak pihak kerajaan negeri Selangor menyiasat binaan bangunan pangsapuri Pandamaran yang terlibat dengan kebakaran pada 10 Ogos lalu.

Ini kerana kata beliau, menurut dakwaan penduduk di pangsapuri tersebut kebakaran yang berlaku pada jam 4.30 petang itu telah meranapkan lima buah rumah di tingkat lima.

"Jika bangunan tersebut dibina daripada batu ia tidak akan ranap tetapi saya melihat dinding rumah itu kosong setelah terbakar," katanya.

Beliau memaklumkan pangsapuri itu dibina di era kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Muhamad Taib Muhamad.

"Kita harap kerajaan negeri di bawah exco Perumahan dapat membuat siasatan segera jika ia berlaku penyelewengan ketika membina pangsapuri tersebut," tegasnya.

Wan Hasrina yang melawat pangsapuri itu berkata, kebakaran itu melibatkan satu blok dengan meranapkan lima buah rumah dan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Menyentuh tentang binaan katanya, plan asal bangunan tidak dapat diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) jika tidak mengikut aspek yang dikemukakan oleh pemaju.

Jika apa yang didakwa oleh penduduk iaitu dinding batu boleh ranap katanya, itu menunjukkan bahawa pembinaan itu tidak mengikut apa yang telah ditetapkan oleh perancang bandar.

Beliau turut menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran yang ditempatkan di dewan orang ramai.

Lebih menarik katanya, dalam lawatan itu, Timbalan Muslimat PAS Selangor, Noraini Hussin telah menjadi `bidan terjun' kerana seorang mangsa kebakaran telah melahirkan bayi lebih kurang jam 12 tengahari, Jumaat lalu.

Read more...

Harakah, DMPP berkongsi kesengsaraan golongan tidak bernasib baik


KLANG: Masih ramai rakyat Malaysia yang perlu diberi bantuan bagi meringankan sedikit penderitaan yang ditanggung akibat kemiskinan.

Adakalanya, kesengsaraan mereka tidak dilihat sebagai satu keutamaan untuk segera diberi bantuan dan sokongan.

Malah, ada ketikanya, penderitaan dan kesengsaraan rakyat di luar negara lebih mendapat perhatian daripada mereka yang berada di depan mata.

Menjejaki golongan fakir, miskin dan ibu tunggal yang melarat bukan satu kerja mudah. Berhadapan dengan mereka memerlukan kesabaran kerana ia mencetuskan perasaan ikhsan yang berlebihan.

Inilah hebatnya kerja-kerja kebajikan kerana ia bukan bergerak atas nama amal kebajikan tetapi lebih penting sebagai pendakwah. Malangnya, ramai yang memandang enteng kerja-kerja kebajikan.

Lihat kebijaksanaan masyarakat Kristian yang terlalu mengutamakan kerja kebajikan. Pengalaman Gerakan Islam di luar negara seperti AK Parti, Hizbullah Lubnan, Hamas, PKS Indonesia telah berjaya menarik sokongan rakyat melalui kerja kebajikan.

Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji yang wajar dicontohi.

Melalui kerja kebajikan, pendakwah dan juga ahli politik boleh berhadapan terus serta mengetahui isi hati mereka yang terbelenggu dengan kemiskinan.

“Dan belanjakanlah ( dermakanlah ) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, ( kalau tidak ) maka ia ( pada saat itu ) akan merayu dengan berkata : Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh” ( Al-Munafiquun : 10 )

Menyedari kepentingan kebajikan, Bilik Berita Harakah dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Pusat terus menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya di bulan Ramadan.

10 buah rumah ibu tunggal di kampung Kubu Gajah, DUN Semanggul, Perak menjadi keutamaan untuk diberi bantuan wang dan makanan asas seperti tepung, gula dan milo.

Basariah Lebak merupakan antara ibu tunggal yang terlalu dhaif dengan keadaan rumah yang terlalu usang ditambah lambakan kain baju serta bau hapak dan najis kucing, amat menyentuh perasaan delegasi DMPP dan PAS Kawasan.

Suasana dalam rumahnya, sukar untuk mencari tempat yang selesa kerana banyak perkakas buruk. Beliau tinggal di rumah usang itu bersama seorang anak lelaki yang sakit.

Penulis sempat menjeling ke dalam tudung saji di atas lantai dengan dikelilling beberapa ekor kucing. Bagaimanapun, penulis mendapati dalam tudung saji tersebut hanya terdapat pinggan kosong.

Di fahamkan dua beranak itu hanya menanti sumbangan daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupan mereka.

Perjalanan menjejaki golongan kurang bernasib baik diteruskan ke Parlimen Kota Raja, Klang, Selangor.

Lebih menarik, Ahli Parlimennya, Dr Siti Mariah Mahmood turut berganding bahu dengan DMPP untuk merasai denyut nadi kesengsaraan dan penderitaan ibu-ibu tunggal dan orang susah.

Berpuasa tidak menghalang mereka mencari tiga buah rumah ibu tunggal yang perlu dibantu. Mereka diberi bantuan beras, kain, baju kanak-kanak, gula serta duit.

Bantuan ibu tunggal turut disampaikan di masjid Johan Setia. Selepas penyampaian bantuan itu, ibu-ibu tunggal serta delegasi DMPP dan PAS Kawasan Kota Raja menikmati hidangan berbuka puasa bersama wakil rakyat mereka, Dr Siti Mariah.

Golongan tidak bernasib baik akan terus disantuni oleh Bilik Berita Harakah dan DMPP.

Sehubungan itu, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Osman mengucapkan jutaan terima kasih kepada dermawan yang menghulurkan bantuan kewangan ke tabung Kebajikan DMPP dan Harakah.

Sumbangan masih diperlukan untuk meneruskan agenda membantu dan menyantuni orang kurang bernasib baik. Hulurkan sumbangan terus ke Maybank 564025400533.

Read more...

Bersama Muslimat PAS, Harakah menjejaki golongan tidak bernasib baik

>> Sunday, August 15, 2010


Bersama Muslimat PAS, Harakah menjejaki golongan tidak bernasib baik
Posted on Sunday, August 15 @ 22:44:12 PDT by paktam
KUALA LUMPUR: Program `Mubarak Ramadan dan Syawal' Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama bilik Berita Harakah terus melebar luaskan bantuan dan sumbangan kepada fakir miskin dan ibu tunggal.

Delegasi DMPP diketuai, Ustazah Nuridah Mohd Salleh telah mengedarkan sumbangan kurma di stesen LRT Bandar Tasik Selatan pada 10 Ogos lalu, manakala bilik Berita Harakah pula diwakili oleh
pemberita setiap negeri.

Edaran bubur lambuk, iftar dan ziarah yang dilakukan di DUN Lenggeng dan DUN Senaling, Negeri Sembilan amat memilukan kerana terdapat rumah yang terlalu daif.

Di DUN Senaling, Nuridah menyampaikan barang makanan asas beras, tepung, gula dan milo di rumah ibu tunggal, orang miskin serta orang cacat (OKU) di 30 buah rumah.

Bermula 10 Ogos empat negeri sudah dijejaki iaitu Wilayah Persekutuan; Negeri Sembilan; Melaka; DUN Semanggol Perak dan kampung Johan Setia DUN Kota Raja, Selangor.

Selepas itu DMPP bersama wakil bilik Berita Harakah akan menjejaki golongan miskin di Pulau Pinang; Sarawak; Shah Alam; Sepang; Johor; Perlis; Terengganu dan Pahang.

Lebih menarik DMPP serta bilik Berita Harakah akan mengedarkan kuih raya kepada pengguna jalan raya di Tol Sungai Besi; Tol Jalan Duta pada 5 September dan selepas itu akan ke DUN Ulu Bernam, Selangor.

Pada 6 September pula penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan ibu tunggal di Parlimen Rantau Panjang, Kelantan dan edaran kuih raya di Tol Karak pada 8 september.

Sumbangan amat dialu-alukan bagi menjayakan program `Mubarak Ramadan dan Syawal' di samping dapat meringankan bebanan kemiskinan golongan ibu tunggal, fakir miskin dan OKU.

Bagi Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, sumbangan penderma di bulan Ramadan penuh keberkatan ini sekurang-kurangnya mampu meringankan bebanan golongan terbabit.

Sumbangan boleh salurkan terus ke akaun Maybank 564025400533.

Read more...

Saman ekor mengundang negara rasuah

>> Thursday, August 12, 2010


BINTULU: Menyekat pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan bukan satu langkah bijak kerana ia akan mengundang pelbagai implikasi perundangan antaranya menggalakkan rakyat melakukan rasuah.

Amat baik hasrat kerajaan melaksanakan saman ekor bertujuan mendidik rakyat supaya berhemah di jalan raya sekaligus mengurangkan kes kemalangan.

Namun, daripada sudut peraturan saman ekor tersebut amat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sepatutnya, selepas kenderaan tersebut diambil gambar melalui video kamera pihak polis perlu menahan kenderaan berkenaan untuk menandatangani saman.

Jika peraturan ini dilakukan ia baru betul-betul mendidik pemilik kenderaan supaya berhati-hati di jalan raya. Pihak polis pula ketika menahan pemilik kenderaan tersebut, menasihati mereka serta menyedarkan pemandu kenderaan tentang kesalahan yang dilakukan.

Apa yang berlaku sekarang, saman ekor yang dikenakan amat bercanggah dengan peraturan kerana pemandu tidak tahu di tempat dan waktu mereka disaman.

Mereka hanya mengetahui mempunyai saman ekor apabila hendak memperbaharui cukai jalan. Tindakan seperti ini amat menekan pemilik kenderaan.

Ini kerana pemilik kenderaan sudah tentu mempunyai kepentingan untuk memperbaharui cukai jalan. Jika mereka tidak dapat memperbaharui cukai jalan sudah tentu pemilik kenderaan akan mengambil jalan singkat untuk terlibat dengan rasuah.

Kamera perangkap laju juga mempunyai banyak kelemahan menyebabkan pemandu yang tidak bersalah turut mendapat saman ekor.

Apakah pihak polis boleh memberi jaminan dengan memberi gambar kepada pemandu terlibat berserta notis saman ekor?

Tindakan saman ekor amat jelas menyeksa kehidupan rakyat. Jika kenderaan yang disaman ekor itu dipandu oleh orang lain (bukan pemilik kenderaan) apakah adil pemilik kenderaan itu membayar saman hasil kesalahan orang lain?

Nasib rakyat Malaysia amat malang kerana bukan sahaja berhadapan dengan saman ekor tetapi terpaksa menempuh pelbagai kenaikan harga barang.

Persoalannya, apakah kerajaan BN yang berbangga dengan slogan `Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' mahu rakyatnya berterusan terlibat dengan gejala rasuah?

Tidakkah pimpinan kerajaan BN sedar bahawa negara yang terlibat dengan rasuah akan menyebabkan rakyatnya porak peranda.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar, Taufek Ghani melakukan kempen anti saman ekor di Bintulu, Sarawak kerana kes tersebut buat pertama kalinya menang di Mahkamah Sarawak.

Menurut beliau, kes saman ekor yang berlaku pada 24 November 2008 di mana Abd Aziz Hakim telah membawa kes tersebut ke mahkamah Sarawak dan ternyata ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan article 13.

Apa yang berlaku katanya hak rakyat untuk menggunakan kenderaan milik sendiri dihalang, tegas beliau.

Bercakap dalam sidang media di salah sebuah restoren di Bintulu katanya, tindakan polis yang menggunakan saman ekor tidak sah sebab mereka tidak mematuhi akta pengangkutan jalan 1987.

"Bukti kamera tidak boleh diakui bersalah sebaliknya ia merupakan penganiyaan kepada rakyat," tegasnya.

Pemilik kenderaan yang menghadapi tuduhan saman ekor tiada pilihan dan terpaksa membayar kerana mereka memerlukan kenderaan untuk urusan kerja dan sebagainya.

Beliau yang juga Adun Paroi, Negeri Sembilan mendesak kerajaan BN menarik balik tindakan saman ekor tersebut kerana ia ternyata menghukum rakyat yang tidak pasti kesalahannya.

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat katanya akan mengadakan hari bertemu mangsa saman ekor di semua negeri dan telah bermula di negeri Sembilan, serta Melaka.

Bagaimana pun katanya jika tiada tindakan daripada kerajaan BN untuk menarik semula saman ekor, Lajnah akan mengadakan pertemuan dengan Suhakam seterusnya rakyat akan membuat demonstrasi.

Sebenarnya kata beliau saman ekor menghalang rakyat daripada membayar cukai jalan sebaliknya mereka akan terlibat dengan rasuah manakala kerajaan akan hilang pendapatan hasil cukai jalan.

Beliau menegaskan tindakan polis menguatkuasakan saman ekor bercanggah dengan undang-undang kerana pemilik kenderaan hanya boleh didakwa dan didapati bersalah di mahkamah dan bukannya diminta terus membayar saman.

Read more...

Negeri balak, rakyat tinggal di kandang ayam




BINTULU: Amat mengejutkan di sebuah negeri yang kaya dengan pengeluaran balak dan minyak masih mempunyai rakyat yang hidup menderita dan ketinggalan daripada menikmati arus pemodenan apabila lebih 100 rakyatnya terpaksa tinggal di kandang ayam.

Walaupun kandang ayam di kawasan rumah Nyabing, Batu Belaga, Bintulu itu dijadikan penempatan sementara namun 27 buah keluarga itu telah tinggal di kandang tersebut selama tiga tahun.

Amat menyedihkan kehidupan mereka tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuh oleh masyarakat Penan, kaum tertua di negeri Sarawak.

Masyarakat Penan yang keluar dari penempatan asal iaitu dalam hutan terpaksa mencari penempatan sendiri kerana kerajaan tidak menyediakan rumah untuk mereka tinggal.

Sebahagian mereka yang memilih untuk tinggal di bekas kandang ayam itu kerana mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah berhampiran.

Sehubungan itu, dakwaan Timbalan Menteri Pelajaran, Mohd Puad Zarkashi bahawa anak-anak masyarakat Penan kerap ponteng sekolah sebenarnya mendedahkan kelemahan kerajaan BN yang tidak pernah memandang serius atau prihatin dengan kebajikan masyarakat Penan.


Berikutan itu, Pengerusi Tanah, Pembangunan dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman menyelar dakwaan Puad yang seolah-olah menyalahkan ibu bapa masyarakat Penan yang tidak mementingkan pelajaran anak-anak.

Sedangkan kata beliau, masyarakat Penan yang berjumlah hampir 2,000 orang itu sebenarnya tidak mempunyai surat beranak dan kad pengenalan, kerana itu mereka tidak mempunyai pendidikan.

Bukan itu sahaja katanya, kehidupan mereka dalam hutan yang aman selama ini turut diganggu dengan kewujudan empangan elektrik haidro Bakun sehingga mereka terpaksa keluar mencari penempatan sementara di rumah panjang.

Mazlan mendedahkan perkara tersebut setelah mengadakan lawatan ke Bintulu dari 2 hingga 6 Ogos untuk meninjau perkembangan terkini masyarakat Penan di Sarawak.

Turut bersama dalam lawatan itu, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna Alam Sekitar yang juga Adun Paroi, YB Taufek Ghani; YDP PAS Kawasan Bintulu, Saimon Kila Zainon @ Nuur Huzaifah serta AJK lajnah.


Ketika degelasi yang diketuai Mazlan membuat lawatan dan tinjauan ke rumah panjang dan bertemu masyarakat Penan di rumah Nyabing, pada 4 Ogos lalu, Puad Zarkashi turut mengadakan lawatan ke sekolah Batu Keling, Batu Belaga, Bintulu.

Aktivis masyarakat, Miku Luyang dan Bernard Lanting turut bersama dalam lawatan itu bagi memudahkan degelasi memasuki kawasan rumah panjang dan empangan Bakun.

Dalam pertemuan dengan masyarakat Penan di bekas penempatan kandang ayam itu, Miku menjadi jurucakap kerana sebahagian besar masyarakat Penan tidak fasih bertutur bahasa Melayu.

Katanya, kerajaan mengarahkan masyarakat Penan keluar dari kawasan penempatan asal mereka untuk dijadikan empangan haidro Bakun tetapi kerajaan tidak menyediakan penempatan.

Miku berkata, masyarakat Penan berharap penempatan yang disediakan mesti kawasan yang disukai dan boleh menjalankan aktiviti berburu kerana kehidupan mereka sejak dahulu hanya mahir berburu.

"Sehingga sekarang kerajaan tidak bagi penempatan itu, kami bangsa Penan tidak ada pendidikan dan tidak berani, kami hanya berani menyumpit sahaja," katanya disambut dengan gelak daripada masyarakat Penan.

Ketua penduduk, Laying Killah melahirkan rasa gembira dengan kunjungan masyarakat Semanjung.

Ketika berucap dalam bahasa Penan beliau terkilan dengan sikap kerajaan yang berjanji akan membina sekolah di kawasan kampung tersebut namun sehingga sekarang tidak ada satu sekolah disediakan untuk masyarakat Penan.

"Kalau tidak kerana bekas kandang ayam ini maka kami tidak ada rumah untuk dijadikan tempat tinggal, kami harap masalah masyarakat Penan dapat di bawa ke peringkat tertinggi kerajaan," katanya.

Manakala wakil penduduk, Kuit Killah pula turut kesal dengan tindakan kerajaan yang masih belum membayar pampasan masyarakat Penan yang berpindah dari kawasan asal.

Katanya, kerajaan hanya baru memberi pampasan RM10,000 untuk perpindahan kubur manakala pampasan lain masih belum diperolehi.

Sehubungan itu, beliau mewakili masyarakat Penan menaruh harapan tinggi kepada degelasi dari Semanjung yang diketuai Mazlan supaya dapat membawa masalah itu keperingkat tertinggi kerajaan.

Mereka mahu kerajaan memberi pampasan sewajarnya kerana projek haidro Bakun itu telah menyumbang hasil yang sangat tinggi.

Bagaimanapun mereka sedar dan yakin bahawa kerajaan sebenarnya tidak serius menangani masalah masyarakat Penan kerana penempatan di bekas kandang ayam yang dijanjikan hanya sementara telah diduduki selama tiga tahun.

Dalam maklum balas pertemuan itu, Mazlan bercadang dapat mengumpulkan wakil masyarakat Penan turun ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menyerahkan memorandum.

Katanya, memo tersebut mendesak kerajaan menangani isu masyarakat Penan dan isu itu akan dibawa oleh ahli Parlimen PAS untuk dibahaskan dalam sidang dewan rakyat akan datang.

Mazlan sedar bahawa masyarakat Penan tidak tahu untuk memperjuangkan hak mereka dan kebimbangan dirasai jika masyarakat Penan akan pupus akhirnya.

Katanya, apa salah kerajaan menyediakan tabung royalti kepada masyarakat Penan untuk kegunaan pendidikan mereka, ini merupakan satu cadangan yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan.

"Mereka telah hilang tempat tinggal untuk selama-lamanya, kenapa kerajaan tidak pertimbangkan royalti kepada mereka," tegasnya.

Ketika perbincangan diadakan di rumah panjang Nyabing satu majlis perpindahan kubur oleh masyarakat Penan sedang diadakan. Turut serta ketika itu, pegawai UPEN dan Muzium Sarawak.

Walaupun sebahagian mereka tidak tahu berturut bahasa Melayu namun mereka mudah mesra dan menghormati tetamu melalui cara mereka berjalan dengan menundukkan kepala ketika lalu dihadapan kami.

Perjalanan dari Bintulu ke perkampungan Penan dan Bakun mengambil masa selama tiga jam sejauh lebih kurang 300 kilometer. Walaupun jalan bertar, namun kerosakan teruk berlekuk dan berlubang besar menyebabkan hanya kenderaan lori, bas dan 4wheel sesuai digunakan.

Dalam perjalanan itu kelihatan label `Aduan kerosakan jalan' namun daripada keadaan jalan tersebut, walaupun ada aduan sudah pasti tidak diambil tindakan daripada pihak berkenaan.

Lebih kurang jam 5.30 petang degelasi kami sampai ke kawasan Bakun dan melihat empangan tersebut yang begitu besar.

Pada awalnya, kami berhajat untuk bermalam di resort Bakun bagaimanapun sekuriti tidak membenarkan kerana penempatan tersebut tidak ditempah terlebih dahulu.

Degelasi terpaksa pulang semula ke perkampungan Penan sejauh lebih kurang 50 kilometer untuk menumpang bermalam di rumah panjang Lahanan. Semua masyarakat di rumah panjang tersebut menganut agama Kristian. Di setiap pintu rumah mereka, terpacak salib manakala di rumah cikgu Bernard (tempat kami bermalam) penuh dengan patung dan gambar-gambar Jesus.

Penulis pasti, semua ahli yang menyertai lawatan tersebut mempunyai pengalaman indah kerana dapat tidur di rumah panjang di mana pemiliknya beragama Kristian.

Hari akhir degelasi meneruskan perjalanan ke Parlimen Sibu yang dimenangi DAP. Mazlan serta ahli rombongan membuat kunjungan hormat ke pejabat DAP di Sibu. Pegawai DAP, Stephen Lu Cheng Kuok mewakili Ahli Parlimen Sibu, Wong Hong Leng amat menghargai bantuan daripada PAS dalam pilihan raya kecil lalu.

Katanya, tanpa bantuan PAS DUN Nangka tidak mungkin menang sebab selama ini DAP sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk masuk ke kawasan orang Melayu.

Lawatan diteruskan ke kampung Jeriah di DUN Nangka menemui penduduk yang menyokong PAS, Dayang Halimah Borhan.

Dalam pertemuan itu beliau amat berharap PAS Semanjung sentiasa menziarahi penduduk di kampung Jeriah serta menghulurkan bantuan kerana masyarakat Melayu di kampung itu kebanyakan masih berada di takuk kemiskinan.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP